Oleh Suriayati Baharom
BATU PAHAT, 6 Dis 2025 – Seramai 4915 graduan pelbagai peringkat pengajian iaitu ijazah doktor falsafah (142), sarjana (393), sarjana muda (3610) dan diploma (770) dianugerahkan ijazah masing-masing pada Istiadat Konvokesyen Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ke-25 yang diadakan pada 6 hingga 11 Disember 2025 ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani yang merupakan Pro-Canselor UTHM hadir menyempurnakan sidang pertama istiadat konvokesyen yang berlangsung pada 6 Disember 2025 bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk.
Beliau dalam ucapannya berpesan kepada graduan agar melengkapkan diri dengan adab dan budi pekerti kerana ia merupakan akar tunjang kepada ilmu dan pengetahuan.
“Jadilah graduan yang bukan sahaja bijak dalam akademik tetapi juga tulus dan halus dalam pekerti, dan mampu membawa kebaikan kepada masyarakat dan tanah air tercinta.
“Semoga graduan yang lahir daripada UTHM menjadi generasi rabbani, bukan sahaja bijak akal dan akademik, tetapi unggul adab dan budi pekertinya, kukuh iman serta sentiasa memberi kebaikan kepada masyarakat,” katanya yang turut mengucapkan tahniah atas kejayaan para graduan.
Istiadat kali ke-25 ini menyaksikan Presiden Persekutuan Industri Besi dan Keluli Malaysia (MISIF), Tan Sri Dato’ Soh Thian Lai dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Teknik dan Vokasional sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan luar biasa beliau dalam memperkasakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pembangunan industri negara.
Beberapa anugerah seperti Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang), Anugerah Sultan Ibrahim, Anugerah Canselor, Anugerah Tesis Terbaik (Ijazah Kedoktoran), Anugerah Tesis Terbaik (Sarjana Penyelidikan), Anugerah Kecemerlangan Industri: Ijazah Kedoktoran (Kejuruteraan & Teknologi), Anugerah Kecemerlangan Industri: Sarjana Penyelidikan (Kejuruteraan & Teknologi), Anugerah Tan Sri Dato’ Paduka Hajjah Aishah Ghani, Anugerah Projek Sarjana Muda Terbaik, BEM President Award, Anugerah Akademik Yayasan UTHM, Anugerah UTHM Holdings, Anugerah Khas Alumni (Kategori Akademik), Anugerah Usahawan Muda Koperasi UTHM serta Anugerah Wakaf dan Endowmen turut diberikan kepada graduan terpilih.
Hadir sama ke istiadat tersebut, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad, Naib Canselor UTHM, Profesor Dr. Mas Fawzi Mohd Ali dan kepimpinan tertinggi UTHM.
Bagi merai graduan dan memeriahkan lagi Konvokesyen UTHM ke-25 kali ini, pelbagai acara sampingan turut diadakan antaranya Festival Konvokesyen 2025 (FESTKON’25) bagi menarik pengunjung ke kampus dan Majlis Pemakaian Hud bagi meraikan graduan pascasiswazah.
Dengan berlangsungnya istiadat konvokesyen kali ke-25 ini maka jumlah alumni UTHM akan mencatatkan penambahan menjadikan bilangannya sebanyak 66309 orang.




Berita ini juga diterbitkan di:
1. Berita Harian (bharian.com.my), 6 Disember 2025: UTHM kekal institusi TVET bertaraf antarabangsa
2. Istana Negara (istananegara.gov.my), 6 Disember 2025: DATUK PENGELOLA BIJAYA DIRAJA SELAU PRO-CANSELOR BUKA ISTIADAT KONVOKESYEN UNIVERSITI TUN HUSSIN ONN MALAYSIA (UTHM) ke-25
https://www.istananegara.gov.my/v1/component/content/article/2025-12-06-12-51-16?catid=14&Itemid=101
3. Berita Harian (muka surat: 17), 7 Disember 2025: 4,915 graduan UTHM terima ijazah

4. Media Digital Johor, 7 Disember 2025: 4,915 GRADUAN TERIMA SKROL PADA ISTIADAT KONVOKESYEN UTHM KE-25
https://www.facebook.com/share/p/17VSnkqE3J/
5. Sin Chew Daily (sinchew.com.my), 7 December 2025: 峇敦胡先翁大学毕业礼 4915人高唱骊歌
https://johor.sinchew.com.my/news/20251206/johor/7089410
6. China Press, 7 December 2025: 敦大4915人高唱骊歌 苏添来膺荣誉博士

7. Johor China Press (johor.chinapress.com.my), 7 Disember 2025: 敦大4915人高唱骊歌 苏添来膺荣誉博士
