Dulu, apabila disebut, “segala?galanya di hujung jari” kedengaran seperti retorik pemasaran. Tetapi hari ini, ia menjadi realiti kehidupan. Kecerdasan buatan (AI) bukan sahaja meringankan beban kerja, malah mengolah cara kita belajar, berfikir dan membuat keputusan. Di sebalik manfaatnya, segelintir masyarakat berasa gusar: apakah pekerjaan kita masih relevan apabila mesin semakin bijak? Adakah cita?cita anak?anak kita akan lesap, dirampas algoritma yang bekerja tanpa rehat?
Kebimbangan tersebut wajar diselami, tetapi tidak harus menjurus kepada penolakan mutlak. Seperti mana pisau boleh digunakan sama ada untuk memasak atau mencederakan, AI ialah alat yang nilainya bergantung pada tangan dan hati insan yang mengendalikannya. Ibadah korban pada Hari Raya Aidiladha menawarkan cermin terbaik untuk memahami batas antara kehebatan teknologi dan keutuhan spiritual manusia.
Dibina atas logik, data dan corak statistik, AI mampu mengendalikan logistik ibadah korban dengan lebih cekap berbanding kaedah tradisional. Daripada menentukan tarikh penyembelihan, mengagih nombor giliran, hinggalah menjejaki pengagihan daging, sistem berasaskan AI meminimumkan kesilapan manusia, mengurangkan pembaziran serta menutup ruang penyelewengan.
Di sesetengah masjid besar, perisian ramalan permintaan (demand forecasting) digunakan untuk menganggarkan bilangan penerima, lantas memastikan jumlah haiwan yang disembelih benar?benar mencukupi. Aplikasi mudah alih pula memudahkan peserta menjejak status korban mereka, sambil menawarkan panduan pantas mengenai adab, lafaz akad dan syarat penyembelihan yang sah. Hasilnya, pentadbiran korban menjadi lebih teratur, telus dan memenuhi kehendak fast response yang diharapkan oleh masyarakat moden.
Had yang tidak mampu dilangkaui mesin
Walau sehebat manapun algoritma diprogramkan, AI tidak memiliki roh, emosi mahupun keimanan. Ia boleh menjawab soalan fiqh, namun AI tidak merasai debaran seorang bapa yang pertama kali menuntun haiwan korban sambil mengulang takbir, atau air mata syukur seorang ibu tunggal apabila menerima daging segar buat anak?anaknya.
Korban ialah proses mendidik jiwa supaya tunduk kepada perintah Tuhan, latihan kesediaan berkorban demi kebaikan orang lain, manifestasi empati yang tidak terhitung nilainya. Dimensi inilah yang memisahkan ‘cerdik’ daripada ‘bijaksana’. AI boleh dilatih untuk ‘memahami’ emosi secara statistik, tetapi ia tidak pernah akan mengalami rasa itu sendiri. Itu PASTI. Tidak pada hari ini, tidak juga pada masa hadapan.
Mengimbangi kemajuan dan kemanusiaan
Mitos bahawa AI akan menghancurkan setiap peluang pekerjaan harus diluruskan. Menyelusuri sejarah, setiap kemunculan teknologi baharu lazimnya mencipta lebih banyak peluang pekerjaan baharu. Yang berubah ialah set kemahiran. Di sinilah tanggungjawab masyarakat dan institusi pendidikan iaitu mempersiapkan generasi kini dan mendatang dengan literasi data, kebolehan berfikir kritis serta keupayaan beradaptasi. Ironinya, AI turut membantu proses tersebut. Melalui prompt engineering, pelajar boleh melontarkan soalan yang merangsang sudut pandang baharu, kemudian berlatih menilai kesahihan maklumat yang diberi mesin. Paradigma “guru sebagai satu?satunya sumber ilmu” sudah beralih kepada “guru sebagai jurupandu”, sementara AI berfungsi sebagai perpustakaan interaktif yang sentiasa terbuka dan tidak pernah jemu menerima input si penuntut ilmu.
Teknologi sebagai wasilah, bukan matlamat
Ibadah Korban mengingatkan kita bahawa nilai tertinggi bukan pada ‘apa’ yang dikorbankan, tetapi ‘kenapa’. Begitu juga AI, manfaatnya tidak terletak pada kecanggihannya semata?mata, sebaliknya pada niat manusia yang memanfaatkannya. Ini bukan konflik antara silicon dan spirit, tetapi ajakan untuk bersinergi. Manusia meminjam kekuatan algoritma bagi memperhalus akhlak, memperkukuh solidariti, serta mempercepat capaian terhadap kebaikan. Selagi manusia menyedari sempadan itu, AI kekal sekadar alat; roh kemanusiaanlah yang menentukan hala tuju.
Kecanggihan AI bukanlah jaminan kebaikan. Algoritma boleh digunakan untuk menganalisis al-Quran, membantu merancang pengagihan zakat, atau mempercepat penulisan ilmiah. Tetapi algoritma yang sama juga boleh digunakan untuk menipu, memalsukan maklumat atau meruntuhkan akhlak manusia jika disalahgunakan. Yang membezakan antara manfaat dan mudarat adalah niat dan etika manusia di belakang mesin yang diguna. Jika niatnya adalah untuk mempermudah urusan, memperluas akses kepada ilmu, dan meningkatkan kualiti hidup, maka AI menjadi alat kemajuan. Tetapi jika niatnya semata-mata keuntungan peribadi tanpa peduli kesan sosial dan moral, maka AI boleh menjadi alat pemusnah nilai kemanusiaan.

Profesor Madya Dr. Ezrin Hani Sukadarin
Fakulti Teknologi Kejuruteraan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Ts. Hairunnisa Osman
Fakulti Sains dan Teknologi Industri
Universiti Malaysia Pahang Al Sultan Abdullah
