Usahawan wanita Malaysia semakin memainkan peranan penting dalam sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), dengan lebih 242,000 perniagaan diterajui mereka. Walau bagaimanapun, mereka masih berdepan pelbagai cabaran yang perlu ditangani untuk memastikan pertumbuhan dan daya saing mereka di peringkat global.
Cabaran usahawan wanita
Usahawan wanita sering menghadapi kesukaran mendapatkan pembiayaan disebabkan kurangnya jaminan kewangan serta stereotaip gender dalam sektor kewangan. Selain itu, jurang kemahiran digital membatasi perkembangan mereka dalam e-dagang dan pemasaran digital, menyebabkan mereka ketinggalan dalam pasaran yang kompetitif. Mereka juga berhadapan dengan cabaran menembusi pasaran yang didominasi oleh syarikat besar, serta tanggungjawab keluarga yang boleh menghalang perkembangan perniagaan. Kurangnya jaringan sokongan dan akses kepada mentor perniagaan turut membatasi pertumbuhan perniagaan mereka.
Peluang dan perkembangan baharu
Namun, revolusi digital membuka peluang luas kepada usahawan wanita melalui platform e-dagang dan media sosial untuk memasarkan produk secara global. Selain itu, pematuhan kepada prinsip Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) menarik lebih banyak pelaburan dan akses kepada pembiayaan hijau bagi perniagaan yang mampan. Peningkatan kesedaran terhadap produk tempatan dan keunikan produk yang dihasilkan oleh usahawan wanita juga memberi kelebihan kepada mereka dalam pasaran domestik dan antarabangsa.
Sokongan kerajaan dan swasta
Kerajaan melalui TEKUN Nasional menyediakan Skim TemanNita, manakala Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menawarkan pinjaman mikro kepada wanita berpendapatan rendah. Program seperti Women Netpreneur oleh SME Corp Malaysia juga membantu memperkukuh kemahiran pemasaran digital usahawan wanita. Menurut Prof. Dato’ Dr. Nik Maheran Nik Muhammad dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK), pemerkasaan wanita dalam keusahawanan dapat membuka peluang ekonomi yang lebih luas. Katanya wanita terkenal dengan perancangan perniagaan yang teliti dan strategik. Keupayaan mereka untuk mengimbangi kepimpinan dan tanggungjawab keluarga menjadikan mereka lebih berdaya tahan dalam mengatasi cabaran.
Selain itu, program seperti Academy for Women Entrepreneurs (AWE) memberikan bimbingan dan sokongan mentor kepada usahawan wanita bagi meningkatkan daya saing mereka dalam pasaran. Kolaborasi dengan syarikat teknologi dan institusi kewangan juga membolehkan mereka memperoleh latihan serta pembiayaan yang lebih fleksibel.
Contoh usahawan wanita Malaysia berjaya
Beberapa usahawan wanita Malaysia telah mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa. Pengasas bersama Grab, Tan Hooi Ling, adalah contoh bagaimana inovasi boleh membawa kejayaan global. Dalam industri fesyen pula, Noor Neelofa Mohd Noor berjaya menjadikan jenama Naelofar dikenali di luar negara dengan jualan mencecah puluhan juta ringgit. Kejayaan ini membuktikan bahawa usahawan wanita Malaysia mampu bersaing di peringkat antarabangsa dengan strategi dan sokongan yang tepat.
Langkah ke hadapan
Menurut Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), kerajaan berhasrat menubuhkan Akademi Wanita sebagai pusat latihan keusahawanan dan pembangunan profesional bagi meningkatkan daya saing serta kemahiran usahawan wanita dalam pelbagai sektor. Kerajaan turut mensasarkan agar sekurang-kurangnya 30% daripada syarikat PMKS dimiliki oleh wanita dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
MEDAC menekankan kepentingan kolaborasi pelbagai pihak dalam menyokong usahawan wanita. Peranan akademia dalam menyediakan penyelidikan, latihan dan pemindahan ilmu amat penting dalam memperkasa usahawan wanita. Jika sektor kerajaan, swasta dan akademik bekerjasama dengan visi yang sama, Malaysia berpotensi menjadi ekonomi yang lebih kompetitif dan inovatif. Selain itu, inisiatif seperti bimbingan perniagaan, pemerkasaan digital, serta kempen kesedaran perlu diperkukuh untuk memastikan lebih ramai wanita mendapat manfaat daripada program yang disediakan.
Kesimpulannya, meskipun berdepan pelbagai cabaran, usahawan wanita di Malaysia berpotensi tinggi untuk berkembang dengan sokongan yang tepat. Melalui teknologi digital, program latihan dan pembiayaan, serta pematuhan kepada prinsip perniagaan mampan, mereka boleh menjadi dalah satu pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara. Keusahawanan wanita bukan sekadar agenda kesaksamaan, tetapi merupakan strategi penting dalam memastikan pembangunan ekonomi yang mampan dan berdaya saing. Wanita Malaysia boleh terus maju sebagai pemain utama dalam dunia perniagaan melalui sokongan yang lebih padu dan inisiatif yang bersasar daripada pelbagai pihak._Foto oleh Bernama

Dr. Umi Kartini Rashid
Pensyarah Kanan
Ketua Jabatan Pemajuan Penyelidikan & Pembangunan
Johor Business School (JBS)
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
