
Oleh Prof. Madya Dr. Md. Asrul Nasid Masrom
BATU PAHAT – Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima kunjungan delegasi dari Fakulti Ekonomi dan Perniagaan (FEB), Universitas Buana Perjuangan (UBP) Karawang, Indonesia pada 10 Februari 2025 lalu bagi memperkukuhkan lagi kerjasama strategik antara dua institusi.
Lawatan yang diketuai oleh Dr Uus itu juga merupakan salah satu aktiviti yang terkandung di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah dimeterai sebelum ini.
Pada pertemuan tersebut, kedua-dua pihak turut menandatangi Letter of Intent (LoI) sebagai simbolik kepada komitmen bersama dalam melaksanakan pelbagai program kolaborasi dalam bidang penyelidikan, khidmat masyarakat, penerbitan jurnal, penganjuran persidangan dan program pertukaran pensyarah.
Beberapa agenda penting turut dibincangkan secara menyeluruh antaranya pelaksanaan penyelidikan bersama (joint research) yang melibatkan pensyarah dan pelajar dari kedua-dua institusi dalam bidang ekonomi, pengurusan dan teknologi, program khidmat masyarakat di lokasi terpilih, program pensyarah jemputan (visiting lecture) bagi meningkatkan mobiliti akademik dan pertukaran ilmu serta penganjuran persidangan di peringkat antarabangsa.
Bagi penerbitan ilmiah pula, UBPK dan FPTP bakal bekerjasama dalam penerbitan artikel pelajar dan pensyarah, yang mana pelajar FEB akan diberi peluang untuk menerbitkan artikel di jurnal dan prosiding Research in Management and Technology Business (RMTB) UTHM, manakala artikel pelajar UTHM pula akan diterbitkan di jurnal akademik UBP.
Sementara itu, Dekan FPTP, Prof. Madya Dr. Shafie Mohamed Zabri berharap kerjasama strategik seumpama itu dapat memberi manfaat yang besar kepada kedua-dua institusi.
“Melalui kolaborasi ini, kedua-dua pihak dapat meningkatkan mutu penyelidikan, memperluas jaringan akademik serta memberi peluang yang lebih luas kepada pelajar dan pensyarah dalam bidang akademik dan industri.
“Kerjasama seumpama ini bukan sahaja dapat merancakkan penganjuran aktiviti akademik dan profesional pada masa hadapan, tetapi turut menyumbang kepada perkembangan akademik yang lebih holistik dan bermanfaat di peringkat lokal dan juga global,” katanya.