
Fenomena luar biasa banjir memberikan kesan dan impak yang menjejaskan kehidupan seharian. Bencana ini sering kali dikaitkan menjelang musim tengkujuh. Tetapi kini, fenomena banjir boleh datang secara tiba-tiba tanpa sebarang petanda atau amaran.
Fenomena ini memberikan kesan kerugian secara langsung kepada individu yang terjejas, antaranya kerosakan terhadap harta benda. Kerosakan ini melibatkan peralatan atau kelengkapan sama ada rumah kediaman, premis kedai, pejabat ataupun kenderaan.
Kesannya pemilik yang terjejas perlu menggantikan peralatan yang telah rosak, dan seterusnya terpaksa menanggung kos yang tinggi akibat kesan banjir. Banjir luar biasa ini turut menjejaskan infrastruktur bangunan, jalan raya, tanaman mahupun bentuk muka bumi. Capaian statistik negara terdahulu menunjukkan kerugian disebabkan oleh bencana ini mencecah jutaan ringgit dan melibatkan pelbagai impak.
Produk, kelengkapan atau peralatan adalah harta benda penting dalam melengkapkan kehidupan, menyokong gaya hidup dan kelestarian manusia. Pelbagai jenis produk dihasilkan oleh pengilang dalam memenuhi keperluan semasa, disertakan dengan kecanggihan teknologi pada masa kini.
Pengeluaran dan penghasilan produk mesra bencana dapat membantu mengurangkan kos terhadap kerosakan peralatan. Pertimbangan terhadap pelbagai aspek dalam reka bentuk produk mesra bencana penting dengan menginovasikan rekaan yang lestari. Lestari dalam konteks kekuatan, ketahanan, kekukuhan dan keteguhan. Produk mesra bermaksud mudah disimpan, dioperasi, diangkat ataupun dialih.
Dalam memastikan rekaan produk adalah mesra dan lestari, ciri-ciri penting dalam penghasilan produk perlu dikenal pasti. Banjir akan melibatkan kehadiran air di tempat dan kawasan tertentu, sama ada dalam tempoh yang singkat atau jangka masa panjang. Pemilihan produk yang diperbuat dari bahan kalis air adalah faktor penting untuk dinilai. Kelengkapan perabot yang diperbuat dari bahan kayu adalah berbeza impak dibandingkan dengan perabot bercirikan fabrik.
Oleh yang demikian, pemilihan dan penilaian bahan yang digunakan dalam pembangunan produk perlu diperhalusi. Sebaliknya, penggunaan bahan yang bersifat tidak kalis air sesuai dipertimbangkan sekiranya memenuhi dan dilengkapi dengan ciri-ciri terbantu lain.
Pemilihan ciri-ciri lain antaranya adalah produk yang mudah dikendalikan, ringan, tidak memerlukan ruang penyimpanan yang besar, reka bentuk yang fleksibel, ringkas atau bilangan komponen minimum.
Umumnya, fenomena banjir ini akan berlaku pada sela masa yang cepat. Penggunaan kelengkapan yang ringan dapat memudahkan pengalihan bahan dan pengangkutan dari satu tempat ke tempat yang lain. Di samping itu, penggunaan kelengkapan yang mempunyai reka bentuk yang fleksibel mempercepatkan proses penyimpanan kelengkapan.
Kebiasaannya, kelengkapan elektrik adalah peralatan yang mudah mengalami kerosakan sekiranya terdedah pada air. Malahan, ia turut melibatkan keselamatan pengguna. Pemilihan kelengkapan elektrik yang memenuhi ciri-ciri di atas dapat membantu menyelamatkan dari kerosakan, terutama sistem elektrik dan elektronik (kalis air).
Walau bagaimanapun, fenomena ini secara tidak langsung dapat memberi cetusan idea kepada pereka cipta dalam menginovasikan produk yang memenuhi keperluan tertentu. Pembangunan produk yang memenuhi kepelbagaian fungsi dapat menjimatkan ruang, sekali gus mengurangkan kepadatan kelengkapan dalaman rumah atau premis.
Inovasi produk secara berfokus memberikan kelebihan terhadap kualiti yang dihasilkan. Tambahan pula, kawalan kualiti yang dibuat mencakupi keadaan sebenar. Penambahbaikan dan kesesuaian produk dinyatakan secara spesifik mengikut penggunaan.
Pendedahan terhadap keperluan merancang pembelian kelengkapan, peralatan sama ada di rumah atau premis-premis yang lain, dapat membantu pengguna mengurangkan risiko kerugian yang perlu ditanggung pada masa akan datang.
Hal ini juga dapat membantu peniaga dan usahawan kelengkapan dan peralatan dalam menyediakan kelengkapan produk yang bersesuaian kepada pengguna-pengguna di kawasan yang terdedah kepada risiko banjir.
Pertimbangan dalam pemilihan kelengkapan harta benda ini dapat membantu kelestarian produk yang dibeli dan dapat digunakan dalam jangka hayat yang lama.
Penjajaran keperluan pengguna dalam memilih kelengkapan dan peralatan bersesuaian membantu dalam membuat perancangan sekiranya fenomena banjir berulang di tempat yang sama._Foto oleh ZULFACHRI ZULKIFLI, Kosmo
Prof. Madya Ts. Dr. Ahmad Mubarak bin Tajul Arifin
Penyelidik Utama
Pusat Penyelidikan Pencegahan dan Kebolehpercayaan Kegagalan Mekanikal (MPROVE)
Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
——————————————
Ketua Jabatan,
Keusahawanan, Daya Usaha dan Inovasi dan Sastera Liberal
Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)