Oleh Suriayati Baharom
BATU PAHAT, 23 April 2025 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus mengekalkan momentum kecemerlangannya apabila diiktiraf sebagai penerima “Employers’ Choice of University” berdasarkan Indeks Kebolehkerjaan Siswazah Nasional Talentbank 2025.
Pengiktirafan tersebut mencerminkan UTHM bersedia dan berkomitmen tinggi dalam melahirkan graduan yang memenuhi keperluan industri.
Indeks Kebolehkerjaan Siswazah Nasional (Indeks GE) adalah hasil tinjauan komprehensif yang melibatkan penilaian terhadap lebih 50 syarikat terkemuka termasuklah Maybank, CelcomDigi, PETRONAS, Nestlé, Public Bank, EY dan banyak lagi.
UTHM telah dikenal pasti sebagai institusi yang konsisten menghasilkan graduan berkualiti tinggi, yang memenuhi kehendak pasaran kerja serta mempunyai daya saing tinggi.
Pengiktirafan ini juga selaras dengan aspirasi UTHM untuk terus memperkukuh kecemerlangannya dalam bidang pendidikan tinggi, selain menjadikan institusi ini sebagai rujukan utama dalam pembangunan bakat dan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Naib Canselor UTHM, Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim turut berterima kasih atas pengiktirafan yang diberikan itu.
“Pengiktirafan ini adalah hasil usaha gigih seluruh warga kerja UTHM dalam memastikan graduan UTHM terus menjadi pilihan utama sektor industri termasuklah syarikat-syarikat gergasi di dalam mahupun luar negara,” katanya.
Untuk rekod, Indeks GE dilancarkan buat kali pertama pada tahun 2023 yang berperanan untuk mengukur dan menilai kebolehpasaran graduan universiti di Malaysia berdasarkan maklum balas daripada majikan.
Indeks GE menawarkan pandangan kritikal tentang keperluan dan kehendak majikan, tujuan pengambilan pekerja, serta kemahiran penting yang diperlukan dalam pasaran kerja yang kompetitif hari ini.
Dengan pengiktirafan tersebut, UTHM membuktikan komitmennya untuk memacu kecemerlangan pendidikan tinggi dan membentuk graduan yang bersedia menghadapi cabaran era industri moden.

Berita ini juga diterbitkan di:
1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 25 April 2025: UTHM diiktiraf penerima “Employers’ Choice of University” Talentbank 2025
UTHM diiktiraf penerima “Employers’ Choice of University” Talentbank 2025
2. Sinar Bestari (sinarbestari.sinarharian.com.my), 2 Mei 2025: UTHM diiktiraf ‘Employers’ Choice of University’ Talentbank 2025
