Oleh Suriayati Baharom
BATU PAHAT, 10 Dis 2025 – Berasal dari Kampung Lama Orang Asli Kangkar Senangar, Parit Sulong, jauh dari hiruk-pikuk pembangunan dan akses teknologi moden, perjalanan akademik Intan Nurhidayah Lim, 24 graduan Sarjana Muda Pengurusan Harta Tanah, bukan sekadar kisah kejayaan tetapi bukti bahawa semangat mampu menembusi batas geografi dan kekurangan prasarana.
Membesar sebagai anak Orang Asli suku kaum Jakun, Intan melalui kehidupan serba sederhana yang membentuk dirinya menjadi seorang yang tabah, berdikari dan tidak mudah mengalah.
Namun, cabaran sebenar bermula apabila pandemik melanda negara yang memaksa sesi pengajian di universiti dijalankan secara dalam talian.
Ketika pelajar lain selesa mengikuti kelas di dalam rumah, Intan bergelut dengan liputan internet yang sangat lemah di kampungnya.
Ada masanya beliau terpaksa belajar di tepi jalan, kadang-kadang ditemani ayahnya ke pekan semata-mata untuk mendapatkan akses internet.
“Waktu semester pertama memang sangat mencabar kerana internet tidak stabil menyebabkan saya tidak dapat fokus dan terganggu ketika menghantar tugasan,” katanya ketika mengimbau pengalaman lalu.
Prihatin dengan situasinya, pihak universiti akhirnya menawarkan penempatan di kolej kediaman untuk memastikan beliau dapat mengikuti kelas seperti pelajar lain.
Memasuki kampus buat kali pertama membuka lembaran baharu yang tidak kurang mencabar.
Intan berdepan kejutan budaya apabila rakan-rakan lebih fasih berkomunikasi, lebih terdedah kepada teknologi dan datang dari sekolah yang lebih maju.
“Saya memang rasa kerdil pada awalnya tapi saya paksa diri belajar, menyesuaikan diri dan perlahan-lahan saya mula yakin,” katanya.
Sedikit demi sedikit, Intan mula menyerlah sehingga pensyarah memuji komitmen dan kesungguhannya, manakala rakan-rakan pula mula menjadikan beliau sebagai rujukan untuk tugasan tertentu.
Di sebalik perjalanan penuh liku itu, pencapaian Intan sangat membanggakan.
Beliau menamatkan pengajian tanpa pernah mengulang semester, meskipun bermula dengan segala kekurangan berbanding pelajar lain.
“Saya mahu buktikan pada diri sendiri bahawa anak dari pedalaman pun boleh berjaya walaupun cabaran selalu bertandang,” katanya.
Kejayaan Intan bukan sekadar kejayaan peribadi, tetapi inspirasi buat komuniti Orang Asli dan generasi muda luar bandar bahawa impian besar tetap boleh digapai, biarpun bermula dari jalan tanah merah di pedalaman.

