Oleh Dr. Zalilah Murni Yunus
Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya melahirkan graduan kohort pertama Program Kimia Industri mod industri ketika berlangsungnya Istiadat Konvokesyen ke-25 UTHM.
Lebih Istimewa, program Kimia Industri merupakan program akademik mod industri (3u1i) yang pertama ditawarkan di FAST iaitu penawaran pada sesi akademik 2021/2022.

Keunikan graduan program BWK ialah mereka memiliki kemahiran praktikal yang relevan dengan keperluan semasa industri.
Graduan tersebut juga berpeluang menyelesaikan projek sebenar di industri sebagai projek tahun akhir mereka. yang akhirnya menjadikan hasil projek mereka berimpak tinggi kepada bidang industri.
Pendekatan itu membolehkan pelajar mengaplikasikan teknologi terkini sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka.
Keberhasilan ini selari dengan misi dan visi universiti teknikal untuk melahirkan graduan berkemahiran tinggi dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
Menurut seorang graduan, Siti Rabaah Mohd Zin, yang kini berkhidmat di salah sebuah industri pembuatan, lulusan bidang sains, khususnya kimia terbukti tetap relevan untuk berganding bahu memacu pembangunan negara.
“Pengalaman menyelesaikan projek industri selama setahun, iaitu semasa latihan industri secara WBL (Work-Based Learning) di tahun akhir pengajian memberi saya keyakinan untuk menghadapi cabaran sebenar di tempat kerja.
“Pada awal WBL saya hampir putus asa untuk meneruskan pengajian, namun sistem sokongan yang diterima daripada semua pihak amat membantu saya untuk kekal berada di landasan perjuangan sehingga berjaya ke pentas konvokesyen hari ini,” katanya.
Sementara itu, graduan Yong Azureen Mohd Suhaimi pula berkata, bergelar graduan program BWK telah berjaya memecah persepi beliau sebelum ini terhadap potensi bidang sains di pasaran kerja.
Beliau yang kini berkerja sebagai eksekutif pengeluaran produk di sebuah syarikat pengeluaran produk farmasi berkata pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari telah meningkatkan keyakinan dirinya berbanding pada awal semester pengajian.
“Pengalaman saya menjalani WBL selama setahun telah menarik perhatian pihak syarikat sekali gus membuktikan keberkesanan mod pengajian ini di mata majikan,” katanya.
Kejayaan graduan kohort pertama itu adalah refleksi positif kepada usaha keras semua pihak pelbagai peringkat di universiti bagi merealisasikan program akademik tersebut sehingga berjaya membawa pelajar ke pentas konvokesyen.

