
Oleh Prof. Madya Ts. Chm Dr. Hatijah Basri, Prof. Ts. Dr. Mohd Fadzelly Abu Bakar
MUAR – Bagi mengimarahkan bulan Ramadan dengan aktiviti bermanfaat, sekumpulan pensyarah Program Teknologi Makanan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berkongsi ilmu dengan penduduk Kampung Jawa, Panchor, Johor melalui aktiviti memasak dan mengagihkan bubur lambuk menggunakan teknologi retort.
Program yang diadakan pada 11 Mac lalu itu bukan sahaja untuk mengeratkan hubungan antara universiti dan masyarakat setempat, tetapi juga memperkenalkan teknologi pemprosesan makanan moden yang mampu memanjangkan jangka hayat makanan tanpa penggunaan bahan pengawet.
Teknologi retort digunakan dalam penyediaan bubur lambuk bagi memastikan ia tahan lebih lama sekali gus mengekalkan rasa dan kualitinya.
Proses ini melibatkan pemanasan bubur lambuk dalam bekas kedap udara pada suhu dan tekanan tinggi, menjadikannya selamat untuk disimpan lebih lama tanpa perlu disejukkan.
Menurut penyelaras program, Prof. Ts Dr. Mohd Fadzelly Abu Bakar, aktiviti itu merupakan salah satu inisiatif Program Teknologi Makanan, UTHM dalam memperkenalkan inovasi pemprosesan makanan kepada masyarakat, selain memberi pendedahan kepada pelajar mengenai aplikasi teknologi dalam industri makanan.
“Pihak kami ingin berkongsi ilmu berkaitan makanan tradisional seperti bubur lambuk yang boleh dikomersialkan dengan kaedah moden seperti teknologi retort, sekali gus membantu usahawan kecil meningkatkan daya saing produk mereka,” katanya.
Selain penyediaan bubur lambuk, penduduk Kampung Jawa juga bergotong-royong dalam proses memasak, membungkus dan mengedarkan bubur kepada penduduk setempat termasuklah kepada penduduk sekitar kawasan Panchor.
Sementara itu, Dekan Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Prof. Madya ChM. Ts. Dr. Hatijah Basri, turut hadir memberi sokongan kepada penganjuran program tersebut.
Beliau dalam ucapannya turut menekankan kepentingan teknologi makanan dalam memastikan keselamatan dan ketahanan makanan berada pada tahap yang terbaik.
“Saya harap program sebegini dapat memberi manfaat kepada penduduk setempat, selain dapat membuka peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di bilik kuliah dalam situasi sebenar.
“Program ini diharap dapat menjadi platform berterusan bagi memperkasakan komuniti dengan pengetahuan teknologi makanan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan industri makanan halal yang lebih mampan di Malaysia,” katanya.
Program itu turut mendapat kerjasama daripada Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC), UTHM, yang diketuai oleh Pengarahnya, Profesor Madya Ts. Dr. Faridah Kormin.
Berita ini juga diterbitkan di:
1. Sinar Bestari (sinarbestari.sinarharian.com.my), 25 Mac 2025: Pensyarah UTHM kongsi ilmu teknologi retort dengan komuniti Kampung Jawa