Oleh PM Ts. Dr. Ahmad Mubarak Tajul Arifin, PM Ir. Ts. Dr. Norashidah Abd. Rahman
BATU PAHAT – Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan CITRA Kokurikulum 2025 bermula pada 12 Disember 2025 hingga 10 Januari 2026 lalu bagi memperkasakan lagi kemenjadian para pelajarnya.
Bertemakan “Kokurikulum Dinamik, Mahasiswa Holistik,” penganjuran CITRA Kokurikulum 2025 berfokus kepada pembinaan modal insan yang membentuk jati diri dan sahsiah, diperkukuh dengan disiplin serta dilatih dengan daya tahan dalam mengharungi dunia yang serba rencam ini.
Inisiatif itu sejajar dengan matlamat universiti dalam membangunkan karakter pelajar yang merangkumi elemen GRITT iaitu Global, Resilience, Innovative, Trustworthy dan Talent.
CITRA Kokurikulum 2025 yang berlangsung di UTHM Kampus Cawangan Pagoh pada 12 dan 13 Disember 2025 lalu melibatkan lima penganjuran program iaitu, Tarian Perang, Edu-bazar Kokurikulum Pagoh, Diversity Explore, Citranova@Pagoh Festival dan Karnival Sukan Citra Pagoh.
Manakala, CITRA Kokurikulum 2025 di UTHM kampus induk pula melibatkan enam program iaitu Sukan Rakyat Citra, Bazar Citra Kokurikulum, Citranova Festival, Innovathon Citra, Malam Citra Budaya, Kawad Kaki dan Pameran Citra Inspira yang disusun mengikut pelbagai teras kokurikulum.
Sementara itu, Majlis Penutup Citra Kokurikulum 2025 pula telah diadakan pada 10 Januari 2026 bertempat di Dewan Sultan Ibrahim dan disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Rabiah Ahmad.
Prof. Rabiah dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada jawatankuasa program yang diketuai oleh pengarahnya, Muhammad Nazmi Ahmad Nizam.
Beliau turut mengingatkan pelajar untuk menjadi insan yang seimbang, cemerlang intelek dan mempunyai kekuatan emosi, serta dilengkapi dengan kepakaran teknikal yang baik dan diterapkan dengan kehalusan nilai kemanusiaan.
“Kemahiran seperti kepimpinan, pengurusan konflik, daya tahan, disiplin dan kebolehsuaian yang dipupuk melalui kokurikulum inilah yang bakal menjadi bekalan berharga apabila mahasiswa melangkah ke alam pekerjaan yang semakin mencabar dan kompetitif,” katanya.
Beliau juga berharap agar Kursus Kokurikulum Berkredit memainkan peranan strategik sebagai pemangkin transformasi mahasiswa, selain menyokong universiti menuju ke arah Global Technopreneur University 2030 (GTU 2030).
Hadir sama, Dekan PPUK, Profesor Madya Dr. Lutfan Jaes dan Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Profesor Ts. Dr. Asmarashid Ponniran.
Sementara itu, Muhammad Nazmi dalam ucapannya juga turut berterima kasih kepada Unit Kursus Kokurikulum Berkredit PPUK kerana telah memberikan ruang dan peluang kepada semua jawatankuasa bagi bekerjsama dalam memastikan program yang dianjurkan berjalan lancar.
“Tema Kokurikulum Dinamik, Mahasiswa Holistik bukanlah sekadar slogan, tetapi ia adalah aspirasi kita bersama dan merupakan landasan untuk membentuk diri menjadi individu yang seimbang, berilmu, dan berintegriti dalam pembentukan insan holistik,”katanya.
Majlis itu turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Kawad Kaki dan Malam Citra Budaya, serta anugerah kepada pengajar kursus kokurikulum berkredit atas komitmen dan dedikasi yang diberikan sepanjang semester berlangsung.
Antara anugerah yang diberikan adalah Pengajar Terbaik, Pengajar Harapan, Pengajar Program Terbaik (SEP, Kerja Lapangan, Latihan Intensif), Anugerah Penghargaan Staf Kokurikulum, Penghargaan Dedikasi Emas Kokurikulum, Anugerah Jasa Bakti Kokurikulum dan Penghargaan Dedikasi Kokurikulum.
Majlis tersebut juga menyaksikan penyerahan Mock Cheque antara Pusat Islam dan PPUK sebagai simbolik kerjasama yang dijalankan bagi program ‘1Rumah 1Kain Kafan’ dan ‘Infak Kain Kafan.’
Inisiatif di bawah Kursus Kokurikulum Berkredit Pengurusan Jenazah itu turut diselitkan dengan penyerahan kit kain kafan kepada masjid-masjid berdekatan kampus induk.
Pelaksanaan program seumpama itu dapat mencungkil bakat kepimpinan pelajar dan sekali gus memberi pendedahan secara langsung kepada mereka berkaitan penganjuran program yang melibatkan pelbagai pihak.
PPUK akan terus memainkan peranan penting dalam mengilap kemenjadian pelajar sama ada intelek, emosi, rohani, dan sosial serta menjadi penyuntik semangat kepada para pelajar untuk terus maju dan berjaya.






