Oleh Suriayati Baharom

BATU PAHAT, 6 Dis 2025 – Berbekalkan hanya 2A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), siapa sangka Thiva Surena A/P Krishnah Rao,24 graduan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Automasi Industri), Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) akhirnya terpilih untuk menerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang).

Graduan berjiwa kental itu membuktikan bahawa kejayaan bukan milik mereka yang bermula dengan cemerlang, tetapi milik mereka yang tidak pernah berhenti berusaha.

“Penganugerahan ini adalah detik paling bermakna dalam hidup saya dan menjadi hadiah istimewa untuk ibu bapa dan keluarga yang tidak pernah jemu menyokong saya sejak kecil.

“Selepas tamat diploma, saya mohon melalui Sistem UPUonline untuk sambung pengajian di universiti awam, tetapi kecewa kerana ditolak. 

“Saya tidak berputus asa dan terus membuat rayuan sehingga diterima masuk ke UTHM, universiti pilihan pertama saya,” katanya.

Di UTHM, Thiva tidak sekadar mengejar akademik, tetapi turut aktif memegang jawatan kelab, menyertai pelbagai program, dan mengekalkan prestasi cemerlang dalam setiap semester. 

Usahanya berbaloi apabila projek tahun akhir beliau memenangi Anugerah Projek Terbaik dan meraih pingat perak di peringkat kebangsaan.

“Tanpa sokongan keluarga, pensyarah dan rakan-rakan, saya tidak akan sampai ke tahap ini,” katanya penuh syukur.

Kisah Thiva Surena adalah bukti nyata bahawa kegagalan bukan noktah, tetapi koma kepada sebuah kisah kejayaan yang lebih besar.