Oleh Profesor Madya Dr. Md. Asrul Nasid Masrom
KLUANG – Program Khidmat Masyarakat English Odyssey 2.0, anjuran Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya menarik minat 150 murid Sekolah Kebangsaan Tunku Mahmood 1, Kluang untuk lebih menguasai bahasa Inggeris.
Program dengan kerjasama British Malaysian Society Book Project, Pusat Hubungan Industri dan Komuniti (ICRC) dan Pusat Pengajian Siswazah (CGS) itu bertujuan memupuk minat murid dalam memperkasakan bahasa Inggeris melalui pendekatan pembelajaran interaktif dan menyeronokkan.
Program yang diadakan di Dewan SETMAS pada 25 November 2024 lalu melibatkan penyertaan murid tahun empat dan lima, serta dibantu oleh 10 fasilitator terdiri daripada pelajar pascasiswazah antarabangsa UTHM.
Program kali kedua dianjurkan selepas English Odyssey 1.0 itu disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik, termasuk sesi coaching and mentoring, persediaan props dan pertandingan ‘Story Telling’ berdasarkan buku sumbangan British Malaysian Society.
Pertandingan itu membolehkan murid menunjukkan kreativiti mereka dalam menyampaikan cerita menggunakan bahasa Inggeris dengan bimbingan fasilitator.
Program perpindahan ilmu itu sekali gus memberi peluang kepada pelajar mencuba dan mengasah bakat melalui komunikasi dalam bahasa inggeris secara lebih praktikal, dengan bantuan 400 buku yang telah disumbangkan pada tahun lalu.
Dengan pelaksanaan yang lancar dan kerjasama padu daripada semua pihak, program itu menjadi platform penting dalam memperkasa kemahiran komunikasi murid-murid sekolah rendah, selain mampu merapatkan jurang antara universiti dengan komuniti.
Menurut Guru Besar sekolah terbabit, program seperti itu pastinya memberi impak besar kepada pembelajaran murid.
“Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama daripada UTHM dan British Malaysian Society kerana program ini membuka ruang kepada murid untuk belajar bahasa Inggeris dengan cara yang menyeronokkan, sekali gus meningkatkan keyakinan mereka.
“Pihak sekolah berharap agar inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan untuk memberi manfaat kepada lebih ramai murid,” katanya.
Program tersebut diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan ‘Story Telling’ bagi meraikan komitmen mereka yang terlibat.