Penuntut Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Natasya Salsabiila, yang merupakan pelajar ijazah doktor falsafah di Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) berjaya meraih tempat pertama dalam Young Persons’ World Lecture Competition (YPWLC) yang dianjurkan oleh The Institute of Materials, Minerals & Mining (IOM3), United Kingdom pada 27 November 2025 lalu.
Dalam pertandingan berprestij itu, Natasya berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah £1,000 (sekitar RM5,456.70).
Beliau mengetengahkan penyelidikan bertajuk “Aluminum Nitride Thin Film Deposition Using Industrial-Grade Sputtering System: A Uniformity Study.”
Projek itu merupakan hasil kolaborasi antara UTHM, Universiti Malaya, dan MIMOS Berhad di bawah tajaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Malaysia.
YPWLC mula diperkenalkan di United Kingdom pada tahun 2005 dan sejak 2020 telah dijalankan sepenuhnya secara dalam talian, sekali gus membolehkan penyertaan lebih meluas dari seluruh dunia.
Format pertandingan melibatkan penyampaian projek penyelidikan selama 15 minit, diikuti sesi soal jawab selama 5 hingga 10 minit bersama panel juri antarabangsa.
Perjalanan pertandingan itu agak kompetitif, bermula dari peringkat universiti pada 6 Ogos 2025, peringkat kebangsaan pada 2 hingga 30 September 2025, sehinggalah ke peringkat antarabangsa pada 27 November 2025.
Peringkat universiti dan kebangsaan dikendalikan oleh IOM3 dengan kerjasama Institute of Materials Malaysia (IMM) dan universiti-universiti di Malaysia.
Pada peringkat universiti, Natasya dinobatkan sebagai juara daripada enam peserta dari pelbagai fakulti.
Di peringkat kebangsaan, beliau sekali lagi meraih tempat pertama daripada 13 wakil universiti awam dan swasta.
Natasya seterusnya terpilih sebagai salah seorang daripada lima finalis kebangsaan bersama wakil daripada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Universiti Malaya (UM), dan Universiti Teknologi PETRONAS (UTP).
Beliau akhirnya muncul sebagai juara kebangsaan sekali gus mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Di peringkat antarabangsa, Natasya terus membuktikan kemampuan dengan meraih tempat pertama, mengungguli wakil dari United Kingdom, China, dan Hong Kong.
Beliau amat bersyukur dengan kemenangan itu kerana ia bukan sahaja mengharumkan nama UTHM, malah turut mengangkat nama Malaysia melalui kekuatan kerjasama penyelidikan antara institusi yang terlibat.
“Saya amat berterima kasih kepada penyelia utama saya iaitu Profesor Dr. Nafarizal Nayan dari Pusat Penyelidikan Shamsuddin – Mikroelektronik dan Nanoteknology (MiNT-SRC) selaku penyelia utama yang banyak memberi sokongan dan bimbingan.
“Tidak lupa juga kepada Profesor Madya Ts. Dr. Hamimah Abd Rahman dan Profesor Madya Ir. Dr. Sufizar Ahmad dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan selaku wakil IMM-UTHM, yang menganjurkan pemilihan peringkat universiti serta menyediakan latihan untuk peringkat kebangsaan, serta Dr. Abdul Hakim Md Yusop dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) selaku Pengerusi IMM yang membimbing persiapan saya untuk ke peringkat antarabangsa,” katanya.


Berita ini juga diterbitkan di:
1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 1 Disember 2025: Penuntut UTHM raih tempat pertama di Young Persons’ World Lecture Competition 2025
