Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini telah menekankan kepentingan projek infrastruktur dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara. Salah satu projek utama yang mendapat perhatian ialah cadangan lanjutan Lebuhraya Pantai Barat (WCE) ke selatan tanah air iaitu dari Banting, Selangor ke Gelang Patah, Johor. Projek WCE Selatan ini dijangka membawa pelbagai perkembangan yang positif kepada beberapa daerah di negeri yang terbabit terutamanya daerah-daerah di pantai barat di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Bandar-bandar di pantai barat di sepanjang laluan tersebut seperti Port Dickson, Masjid Tanah, Bandaraya Melaka, Muar, Batu Pahat dan Pontian akan mendapat banyak manafaat dari lanjutan lebuhraya WCE Selatan ini.

Mengurangkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan kesalinghubungan

Buat masa ini Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) merupakan laluan utama selain jalan persekutuan dan jalan negeri yang menghubungkan Lembah Klang dengan bandar-bandar di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Lebuhraya PLUS setiap hari semakin sesak terutamanya di hujung minggu, cuti perayaan, cuti umum dan juga cuti sekolah. Dengan laluan alternatif ini, kesesakan lalu lintas di PLUS dapat dikurangkan, WCE Selatan mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas kritikal, yang akan membawa kepada aliran trafik yang lebih lancar dan pengalaman perjalanan yang lebih baik bagi para pengguna. Ini bukan sahaja akan menjimatkan masa perjalanan, tetapi juga mengurangkan tekanan ke atas infrastruktur sedia ada

Projek ini juga akan meningkatkan kesalinghubungan antara bandar-bandar di sepanjang pantai barat, dari Banting hingga ke Gelang Patah. Ini akan memudahkan pergerakan barangan dan perkhidmatan, serta meningkatkan akses kepada peluang pekerjaan dan pendidikan bagi penduduk di kawasan luar bandar

Meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan pembanguan wilayah

WCE Selatan yang bakal menjadi laluan alternatif kepada jalan persekutuan dan jalan negeri yang menghubungkan beberapa bandar utama ini di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia, akan merangsang aktiviti ekonomi di kawasan-kawasan tersebut, terutamanya dalam sektor pelancongan, perniagaan kecil dan sederhana, serta perdagangan.

Kewujudan lebuh raya ini akan melengkap laluan kebeberapa projek mega yang dirancang oleh pihak swasta berhampiran dengan jajaran WCE Selatan ini. Ia akan mengurangkan tekanan dan kesesakan lalu lintas di jalan persektuan dan jalan negeri semasa pembinaan projek-projek mega ini. Projek-projek tersebut adalah

  1. Projek pelabuhan kontena pintar yang akan dibina di Pasir Panjang, Port Dickson, Negeri Sembilan. Projek swasta bernilai RM2 billion adalah kerjasama di antara Midports Holding Sdn. Bhd dengan syarikat kerajaan Negeri Sembilan, Menteri Besar Incorporated (MBI)
  2. Projek Kuala Linggi International Port (KLIP) di Kuala Sungai Linggi, Melaka yang bakal menjadi hab perindustrian global hijau untuk sumber tenaga, Pelabuhan dan perkhidmatan maritim.
  3. Projek Maharani Energy Gateway (MEG) di Muar, Johor yang merupakan satu hab tenaga dan pelabuhan laut dalam meliputi kawasan tiga pulau buatan seluas 1.295 hektar di pesisir pantai di daerah Muar dijangka menawarkan 45,000 peluang pekerjaan.

WCE Selatan ini juga akan menjadi pemangkin pembangunan wilayah kerana ia membuka dan memudahkan  akses kepada kawasan bandar dan daerah yang sebelum ini kurang mendapat perhatian.  Dijangka akan ada pembangunan kawasan perindustrian baharu, perumahan dan kemudahan awam akibat kebolehcapaian ke daerah dipertingkatkan kesan dari kewujudan lebuh raya ini.

Nilai harta tanah akan mengalami peningkatan dan ini memberi kelebihan dari aspek ekonomi kepada pemilik harta tanah. Peningkatan nilai hartanah dan peluang ekonomi secara tidak langsung akan meningkatkan kualiti hidup penduduk tempatan.

Lebuh raya ini juga akan meningkatkan aksesibiliti ke pelbagai destinasi pelancongan sepanjang pantai barat Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Ini akan merangsang aktiviti ekonomi berkaitan pelancongan. Ini termasuk akses yang lebih mudah ke tapak budaya dan kawasan rekreasi, yang boleh memberi manfaat kepada industri hospitaliti tempatan.

Dengan laluan baharu ini, kawasan-kawasan pelancongan di sepanjang pantai barat akan menjadi lebih mudah diakses. Ini termasuk destinasi seperti Port Dickson, Melaka dan Muar yang terkenal dengan tarikan sejarah dan pantai yang indah. Peningkatan akses ini dijangka menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa, yang seterusnya akan merangsang industri pelancongan tempatan.

Juga akan ada peningkatkan dalam operasi rantaian bekalan.  Ini akan mengurangkan kos pengangkutan bagi syarikat logistik dan menyokong penubuhan taman industri dan pusat pengedaran baharu di sepanjang laluan tersebut.

Selain itu dengan infrastruktur yang lebih baik, bandar-bandar dan daerah berdekatan akan menjadi destinasi yang lebih menarik bagi pelabur asing. Projek ini dijangka menarik pelaburan dalam sektor-sektor seperti pembuatan, logistik dan pelancongan, yang akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Secara keseluruhannya, cadangan lanjutan WC dari Banting ke Gelang Patah yang dibentangkan dalam Belanjawan 2025 adalah langkah strategik yang akan membawa pelbagai manfaat kepada negara. Ia bukan sahaja akan meningkatkan kesalinghubungan dan mengurangkan kesesakan lalu lintas, tetapi juga memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan wilayah._Foto: NSTP

 

 

 

Mohamed Ismail bin KP HJ Pakir Mohamed

Pensyarah Kanan

Ketua Focus Group Manufacturing Technology Management

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP)

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Berita Harian (muka surat: 12), 1 November 2024: Projek WCE Selatan bawa limpahan pembangunan untuk rakyat 

 

2. Berita Harian (bharian.com.my), 1 November 2024: Projek WCE Selatan bawa limpahan pembangunan untuk rakyat 

https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2024/11/1318330/projek-wce-selatan-bawa-limpahan-pembangunan-untuk-rakyat

 

3. Berita Harian Singapura (beritaharian.sg), 10 November 2024: Projek Lebuhraya Pantai Barat Selatan bawa limpahan pembangunan buat rakyat M’sia 

Selatan Bawa Limpahan Pembangunan Buat Rakyat M’sia, Berita Malaysia – Beritaharian.sg