Malaysia baru-baru ini dikejutkan dengan berita kematian seorang murid, Allahyarham Mohammad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, berusia 10 tahun, akibat tercekik gula-gula gummy yang dibeli di luar pagar sekolah. Kejadian ini menjadi peringatan kepada ibu bapa, guru dan pihak sekolah agar lebih peka terhadap makanan yang dimakan oleh kanak-kanak.

Untuk rekod, kes tercekik bukanlah sesuatu yang luar biasa. Oleh itu, amat penting bagi semua pihak memahami bagaimana kejadian tercekik boleh berlaku, faktor-faktor risiko yang menyumbang kepada kemalangan jiwa ini, serta langkah-langkah kawalan yang perlu diambil untuk mencegahnya agar tidak berulang pada masa hadapan.

Seorang anak yang pergi tidak akan dapat digantikan. Kematian seorang murid bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada ibu bapa tetapi juga kepada pihak sekolah yang terlibat, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Justeru, memahami mekanisme kejadian tercekik adalah langkah pertama dalam usaha mencegahnya.

Bagaimana kes tercekik boleh berlaku?

Tercekik berlaku apabila makanan atau objek asing tersangkut di saluran pernafasan, menghalang udara daripada masuk ke paru-paru. Bahaya terkecik boleh dikategorikan berpunca dari empat faktor risiko utama, di setiap kategori mempunyai penerangan faktor risiko tersendiri yang boleh menyumbang kepada insiden tercekik sehingga menyebabkan saluran pernafasan tertutup.

Tekstur dan bentuk makanan

Makanan yang keras, licin, kenyal atau berbentuk bulat lebih berisiko menyebabkan tercekik. Contohnya sosej, anggur, kacang, gula-gula keras serta gula-gula gummy beraneka warna yang popular dalam kalangan kanak-kanak.  Makanan berbentuk bulat dan licin boleh terus meluncur ke dalam tekak tanpa dikunyah dengan sempurna. Potongan makanan yang terlalu besar juga sukar dikunyah dan ditelan, meningkatkan risiko tercekik.

Keupayaan mengunyah dengan baik

Proses mengunyah berfungsi untuk memecahkan makanan kepada bahagian lebih kecil sebelum ditelan. Keupayaan mengunyah seseorang bergantung kepada kekuatan dan koordinasi otot-otot di dalam mulut. Kanak-kanak, terutama yang masih kecil, mungkin belum mempunyai kawalan otot mulut yang sepenuhnya matang, menyebabkan mereka lebih berisiko tercekik.

Terdapat juga sesetengah kanak-kanak mempunyai kelemahan otot yang menyebabkan mereka tidak dapat mengunyah dengan berkesan. Ia boleh berpunca dari tabiat pemakanan yang tidak biasa makan makanan dengan pelbagai tekstur sehingga menjadi kurang cekap dalam mengunyah makanan tertentu.

Jika makanan tidak dikunyah dengan betul, sama ada kerana terlalu besar, terlalu licin atau terlalu keras, ia boleh terus masuk ke dalam tekak dalam bentuk asal dan berisiko menyumbat saluran pernafasan. Makanan melekit seperti mentega kacang dan marshmallow boleh melekat pada dinding tekak dan menyukarkan proses menelan.

Gangguan proses menelan dan risiko salah saluran

Dalam keadaan normal, epiglottis (struktur kecil dalam tekak) akan menutup saluran pernafasan bagi memastikan makanan masuk ke dalam esofagus (saluran makanan) dan bukan trakea (saluran udara). Namun, jika seseorang makan dalam keadaan tergesa-gesa, bercakap, ketawa, atau bermain semasa makan, makanan boleh tersilap masuk ke dalam trakea. Situasi ini boleh menyebabkan makanan tersangkut di saluran pernafasan dan menghalang pergerakan udara ke paru-paru.

Faktor Tambahan yang meningkatkan risiko

Kurangnya air liur. Makanan kering atau bertekstur kasar seperti biskut dan kekacang memerlukan lebih banyak air liur untuk melembutkannya sebelum ditelan. Jika air liur tidak mencukupi, makanan boleh tersekat di tekak. Makan sambil bergerak atau bermain. Kanak-kanak yang makan sambil berlari atau bercakap lebih cenderung menelan makanan tanpa mengunyah dengan betul. Pengawasan yang tidak mencukupi. Kanak-kanak kecil memerlukan pemantauan rapi semasa makan bagi memastikan mereka tidak memasukkan terlalu banyak makanan ke dalam mulut secara serentak.

Langkah pencegahan untuk mengelakkan tercekik

Bagi mengurangkan risiko tercekik dalam kalangan kanak-kanak, pengawasan semasa makan amat penting. Kanak-kanak tidak boleh ditinggalkan tanpa pemantauan ketika makan, dan mereka perlu duduk dalam keadaan tegak bagi memastikan makanan dapat ditelan dengan betul. Selain itu, pemilihan makanan yang selamat juga memainkan peranan utama dalam mengurangkan risiko tercekik. Makanan yang berbentuk bulat, keras, atau licin tidak sesuai untuk kanak-kanak kecil kerana boleh menyebabkan halangan di saluran pernafasan. Oleh itu, makanan perlu dipotong menjadi saiz yang lebih kecil sebelum diberikan kepada mereka.

Selain itu, kesedaran mengenai cara makan yang selamat perlu diterapkan dalam kalangan kanak-kanak. Mereka harus diajar untuk mengunyah makanan dengan betul sebelum menelannya serta mengelakkan bercakap, ketawa, atau bermain ketika makan kerana tindakan ini boleh meningkatkan risiko makanan tersedak ke dalam saluran pernafasan. Dalam masa yang sama, pendidikan dan latihan pertolongan cemas juga amat penting bagi memastikan tindakan segera dapat diambil sekiranya berlaku insiden tercekik. Ibu bapa, guru, dan kakitangan sekolah disarankan untuk mempelajari teknik pertolongan cemas seperti Heimlich Maneuver dan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) supaya mereka dapat bertindak dengan pantas dalam situasi kecemasan, sekali gus berpotensi menyelamatkan nyawa.

 

 

Profesor Madya Dr. Ezrin Hani Sukadarin

Fakulti Teknologi Kejuruteraan,

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Utusan Malaysia (muka surat: 26), 6 Mac 2025: Ambil pengajaran isu kanak-kanak tercekik makanan ringan 

 

2. Utusan (utusan.com.my), 6 Mac 2025: Ambil pengajaran isu kanak-kanak tercekik makanan ringan 

Ambil pengajaran isu kanak-kanak tercekik makanan ringan