Oleh Ts. Dr. Haji Mohd Shahir Yahya, Haji Abd Khalil Abd Rahim

BATU PAHAT – Bagi memberi pendedahan berkaitan ibadah haji dan umrah, seramai 300 kanak-kanak Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) berpeluang menyertai program ‘Langkah Haji Cilik 2024’ anjuran pelajar Kursus Haji dan Umrah (UQD10301), Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 14 Disember 2024 lalu.

Program dengan kerjasama Pejabat KEMAS Parlimen Seri Gading dan Tabung Haji Cawangan Parit Raja, Batu Pahat itu disertai oleh kanak-kanak KEMAS bersama ibu bapa mereka dari Zon Parit Yaani dan Zon Parit Raja.

Ia diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan awal kepada generasi muda mengenai ibadah haji dan umrah melalui aktiviti simulasi dan pembelajaran interaktif.

Antara aktiviti yang diadakan, simulasi tawaf, saie dan melontar jamrah yang direka khas untuk memberikan pengalaman praktikal kepada peserta cilik.

Kanak-kanak dan ibu bapa juga didedahkan dengan pengetahuan tentang kepentingan niat yang betul, adab serta kaedah pelaksanaan ibadah haji.

Sementara itu, ibu bapa turut diberi taklimat khas oleh pihak Tabung Haji mengenai perancangan dan persediaan mengerjakan haji serta peluang menabung melalui skim-skim yang ditawarkan melalui kuanter tabung haji yang dibuka semasa program.

Menurut Penyelaras Kursus Haji dan Umrah, Ts. Dr. Haji Mohd Shahir Yahya, program itu adalah sebahagian daripada usaha mendekatkan masyarakat dengan nilai-nilai Islam sejak kecil, sambil mengeratkan hubungan antara institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan masyarakat setempat.

“Majoriti ibu bapa melahirkan rasa terharu dengan inisiatif itu kerana bagi mereka program seperti itu bukan sahaja mendidik anak-anak mereka tetapi juga mampu membuka mata ibu bapa tentang pentingnya persediaan awal untuk menunaikan haji,” katanya.

Program tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja, Hajah Rashidah Ramli.

Beliau dalam ucapannya mengucapkan syabas kepada UTHM kerana berjaya merealisasikan program seumpama itu kepada masyarakat setempat bagi mendidik generasi muda tentang kepentingan ibadah haji, sekali gus memberi pengalaman berharga kepada mereka.

 “Program seperti ini bukan sahaja memperkenalkan anak-anak kepada keindahan rukun Islam kelima, tetapi juga mengeratkan hubungan persaudaraan antara masyarakat setempat dengan institusi pengajian tinggi tempatan,” katanya.