Oleh Munirah Mohd Yusof, Haszrinaz Husain@Hashim
PULAU LUZON, 2 Nov 2024 – Sekumpulan pendaki dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya menawan puncak Gunung Pulag yang terletak di Baguio, utara Pulau Luzon, Filipina setelah mengambil masa empat jam mendaki.
Misi menawan puncak Pulag ini diketuai oleh Dr. Mohamad Aizi Salamat dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) dan lapan staf UTHM iaitu Prof. Ir. Dr. Md. Saidin Wahab dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Munirah Mohd Yusof dari FSKTM, Ezuan Jamil dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Lokman Hakim Jamil dari Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat, Khairi Mohd dari Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Ts. Dr. Anizam Mohamed Yusof dari Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Hazifa Hani Ramli dari Pejabat Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan Haszrinaz Husain @ Hashim dari Pejabat Pendaftar, bersama enam pendaki lagi dari komuniti setempat.
Berketinggian 2928 meter, Gunung Pulag merupakan gunung tertinggi di Luzon dan ketiga tertinggi di Filipina.
Menurut Dr. Aizi, cabaran pendakian bermula seawal jam 1.30 pagi bagi memburu matahari terbit dan awan karpet di puncak gunung.
“Banyak cabaran dan rintangan yang ditempuhi oleh para pendaki antaranya cuaca yang agak sukar dijangka di puncak kerana keadaan semula jadi kawasan tersebut yang mempunyai sistem microclimate iaitu sistem iklim tersendiri,” katanya.
Paling menarik, sewaktu perjalanan menawan puncak Pulag, para peserta yang dipandu oleh dua malim gunung turut dihidangkan dengan pelbagai bentuk muka bumi antaranya hutan pine, hutan berlumut dan padang rumput savanah dan turut disambut dengan keindahan suasana matahari naik dan ketebalan karpet awan.
Tambah beliau, kerjasama yang jitu antara para pendaki merupakan resepi kejayaan ekspedisi kali ini.
“Persediaan dari sudut fizikal dan mental juga amat penting supaya kecederaan yang serius dapat dielakkan.
“Diharapkan melalui ekspedisi seumpama ini, para pendaki dapat mencabar diri mereka dan keluar daripada zon selesa masing-masing, sekali gus mampu memberi inspirasi kepada rakan-rakan staf yang lain untuk menjalani kehidupan yang sihat dan seimbang,” katanya.