Fenomena ‘brain drain’ atau penghijrahan golongan profesional dan berkemahiran tinggi ke negara-negara luar, merupakan isu yang memberi kesan besar kepada pembangunan ekonomi dan sosial di Malaysia. Fenomena ini telah menjejaskan pelbagai sektor di negara ini, terutamanya dalam bidang teknologi, perubatan dan pendidikan.
Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada fenomena brain drain ini. Salah satu faktor adalah kekurangan peluang pekerjaan yang berkualiti dan berpendapatan tinggi. Banyak profesional muda merasa sukar untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan mereka di Malaysia, terutama dalam sektor-sektor yang memerlukan kemahiran khusus. Akibatnya, mereka cenderung mencari peluang yang lebih baik di luar negara.
Selain itu perbezaan gaji yang ketara antara Malaysia dan negara-negara maju seperti Singapura, Australia dan Amerika Syarikat juga adalah faktor penting yang mendorong penghijrahan tenaga kerja berkemahiran tinggi. Gaji yang lebih tinggi di negara-negara tersebut telah menarik minat profesional Malaysia yang mencari imbuhan setimpal dengan usaha dan kemahiran mereka.
Satu lagi faktornya adalah persepi yang negara-negara seperti Singapura dan Australia menawarkan kualiti hidup yang lebih tinggi, termasuk kemudahan kesihatan, pendidikan, perumahan dan persekitaran yang lebih selamat. Mereka berangapan negara-negara ini mempunyai kelebihan dalam hal-hal tersebut.
Seterusnya adalah faktor kualiti dan peluang pendidikan yang lebih baik di luar negara. Ini menarik minat pelajar Malaysia untuk melanjutkan pengajian di institusi-institusi ternama. Tambahan pula, peluang untuk menjalankan penyelidikan yang lebih canggih dan mendapatkan pengalaman dalam projek-projek berimpak tinggi mendorong mereka untuk tinggal di negara-negara tersebut selepas tamat pengajian.
Juga ada berlaku mereka yang mempunyai kelayakan tinggi berhijrah dan melakukan kerja yang tidak mempunyai Kemahiran seperti pencuci bangunan. Sebagai contoh, sebelum ini masyarakat telah digemparkan degan kisah seorang tenaga pengajar di IPTS yang menjadi tukang cuci di negara Singapura. Beliau memperoleh pendapatan keseluruhan SGD 3100 sebulan bersamaan dengan RM9300. Tindakan beliau didorong oleh rasa tertekan disebabkan peningkatan kos sara hidup dan beban kewangan yang lain.
Kesan dari fenomena brain drain mengakibatkan kita kekurangan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam pelbagai sektor di Malaysia. Ini menghalang pertumbuhan industri penting seperti teknologi maklumat, perubatan dan kejuruteraan, seterusnya menjejaskan daya saing negara di peringkat global.
Penghijrahan penyelidik dan saintis tempatan akan mengakibatkan pengurangan aktiviti inovasi dan penyelidikan di Malaysia. Ini memberi kesan negatif terhadap kemajuan teknologi dan pembangunan produk-produk baharu yang penting untuk pertumbuhan ekonomi.
Selain itu, negara akan kehilangan pelaburan dalam pendidikan. Setiap pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian ke luar negara adalah hasil daripada pelaburan besar oleh keluarga dan kerajaan. Apabila mereka memilih untuk tinggal dan bekerja di luar negara, negara kehilangan pelaburan tersebut dan tidak mendapat pulangan daripada kemahiran dan pengetahuan yang telah dibangunkan.
Brain drain juga memberi kesan kepada pembangunan kepimpinan masa hadapan di Malaysia. Apabila ramai golongan muda yang berpotensi tinggi memilih untuk berpindah ke luar negara, negara kehilangan pemimpin-pemimpin masa hadapan yang dapat menyumbang kepada pembangunan sosial, ekonomi dan politik.
Kerajaan Malaysia kini memberi perhatian serius dan telah merangka langkah-langkah proaktif untuk mengatasi fenomena ini. Penubuhan Johor Sing Special Economic Zone (JS-SEZ) dijangka mampu mengekang fenomena tersebut dan usaha ini mampu memainkan peranan penting dalam menarik dan mengekalkan bakat-bakat tempatan.
JS-SEZ adalah zon ekonomi khas yang diwujudkan di kawasan selatan Johor dengan matlamat utama untuk merangsang pembangunan ekonomi dan menarik pelaburan asing. Zon ini menawarkan pelbagai insentif kepada syarikat-syarikat yang beroperasi di dalamnya, termasuk pengecualian cukai, kemudahan infrastruktur yang canggih dan persekitaran perniagaan yang kondusif.
Salah satu faktor utama yang mendorong brain drain adalah kekurangan peluang pekerjaan yang berkualiti di dalam negara. JS-SEZ dijangka dapat menawarkan peluang pekerjaan yang menarik kepada graduan dan profesional tempatan melalui pelaburan dalam sektor-sektor berteknologi tinggi seperti teknologi maklumat, pembuatan pintar serta penyelidikan dan pembangunan. Ini bukan sahaja akan mengurangkan penghijrahan tenaga kerja tetapi juga akan meningkatkan kemahiran dan kepakaran tempatan.
Untuk mengekalkan bakat tempatan, kualiti hidup yang baik adalah faktor penting. Kerajaan negeri Johor sedang merangka dan berusaha untuk menyediakan kemudahan infrastruktur yang lengkap termasuk perumahan, pengakutan, pendidikan, kemudahan kesihatan, dan rekreasi di JS-SEZ. Dengan persekitaran hidup yang selesa dan mesra keluarga, profesional tempatan akan lebih cenderung untuk menetap dan membina kerjaya mereka di sini.
Seterusnya kerjasama yang erat dengan universiti dan institusi pendidikan tempatan adalah kunci untuk memastikan bekalan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi. jS-SEZ berusaha untuk menjadi pusat penyelidikan dan inovasi dengan menggalakkan kerjasama antara sektor industri dan akademia. Ini akan memberi peluang kepada para pelajar untuk menjalani latihan industri dan melibatkan diri dalam projek penyelidikan yang relevan, seterusnya meningkatkan kebolehpasaran mereka di pasaran kerja.
Zon ekonomi khas ini juga berperanan sebagai pemangkin kepada pembangunan komuniti dan ekosistem inovasi. Dengan adanya pelbagai inisiatif dan program yang menyokong keusahawanan dan inovasi, JS-SEZ mampu mencipta persekitaran yang dinamik dan proaktif dalam menyokong pertumbuhan syarikat-syarikat baru serta menggalakkan lebih ramai profesional untuk kembali dan menyumbang kepada pembangunan negara.
Dalam usaha mengekang fenomena brain drain, JS-SEZ menawarkan penyelesaian yang berpotensi melalui penyediaan peluang pekerjaan yang berkualiti, peningkatan kualiti hidup, kerjasama dengan institusi pendidikan, dan pembangunan ekosistem inovasi. Dijangka 100,000 peluang pekerjaan akan wujud dan 20,000 darinya memerlukan tenaga kemahiran tinggi. Dengan strategi yang komprehensif dan sokongan daripada semua pihak, Malaysia mampu mengekalkan bakat tempatan dan menggalakkan lebih ramai untuk kembali ke tanah air, seterusnya menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara._Foto oleh Hari Anggara

Mohamed Ismail bin KP Haji Pakir Mohamed
Pensyarah Kanan
Ketua Focus Group Manufacturing Technology Management
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
