KUALA LUMPUR, 4 Dis 2025 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju nasional dalam bidang Mobiliti Udara Lanjutan (AAM), inovasi dron dan pembangunan Ekonomi Altitud Rendah (Low Altitude Economy, LAE) melalui penglibatan strategiknya dalam Low Altitude Economy Forum (LAE Forum) 2025 yang berlangsung di MRANTI Park hari ini.
Forum tersebut dipengerusikan oleh Assoc. Prof. Dr. Mohammad Zulafif Rahim, yang turut berperanan sebagai Pengarah Urusan Avitex Solution (M) Sdn. Bhd., syarikat terbitan UTHM yang juga diiktiraf sebagai Remote Pilot Training Organisation (RPTO) oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Program seumpaman itu turut meletakkan UTHM sebagai institusi utama dalam merangka hala tuju nasional berkaitan mobiliti masa depan dan ekosistem dron negara.
UTHM merupakan penganjur bersama, melalui kerjasama syarikat terbitan UTHM, Avitex Solution (M) Sdn. Bhd., National Aerospace Industry Corporation (NAICO) Malaysia dan Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI).
Program itu turut mendapat sokongan daripada Pihak Berkuasa Pennerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya,
LAE Forum turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad yang menzahirkan komitmen penuh dalam menyokong inisiatif strategik universiti.
Kehadiran beliau mencerminkan keyakinan terhadap usaha memperkukuh reputasi UTHM di peringkat nasional dan antarabangsa.
Dr. Zulafif dalam ucapannya berkata Ekonomi Altitud Rendah merupakan sektor baharu yang berkembang pesat, bukan sahaja melalui pembangunan teknologi dron dan AAM, tetapi juga menerusi penyedia perkhidmatan yang mengaplikasikan teknologi tersebut dalam operasi sebenar industri.
“UTHM berbangga menjadi sebahagian daripada inisiatif nasional ini.
“Ekonomi Altitud Rendah ialah industri sebenar yang sedang berkembang dan membuka peluang dalam pertanian, logistik, pemeriksaan, keselamatan awam, pelancongan dan banyak lagi,” katanya.
Tambah beliau, komitmen UTHM dalam membangunkan tenaga mahir, menjalankan penyelidikan berimpak tinggi dan menyokong hala tuju dasar negara menjadikan universiti ini pemain utama dalam ekosistem dron dan mobiliti udara Malaysia.
Forum tersebut turut menerima kehadiran delegasi tinggi dari Low Altitude Economy Branch, China Association of Information (CAI).
Keupayaan China dalam teknologi dron dan AAM membuka potensi besar untuk UTHM dalam penyelidikan bersama, pemindahan teknologi serta pembangunan program latihan antarabangsa.
Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang disaksikan semasa forum tersebut melambangkan komitmen baharu kerjasama dua hala yang bakal memberi manfaat kepada penyelidik, pelajar dan rakan industri UTHM.
LAE Forum 2025 turut berfungsi sebagai platform pelancaran awal kepada Low Altitude Economy Expo (LAEX) 2026, yang bakal dianjurkan di Johor.
UTHM akan meneruskan peranan sebagai penganjur bersama bagi acara antarabangsa ini, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai hab serantau untuk pembangunan bakat dalam bidang dron dan AAM.
Sementara itu, penganjuran LAEX 2026 pula dijangka bakal menghimpunkan pempamer antarabangsa, pengeluar OEM, penyedia teknologi, pelabur dan pengawal selia, sekali gus membuka peluang baharu dalam penyelidikan, latihan dan kerjasama industri untuk UTHM.
Acara tersebut bakal mendapat penyertaan agensi-agensi utama negara yang terlibat dalam sektor ini menandakan sokongan padu terhadap usaha pembangunan ekosistem LAE secara bersepadu.
Penganjuran berjaya LAE Forum 2025 merupakan satu lagi langkah penting dalam usaha UTHM mencapai kedudukan sebagai institusi terkemuka dalam aktiviti melibatkan teknologi mampan dan pengangkutan.
