
Bidang perniagaan merupakan sumber pendapatan yang kian diminati oleh masyarakat. Pelbagai generasi memilih dan menceburi bidang ini. Kini, terdapat pilihan dalam menjalankan aktiviti perniagaan, sama ada secara fizikal atau dalam talian. Malahan itu, dengan model konsep membeli-belah yang pelbagai. Premis makanan bergerak atau dikenali mobile food cart, antara konsep yang sering kali dilihat. Peniaga-peniaga kecil ini menjual pelbagai barangan, terutamanya melibatkan makanan dan minuman.
Mempertimbangkan Dasar Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil Negara 2030 (D3PKN2030), terdapat pelbagai inisiatif yang dirangka oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam usaha pemerkasaan dan pembangunan penjaja dan peniaga kecil di Malaysia. Usaha ini adalah selari dengan hasrat kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan unggul menjelang tahun 2030.
Sejajar dengan perubahan landskap perniagaan, pemerkasaan golongan peniaga kecil ini penting dalam memacu kemajuan ekonomi negara dan memenuhi kesejahteraan masyarakat. Penambahbaikan dalam pengoperasian membantu meningkatkan produktivi, kecekapan dan kelestarian operasi. Perniagaan menggunakan konsep premis makanan bergerak mempunyai kelebihan. Reka bentuk premis bergerak adalah berdasarkan kepada ciri-ciri perniagaan yang diusahakan. Pengubahsuaian reka bentuk premis makanan bergerak mampu meningkatkan nilai efisien perniagaan yang dijalankan.
Konsep umum premis makanan bergerak adalah ia mudah dialihkan dari satu tempat ke tempat yang lain dengan kecepatan masa tertentu. Pemilihan dan penggunaan bahan dalam proses pembuatan premis makanan bergerak penting dalam memastikan ia adalah ringan. Elemen ini bagi mengurangkan berat kerangka premis makanan bergerak, seterusnya ia dapat menyumbang kepada inovasi kelengkapan yang diperlukan bagi premis makanan bergerak. Bersesuaian dengan era digitalisasi, keperluan dalam mengadaptasi teknologi terkini amat penting. Dalam erti kata lain, penggunaan teknologi dapat menyenangkan perniagaan yang dijalankan menggunakan konsep premis makanan bergerak.
Elemen kualiti pada produk yang dihasilkan adalah penting. Elemen ini akan memastikan kesinambungan perniagaan yang dijalankan. Inovasi fungsi bersepadu pada premis makanan bergerak dapat memenuhi jangkaan cita rasa pelanggan. Hal ini memerlukan pengawalan terhadap penyusunan stok bahan, kebersihan, pengoperasian, keselamatan dan lain-lain. Di samping penyediaan kemudahan pembayaran secara dalam talian.
Inovasi dalam penyusunan stok makanan membantu peniaga untuk memastikan stok makanan mencukupi dalam suatu jangka masa. Reka bentuk ruang penyimpanan stok makanan yang optimum dan kemudahan capaian yang pantas dapat membantu peniaga menguruskan perniagaan dengan lebih baik. Faktor kebersihan juga seharusnya dipertimbangkan. Sistem atau teknik penyimpanan stok makanan yang sesuai dapat menggelakkan ia rosak disebabkan oleh pelbagai faktor, dan kawalan terhadap makhluk perosak di premis.
Tambahan itu, inovasi sistem pembersihan sisa yang efektif sama ada semasa atau selepas pemprosesan dapat menjadikan persekitaran tapak perniagaan sentiasa kelihatan kemas dan bersih. Elemen ini antara perkara yang perlu dipatuhi berdasarkan Garis Panduan Penyediaan dan Penjualan Makanan di Premis Makanan Outlet Bergerak, Kementerian Kesihatan Malaysia.
Pertimbangan terhadap faktor keselamatan premis adalah penting. Elemen keselamatan dapat memastikan pengoperasian premis makanan bergerak adalah selamat. Inovasi reka bentuk bagi ruang peralatan berisiko ditingkatkan dengan kelengkapan keperluan lain sekiranya bencana berlaku. Sementelah, ia melibatkan penggunaan gas memasak atau tenaga elektrik. Perlindungan terhadap keselamatan perlu diambil berat memandangkan ia melibatkan nyawa peniaga dan pelanggan sekitar.
Dalam memastikan keselesaan peniaga menjalankan aktiviti perniagaan, beberapa keperluan asas perlu disedia. Integrasi aksesori asas seperti kerusi dan kipas pada kerangka utama premis makanan bergerak dapat menjimatkan ruang dan memudahkan pergerakan dari satu tempat ke tempat yang lain. Aspek pemilihan bahan dan reka bentuk aksesori perlu bersesuaian dan tidak menjejaskan ciri-ciri utama premis makanan bergerak iaitu ringan, saiz yang kecil dan kos yang murah.
Umumnya, penggunaan premis makanan bergerak oleh peniaga dapat memberi kelebihan tertentu. Premis makanan bergerak yang diinovasikan mengikut kesesuaian perniagaan mampu menjana pendapatan lebih baik. Tambahan itu, dengan mengadaptasi teknologi sama ada pada reka bentuk premis makanan bergerak atau konsep penjualan yang memenuhi cita rasa dan mesra pelanggan. Ia turut disokong dengan gagasan dan hasrat kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan unggul.
Prof. Madya Ts. Dr. Ahmad Mubarak Tajul Arifin
Ketua Jabatan
Keusahawanan, Daya Usaha dan Inovasi dan Sastera Liberal
Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum
&
Koordinator,
Rekabentuk Kejuruteraan Bersepadu
Jabatan Kejuruteraan Mekanikal
Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)