Oleh Suriayati Baharom
BATU PAHAT, 2 Dis 2025 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) kini giat membudayakan kampus rendah karbon bagi menyokong usaha Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) ke arah merealisasikan inisiatif Low Carbon City 2030, sekali gus menyahut seruan nasional untuk mencapai matlamat neutral karbon.
Rentetan itu, satu program ”MUST Green Ride with VC” telah dianjurkan bagi memperkukuh agenda kelestarian kampus melalui pengurangan pelepasan karbon dan menggalakkan penggunaan mod pengangkutan hijau dalam persekitaran universiti.
Program itu menghimpunkan warga kampus termasuk pengurusan tertinggi universiti, staf dan pelajar sebagai simbolik usaha menyokong aspirasi UTHM ke arah Kampus Rendah Karbon.
Kelainan utama program itu adalah penekanan terhadap mobiliti hijau dengan pengenalan kemudahan micromobiliti pintar seperti skuter BEAM dan basikal elektrik (e-bike) yang disediakan khusus untuk kegunaan warga kampus.
Penyediaan kemudahan itu bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan bermotor berasap, seterusnya menyokong persekitaran yang lebih sihat, bersih dan mesra alam.
Selaras dengan pelaksanaan itu, UTHM turut memperkenal dan memperluaskan pelaksanaan ‘Zon Bebas Karbon’ di kawasan terpilih kampus.
Zon itu menumpukan kawalan penggunaan kenderaan konvensional serta mengutamakan pergerakan menggunakan basikal, skuter elektrik, kenderaan elektrik dan aktiviti berjalan kaki sebagai norma baharu dalam budaya mobiliti kampus.
PROGRAM MUST Green Ride with VC yang disempurnakan oleh Naib Canselor, Profesor Dr. Mas Fawzi Mohd Ali juga melengkapkan dasar kelestarian universiti yang menekankan pemeliharaan alam sekitar dan pembudayaan amalan hijau.
Sebagai simbol komitmen jangka panjang terhadap kelestarian, UTHM turut melaksanakan penanaman kapsul masa bersempena program itu.
Kapsul masa itu mengandungi aspirasi dan hala tuju universiti dalam mengurangkan jejak karbon melalui pelaksanaan dasar hijau, penggunaan tenaga boleh baharu serta pengukuhan budaya mobiliti rendah karbon, sekali gus melambangkan iltizam bahawa usaha kelestarian dilaksanakan secara berterusan dan diwarisi oleh generasi akan datang.
Menurut Prof. Mas Fawzi, penganjuran program itu mencerminkan komitmen berterusan UTHM dalam memupuk kesedaran perubahan iklim serta membudayakan gaya hidup lestari dalam kalangan komuniti universiti secara berterusan dan sistematik.
“UTHM berharap usaha seumpama ini dapat menjadi pemangkin kepada perubahan tingkah laku yang lebih mampan serta meletakkan UTHM sebagai model ‘Kampus Lestari’ yang progresif dan berdaya saing di peringkat nasional,” katanya.


Berita ini juga diterbitkan di:
1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 2 Disember 2025: UTHM budayakan kampus rendah karbon
https://malaysiagazette.com/2025/12/02/uthm-budayakan-kampus-rendah-karbon/
2. TV Sarawak@tvsarawak122, 2 Disember 2025: Program ‘Must Green Ride With VC’, langkah UTHM ke arah kampus neutral karbon
3. TV Sarawak (tvsarawak.my), 2 Disember 2025: Program ‘MUST Green Ride with VC’, langkah UTHM ke arah kampus neutral karbon
4. Utusan Malaysia (muka surat: 24), 4 Disember 2025: UTHM giat ke arah kampus rendah karbon

5. Utusan (utusan.com.my), 4 Disember 2025: UTHM giat ke arah kampus rendah karbon
https://www.utusan.com.my/nasional/2025/12/uthm-perkasa-agenda-kampus-rendah-karbon/
