Cadangan penghapusan subsidi petrol RON95 baru-baru ini di Malaysia telah menimbulkan kegusaran umum yang meluas. Ramai rakyat Malaysia sedang bergelut menghadapi peningkatan kos sara hidup beranggapan  penghapusan subsidi ini hanya menambah kerumitan masalah kewangan mereka. Namun kerajaan telah menjamin subsidi akan dikekalkan untuk 85% rakyat Malaysia . Hanya golongan T15 akan terkesan dengan penarikan subsidi ini. Ini bermakna kerajaan masih menanggung subsidi beranggaran RM12 bilion untuk keperluan 85% rakyat.  Pada 2024 kerajaan telah menanggung subsidi petrol sebanyak RM20 billion.

Tapi sampai bila kerajaan harus menanggung subsidi petrol ini?  Jika kerajaan dapat menghapuskan terus subsidi petrol ini, wang yang diperuntukan untuk subsidi tersebut boleh disalurkan kepada perbelanjaan lain yang mendesak seperti peruntukan pendidikan dan juga kesihatan. Salah satu cara yang berpontesi untuk mengurangkan subsidi adalah peralihan kepada pengunaan kenderaan elektrik atau electric vehicle (EV). Namun harga EV di pasaran Malaysia agak tinggi menjadikan ia sukar untuk dimiliki oleh golongan M40 dan B40. Salah satu penyelesaian yang rasional adalah kerajaan mengesa pengeluar kenderaan EV mengeluarkan kereta mampu milik yang membenarkan pengubahsuaian kereta mengunakan petrol kepada EV. Kos pengubahsuaian adalah jauh lebih murah berbanding degan kos membeli EV baharu.

Pengubahsuaian kereta yang mengunakan petrol kepada EV boleh menawarkan beberapa faedah kepada kerajaan dan orang ramai. Dari perspektif kerajaan, ia boleh membantu mengurangkan kebergantungan negara terhadap bahan api fosil dan menggalakkan sumber tenaga yang lebih bersih. Ini selaras dengan aspirasi Malaysia untuk mencapai pelepasan karbon bersih menjelang tahun 2050. Selain itu, pengubahan kereta pembakaran kepada EV boleh membantu mengurangkan pencemaran udara dan meningkatkan kesihatan awam.

Bagi orang ramai, bertukar kepada EV boleh menawarkan penjimatan kewangan yang signifikan dalam jangka masa panjang. Walaupun pengguna perlu berbelaja kos awal pengubahsuaian namun penjimatan kos bahan api dan penyelenggaraan dapat dengan cepat mengimbangi pelaburan awal. Selain itu, EV patut mendapat pelbagai insentif kerajaan, seperti pengecualian cukai import kit pengubahsuaian dan pengecualian atau pegurangan cukai jalan. Ini boleh mengurangkan lagi kos keseluruhan pengubahsuaian kereta kepada EV.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu mengubal undang-undang untuk membenarkan  pengubahsuaian kereta yang mengunakan petrol kepada EV dan merangka tatakelola untuk memastikan pengubahsuaian EV memenuhi piawaian keselamatan.

Berikut adalah cadangan terperinci rangka kerja  merangkumi peraturan mengenai reka bentuk, pemasangan, ujian dan pensijilan EV yang boleh diguna pakai oleh JPJ.

 

Pensijilan kit pengubahsuaian

Kit pengubahsuaian yang  boleh diguna pakai mestilah yang telah diluluskan oleh kerajaan. Kerajaan boleh bekerjasama dengan badan automotif yang diiktiraf untuk mengesahkan kit pengubahsuaian EV. Kit ini mesti memenuhi piawaian keselamatan sistem elektrik, pengurusan bateri dan integriti kenderaan. Ini akan memastikan hanya kit yang diperakui dan berkualiti tinggi dijual dan digunakan. Ini juga untuk memastikan penyeragaman semua kit pengubahsuaian agar ia mematuhi piawaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

 

Akreditasi bengkel pengubahsuaian

Pelesenan untuk bengkel pengubahsuaian perlu diadakan. Mewujudkan program pensijilan untuk bengkel dan garaj yang dibenarkan untuk melakukan penukaran EV adalah untuk memastikan bengkel-bengkel ini memenuhi piawaian minimum mempunyai pengetahuan, kemahiran dan peralatan yang diperlukan bagi proses pengubahsuaian yang selamat. Audit berkala terhadap bengkel yang diakreditasi perlu dilaksanakan untuk memastikan pematuhan kepada piawaian keselamatan, pengendalian bahan berbahaya yang betul (seperti bateri litium-ion) dan prosedur kawalan kualiti.

 

Pemeriksaan dan ujian wajib

Pemeriksaan keselamatan selepas pengubahsuaian perlu dilaksanakan. Selepas pengubahsuaian, kenderaan mesti menjalani pemeriksaan wajib, yang tertumpu kepada keselamatan sistem elektrik (pendawaian, pembumian, penebat), integriti bateri dan pemasangan yang betul, prestasi sistem brek, terutamanya jika brek regeneratif digunakan, dan kekuatan struktur kenderaan (memastikan struktur kenderaan kekal selamat selepas penukaran). Ujian prestasi juga perlu diwajibkan seperti ujian kecekapan, jarak perjalanan dan penggunaan tenaga untuk memastikan ia memenuhi piawaian minimum.

 

Pendaftaran dan dokumentasi

Pendaftaran khas untuk kenderaan yang diubah suai menjadi EV perlu diperkenalkan. Kategori khas untuk kenderaan yang telah diubah suai kepada EV  perlu diwujudkan untuk memastikan ketelusan dan pengesanan yang lebih mudah jika perlu ada pemeriksaan keselamatan atau panggilan semula (recall). Kenderaan yang menjalani pengubahsuaian menjadi EV mesti dilabel sebagai kenderaan ubah suai dan pemilik mesti menyimpan dokumentasi mengenai proses penukaran, pensijilan kit dan akreditasi bengkel.

 

Latihan dan kesedaran awam

Program latihan untuk mekanik dan jurutera perlu ada.  Kerajaan perlu mewajibkan latihan khusus untuk mekanik mengenai teknik pengubahsuaian kenderaan kepada EV yang selamat, pengurusan bateri dan sistem pacuan elektrik kenderaan EV. Peserta akan mendapat sijil kompentasi dan hanya yang mempunyai sijil ini dibenarkan membuat kerja-kerja pengubahsuaian.

Kerajaan juga perlu menjalankan kempen untuk mendidik orang awam mengenai kepentingan menggunakan kit yang diperakui dan bengkel yang layak untuk pengubahsuaian demi keselamatan pengguna.

 

Penguatkuasaan dan hukuman

Penalti untuk ketidakpatuhan seperti denda atau hukuman untuk pengubahsuain yang tidak mengikuti garis panduan JPJ perlu digubal. Ini termasuk pembatalan lesen bengkel, denda untuk penjual kit pengubahsuain yang tidak diperakui, atau penyitaan kenderaan yang diubah suai secara haram.

Juga perlu diwujudkan sistem untuk memanggil semula (recall) EV yang telah diubah suai yang gagal dalam pemeriksaan keselamatan selepas pengubahsuaian atau kenderaan yang menggunakan komponen yang rosak atau defektif.

Dengan mewujudkan rangka kerja dan peraturan berstruktur dalam bidang-bidang utama ini, kerajaan dapat memastikan pengubahsuaian kenderaan kepada EV adalah lebih selamat, boleh dipercayai, dan bermanfaat dari segi alam sekitar sambil melindungi keselamatan awam.

Kesimpulannya, mengizinkan pengubahsuaian kenderaan kepada EV di Malaysia mungkin menjadi langkah strategik  yang boleh membantu kerajaan meghapuskan  subsidi RON95 di Malaysia. Ia menawarkan beberapa faedah kepada kerajaan dan orang ramai, termasuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil,  udara yang lebih bersih dan penjimatan kewangan negara dan rakyat.  Dengan kos EV yang tinggi, pengubahsuaian kepada EV dapat memberikan alternatif yang mampu milik kepada rakyat, terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah. Inisiatif ini juga dapat merangsang permintaan domestik untuk komponen EV, mencipta peluang pekerjaan dan menyokong matlamat kerajaan untuk mencapai pengurangan emisi karbon menjelang 2050._Foto: dagangnews

 

 

 

Mohamed Ismail bin KP Haji Pakir Mohamed

Pensyarah Kanan

Ketua Focus Group Manufacturing Technology Management

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP)

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Rencana ini juga diterbtikan di:

1. Utusan Malaysia (muka surat: 16), 5 November 2024: Ubah suai kereta kepada EV, alternatif subsidi RON95? 

 

2. Utusan (utusan.com.my), 5 November 2024: Ubah suai kereta kepada EV, alternatif subsidi RON95? 

Ubah suai kereta kepada EV, alternatif subsidi RON95?