Oleh Sharifah Saon, Abd Kadir Mahamad
YAMAGUCHI – Bagi memberi peluang kepada generasi muda menerokai bidang Sains dan Teknologi di Jepun, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) telah melaksanakan ‘JST Sakura Science Exchange Program 2024’ pada 27 Oktober hingga 2 November lalu bertempat di Universiti Yamaguchi dan Kitakyushu, Jepun.
Program yang melibatkan kerjasama antara industri, akademik dan kerajaan itu juga diadakan bertujuan untuk memperkukuh hubungan melalui pemeteraian Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) antara UTHM dan Universiti Yamaguchi.
Penganjuran itu merupakan kali ketiga diadakan dengan penajaan penuh daripada UTHM dan Japan Science and Technology Agency (JST).
Delegasi UTHM diketuai oleh Dekan FKEE, Profesor Madya Ts. Dr. Asmarashid Ponniran bersama lima pelajar pelbagai peringkat pengajian iaitu Iffan Darwis Mohd Ibrahim, Lim Wei Hang dan Muhammad Shazmin Sariman, Abdurrahman Ismail dan Yong Kit Som Kiat.
Antara pengisian program tersebut, lawatan kampus Universiti Yamaguchi dan Pusat Satelit KDDI di Ube, Jepun diikuti dengan lawatan ke JAXA West Japan Satellite Disaster Prevention Utilization Research Center dan Yamaguchi University Applied Satellite Remote Sensing Research Center.
Peserta turut menghadiri sesi kuliah mengenai teknologi remote sensing disampaikan oleh Dr. Toshikazu Samura selain menjalani latihan menganalisa imej remote sensing menggunakan AI yang dikendalikan oleh Profesor Shingo Yamaguchi dan Dr. Anuaruddin, yang diakhiri dengan pembentangan hasil latihan.
Turut diadakan, sesi menandatangani MoU yang akan diperbaharui mulai 30 April 2025 hingga 2030.
MoU tersebut ditandatangani oleh Prof. Yamada Yoichi, Dekan Faculty of Engineering, Yamaguchi University, manakala UTHM diwakili oleh Dekan FKEE.
Potensi kerjasama lain yang turut dibincangkan adalah peluang melaksanakan program dual-degree dan mobiliti jangka panjang bagi program sarjana penyelidikan FKEE, UTHM ke Yamaguchi University.
Selain daripada aktiviti di Universiti Yamaguchi, lima kertas teknikal telah dibentangkan di IEEE 13th Global Conference on Consumer Electronics (GCCE) 2024 yang berlangsung di Kitakyushu.
Pembentangan itu sebahagiannya dibiayai oleh Interface Corporation, Jepun dan Graduate School of Sciences and Technology for Innovation, Universiti Yamaguchi.
Program JST Sakura Science Exchange itu berperanan sebagai platform untuk generasi muda meneroka sains dan teknologi sehingga ke Jepun serta membuka peluang penyelidikan bersama.
Aktiviti seperti itu akan dirancang dan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan kerjasama kukuh antara UTHM dan Universiti Yamaguchi terus terjalin.