Sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang dinantikan oleh umat Islam setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadan. Ia bukan sekadar hari kemenangan, tetapi juga simbol penyatuan keluarga, masyarakat dan seluruh umat Islam. Bagi mahasiswa, sambutan Hari Raya bukan hanya peluang untuk bercuti dan berjumpa keluarga, tetapi juga ruang terbaik untuk mengaplikasikan serta memperkukuh kemahiran insaniah MADANI dalam interaksi sosial.
Dalam konteks Mahasiswa MADANI, pembangunan kemahiran insaniah sangat penting dalam membentuk generasi yang beradab, berdaya saing, dan bersedia menghadapi cabaran kehidupan. Kemahiran insaniah merangkumi komunikasi, kepimpinan, empati, toleransi, serta kebolehan menyelesaikan masalah dan bekerjasama. Sambutan Hari Raya Aldilfitri menjadi platform terbaik untuk mahasiswa menonjolkan kemahiran ini, sama ada dalam keluarga, komuniti, atau dalam interaksi dengan pelbagai lapisan masyarakat.
Memperkukuh kemahiran komunikasi dan interaksi sosial
a) Berkomunikasi dengan pelbagai generasi
Sambutan Aidilfitri menghimpunkan pelbagai generasi dalam satu keluarga dan komuniti. Mahasiswa mempunyai peluang untuk berinteraksi bukan sahaja dengan ibu bapa dan adik-beradik, tetapi juga dengan datuk nenek, saudara-mara, jiran tetangga, serta kenalan lama. Kemahiran komunikasi yang baik dapat ditonjolkan apabila mahasiswa berbual dengan individu yang lebih tua dengan penuh kesopanan dan hormat serta dengan rakan sebaya secara terbuka dan mesra. Sebagai contoh, mahasiswa boleh bertanya khabar kepada saudara yang jarang ditemui, mendengar kisah pengalaman mereka dan bertukar serta berkongsi cerita tentang kehidupan di universiti.
b) Mengamalkan kesantunan dalam pertuturan dan tingkah laku
Sambutan Hari Raya juga mengajar mahasiswa untuk lebih beradab dalam pertuturan dan tingkah laku, terutama ketika berhadapan dengan orang yang lebih tua dan tetamu. Mahasiswa yang mengamalkan budi bahasa, menggunakan intonasi suara yang sopan, dan menjaga pemilihan kata-kata menunjukkan bahawa mereka telah berjaya membangunkan kemahiran insaniah yang matang dan melambangkan tahap intelek mahasiswa MADANI. Di samping itu, kemahiran mendengar yang baik juga dapat diperlihatkan apabila mahasiswa mendengar pandangan atau nasihat daripada orang yang lebih berpengalaman. Ini menunjukkan sikap hormat dan kesediaan untuk belajar dari orang lain.
Meningkatkan kemahiran kerjasama dan tanggungjawab
a) Membantu dalam persiapan hari raya
Persiapan Aidilfitri, seperti membersihkan rumah, mengecat pagar, menyediakan juadah dan mengatur majlis rumah terbuka, memerlukan kerjasama dan tanggungjawab. Mahasiswa boleh memainkan peranan penting dalam membantu keluarga, sama ada dengan memasak, menghidangkan makanan kepada tetamu, atau menguruskan perjalanan ke kampung halaman. Melalui aktiviti ini, mahasiswa dapat mempamerkan kemahiran kepimpinan dan kerja berpasukan, terutamanya apabila mereka mengambil inisiatif untuk membahagikan tugas atau membantu ahli keluarga yang lebih tua dalam menyediakan keperluan Aidilfitri.
b) Belajar mengurus konflik dalam keluarga
Dalam setiap perayaan, adakala konflik kecil sering berlaku, seperti perbezaan pendapat antara adik-beradik atau ahli keluarga tentang persiapan atau hal-hal kecil lain. Mahasiswa yang memiliki kemahiran insaniah MADANI dapat memainkan peranan sebagai pendamai, membantu meredakan ketegangan dan mencari penyelesaian yang harmoni. Sebagai contoh, jika terdapat perbezaan pendapat antara saudara mengenai menu hidangan atau susunan tempat duduk tetamu, atau memilih saudara untuk dilawati, mahasiswa boleh menggunakan kemahiran diplomasi dan tolak ansur untuk memastikan semua pihak berasa dihargai dan selesa.
Meningkatkan empati dan keprihatinan terhadap golongan kurang bernasib baik
a) Menziarahi golongan yang memerlukan
Sambutan Aidilfitri bukan hanya tentang kegembiraan, tetapi juga tentang keprihatinan terhadap mereka yang kurang bernasib baik. Mahasiswa boleh memanfaatkan peluang ini untuk menziarahi jiran-jiran yang uzur, warga emas yang tinggal sendirian, atau keluarga yang menghadapi kesulitan kewangan. Melalui amalan ini, mahasiswa memupuk empati, rasa syukur dan semangat kesukarelawanan, yang merupakan ciri penting dalam pembangunan sahsiah MADANI. Kesedaran bahawa tidak semua orang dapat meraikan Aidilfitri dengan kemewahan akan menjadikan mahasiswa lebih prihatin terhadap isu kemasyarakatan.
b) Menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan
Selain menziarahi, mahasiswa juga boleh mengambil inisiatif untuk menghulurkan bantuan dalam bentuk sumbangan makanan, pakaian, atau duit raya kepada golongan yang memerlukan. Ini menunjukkan nilai kemurahan hati dan rasa tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa. Sebagai contoh, seorang mahasiswa boleh mengumpulkan sumbangan kecil dari rakan-rakan universiti dan menyerahkannya kepada keluarga yang memerlukan di kawasan kejiranan mereka. Sikap prihatin seperti ini bukan sahaja membina hubungan yang lebih erat dengan masyarakat, tetapi juga mengukuhkan nilai keadilan sosial dan ihsan.
Mengamalkan toleransi dan kesederhanaan dalam perayaan
a) Menghormati perbezaan tradisi dan adat
Di Malaysia, sambutan Aidilfitri diraikan dengan pelbagai cara berdasarkan adat dan budaya sesuatu kaum atau negeri. Mahasiswa yang terdedah kepada persekitaran universiti yang pelbagai boleh mengambil peluang untuk memahami dan menghormati perbezaan tradisi semasa menyambut Aidilfitri. Sebagai contoh, mahasiswa dari Semenanjung yang berpeluang menyambut Aidilfitri di Sabah atau Sarawak akan dapat melihat perbezaan dalam cara masyarakat setempat meraikan perayaan ini. Ini membantu mereka mengembangkan sikap toleransi dan keterbukaan terhadap budaya yang berbeza. Hal ini amat bertetapan dengan Firman Allah S.W.T dalam Al-Quran,
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)”, (Al-Hujuraat 49:13).
b) Mengelakkan pembaziran dan sikap bermegah-megah
Aidilfitri juga merupakan peluang bagi mahasiswa untuk mengamalkan nilai kesederhanaan dalam perayaan. Kemahiran insaniah yang baik dapat ditunjukkan melalui cara mereka berbelanja secara bijak, mengelakkan pembaziran makanan dan tidak terlalu menonjolkan kemewahan dalam media sosial. Mahasiswa yang mengamalkan gaya hidup sederhana dalam perayaan ini menunjukkan bahawa mereka memiliki kesedaran tentang kepentingan berjimat cermat dan bersyukur dengan apa yang ada.
Justeru itu, sambutan Hari Raya Aidilfitri bukan hanya tentang kemeriahan perayaan, tetapi juga satu platform terbaik bagi mahasiswa untuk mempamerkan dan membangunkan kemahiran insaniah MADANI. Kemahiran komunikasi, kerja berpasukan, kepimpinan, empati dan toleransi dapat dipraktikkan dalam interaksi bersama keluarga, jiran dan masyarakat sekeliling. Mahasiswa yang memahami kepentingan pembangunan sahsiah dalam kehidupan bermasyarakat akan lebih bersedia untuk menjadi individu yang beradab, bertanggungjawab dan prihatin terhadap orang lain. Dengan mengamalkan kemahiran insaniah yang baik semasa sambutan Aidilfitri, mereka bukan sahaja menyumbang kepada kesejahteraan keluarga dan masyarakat, tetapi juga menjadi duta MADANI yang mencerminkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.

Dr. Anim Zalina Azizan
Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni)
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
