Dalam dunia yang sentiasa berubah dan tidak menentu, kelestarian kewangan bukan lagi satu pilihan, ia merupakan satu keperluan. Sama ada individu, organisasi atau negara, kesemuanya memerlukan asas kewangan yang kukuh untuk terus bertahan, berkembang dan memberi impak. Namun, untuk mencapai kelestarian kewangan, faktor utama adalah sentiasa bersedia dalam apa jua keadaan. Tanpa persediaan dari segi ilmu, sikap dan perancangan, kelestarian hanya akan tinggal sebagai hasrat yang sukar dicapai.

Apa itu lestari kewangan?

Kelestarian kewangan bermaksud keupayaan untuk mengurus, merancang dan mengekalkan kestabilan kewangan dalam jangka masa panjang. Ia bukan sekadar mempunyai wang yang mencukupi untuk hari ini tetapi kemampuan untuk berdepan cabaran masa depan tanpa menjejaskan kesejahteraan hidup atau operasi sesebuah institusi. Sebagai contoh, seorang individu yang mengurus bajet bulanan dengan baik, mempunyai simpanan kecemasan 3 hingga 6 bulan gaji dan menyumbang kepada pelaburan jangka panjang. Manakala dari sudut organisasi pula, organisasi yang mempunyai kelestarian kewangan yang bagus, tidak terlalu bergantung pada geran luar tetapi mampu menjana pendapatan sendiri secara mapan melalui pelbagai sumber seperti produk, perkhidmatan atau pelaburan.

Kesediaan kunci utama kelestarian      

Bagi mencapai kelestarian, kesediaan perlu hadir dalam beberapa aspek berikut:

  1. Kesediaan ilmu – Ramai individu yang mengalami masalah kewangan bukan kerana kurang pendapatan, tetapi kurang pengetahuan mengurus kewangan. Kesedaran tentang bajet, simpanan, pelaburan dan risiko amat penting.
  2. Kesediaan mental dan emosi – Sikap boros, tidak sabar dan ingin segera ‘nampak mewah’ antara punca kegagalan kewangan. Disiplin dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan sangat penting agar diri tidak terjerat dengan kehidupan yang tidak terurus.
  3. Kesediaan merancang – Sama ada untuk jangka pendek atau panjang, tanpa pelan kewangan yang jelas, kelestarian sukar dicapai. Ini termasuklah pelan persaraan, kecemasan, hutang dan pendidikan anak-anak.
  4. Kesediaan menghadapi risiko – Insurans, tabung kecemasan dan kepelbagaian sumber pendapatan adalah langkah bijak untuk melindungi kewangan daripada kejadian yang tidak dijangka ataupun yang tidak diingini.

Kaitan dengan individu dan organisasi

Dari konteks individu, kita perlu bijak mengimbangi keperluan dan kehendak, merancang masa depan dan mengelakkan daripada terjerat dalam beban hutang yang tinggi. Tanpa kewangan yang lestari, individu mudah terperangkap dalam gaya hidup yang melebihi daripada kemampuan (gaji cukup-cukup makan), kebergantungan kepada pinjaman jangka pendek (kad kredit, pinjaman peribadi) dan risiko muflis atau kesempitan kewangan pada usia tua.

Sebagai contoh, dalam dunia nyata, seseorang individu yang tidak merancang kewangan dengan baik akan terperangkap dalam kesempitan hidup. Ini dapat dilihat menerusi individu yang walaupun pendapatan mereka hanya mencukupi untuk keperluan asas, masih gemar membeli barangan berjenama mahal atau menghabiskan wang untuk percutian mewah. Dalam pada masa yang sama, mereka sering bergantung pada kad kredit dan pinjaman peribadi untuk menampung perbelanjaan harian mereka hasil daripada tidak mempunyai perancangan kewangan yang baik. Oleh itu, keadaan ini akan menjerumus dalam menghadapi masalah kewangan yang serius, seperti muflis, terutamanya apabila tiba masa untuk bersara atau apabila mereka tidak mempunyai persediaan kewangan yang mencukupi untuk situasi kecemasan.

Manakala dari konteks organisasi, perlu adanya kawalan perbelanjaan, penjanaan pendapatan secara berterusan dan mewujudkan simpanan strategik bagi memastikan kesinambungan operasi walau dalam krisis. Selain itu, menerusi inisiatif kelestarian kewangan ini juga ia memungkinkan pelaburan jangka panjang dalam infrastruktur, sumber manusia dan inovasi selain meningkatkan keyakinan pihak berkepentingan (kerajaan, pelabur, pelajar) kepada sesebuah organisasi itu.

Sebagai contoh, dalam dunia nyata, perniagaan seperti Proton menunjukkan betapa pentingnya kelestarian kewangan dengan mengawal perbelanjaan dan memastikan pendapatan terus meningkat dari semasa ke semasa. Ini dapat dilihat bahawa, Proton tidak hanya bergantung pada jualan, tetapi Proton juga melabur dalam penyelidikan dan pembangunan untuk menghasilkan model kereta baharu dan meningkatkan kualiti produknya. Selain itu, syarikat ini juga sering memastikan adanya simpanan strategik untuk menghadapi krisis ekonomi. Oleh itu, ini dapat disimpulkan bahawa selain menjamin kelangsungan operasi, pendekatan ini meningkatkan keyakinan pihak berkepentingan seperti kerajaan, pelabur dan pekerja terhadap keupayaan syarikat untuk bertahan dan berkembang.

Kesimpulannya, kelestarian kewangan tidak datang secara kebetulan. Ia menuntut kesediaan yang menyeluruh daripada pelbagai faktor dan peringkat. Tanpa kesediaan, kewangan akan menjadi punca utama kepada kegagalan, walaupun potensi atau peluang ada di depan mata. Dalam dunia yang penuh dengan ketidaktentuan ini juga, hanya mereka yang bersedia dengan ilmu, perancangan dan disiplin akan mampu bertahan dan berkembang. Mulakan dari sekarang, walau dengan langkah kecil kerana kewangan yang lestari adalah pelindung masa depan yang stabil.

 

 

Farhawahidah binti Ahmad Puad

Pegawai Belia dan Sukan

Pejabat Kelestarian Kewangan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Utusan Malaysia (muka surat: 26), 21 Januari 2026: Asas kewangan perlu kukuh untuk bertahan

 

 

2. Utusan (utusan.com.my), 21 Januari 2026: Asas kewangan perlu kukuh untuk bertahan 

https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2026/01/asas-kewangan-perlu-kukuh-untuk-bertahan/