Oleh Dr. Shahidah Md. Nor, Ts. Dr. Wan Nor Munirah Ariffin
BANDAR BARU ENSTEK – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Program Pemindahan Ilmu (KTP) dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bertemakan ‘Book Fest: Celebrating Literature and Copyright’ dan ‘Narative Art 3.0 pada 15 Oktober 2024 lalu.
Program yang berlangsung di English Language Teaching Centre (ELTC), Kompleks Pendidikan Bandar Enstek, Negeri Sembilan itu dianjurkan dengan kerjasama Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Fakulti Sains Gunaan (FAST), Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC), Institut Perguruan Kampus Malewar (IPGKM) dan ELTC.
Seramai 70 peserta yang terdiri daripada pelajar institut perguruan dan tenaga pengajar telah menyertai program itu.
Menurut Pensyarah FAST, Dr. Shahidah Md. Nor penganjuran program tersebut bertujuan meningkatkan minat terhadap karya sastera tempatan, menghargai hak cipta dan menggalakkan aktiviti membaca dalam kalangan warga ELTC serta komuniti setempat.
“Pelbagai aktiviti kreatif telah diadakan yang bertujuan meningkatkan kreativiti dan kesedaran peserta mengenai pentingnya melindungi hasil karya sastera melalui hak cipta.
“Aktiviti-aktiviti yang dianjurkan tidak hanya tertumpu pada bidang sastera, malah turut meliputi aspek seni visual, yang memainkan peranan penting dalam memperkasa ekspresi diri peserta,” katanya.
Salah satu aktiviti utama yang dilaksanakan adalah sesi lukisan abstrak, yang mana setiap peserta menerima kanvas putih bersama pelbagai pilihan warna, membolehkan mereka menerapkan kreativiti secara bebas dan spontan.
Aktiviti tersebut bertujuan memberi ruang kepada peserta untuk mengekspresikan diri tanpa sebarang batasan atau garis panduan yang ketat bagi menghasilkan corak abstrak yang unik dan bermakna.
Melalui teknik itu, mereka bukan sahaja dapat melepaskan emosi dan tekanan mental, tetapi juga dilatih untuk memberi tumpuan dan menggunakan kreativiti dalam penyelesaian masalah.
Sementara itu, Ts. Dr. Nurhafizah Amir Nordin, pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), UTHM turut menyampaikan ceramah tentang bagaimana seni boleh digunakan dalam terapi dan kaunseling, khususnya seni abstrak yang mampu membantu individu meluahkan perasaan mereka tanpa perlu bergantung kepada kata-kata.
Ini menjadikan seni sebagai alat yang berkesan dalam sesi kaunseling dan terapi, terutama dalam menangani masalah tekanan emosi dan mental dalam kalangan pelajar dan komuniti umum.
Aktiviti seni yang dijalankan ini adalah murah dan mudah dilaksanakan, menjadikannya sesuai untuk diterapkan dalam program-program kaunseling di sekolah serta institusi pendidikan.
Selain manfaat terapi, karya seni yang dihasilkan oleh peserta juga dilihat mempunyai nilai estetik yang tinggi.
Tambah Dr. Nurhafizah, beberapa hasil karya yang dihasilkan berpotensi untuk dijadikan hiasan dinding, muka depan buku atau sumber inspirasi untuk media digital.
“Ini membuktikan bahawa seni bukan sahaja berfungsi sebagai alat terapi, tetapi juga boleh menjadi sumber pendapatan tambahan kepada mereka yang berbakat dalam bidang ini.
“Hasil karya seni yang dihasilkan oleh peserta boleh dipasarkan, sekali gus membuka peluang untuk menjana pendapatan melalui platform seni seperti pameran, galeri, atau jualan atas talian,” katanya.
Pada masa yang sama, kesedaran tentang hak cipta turut diketengahkan sepanjang program ini melalui pendedahan kepada kepentingan melindungi karya seni dan sastera individu melalui undang-undang hak cipta.
“Perlindungan ini bukan sahaja mempertahankan hak penulis dan seniman, tetapi juga memastikan bahawa karya mereka tidak dieksploitasi tanpa kebenaran.
“Selain itu, ia mengajar peserta untuk lebih menghargai hasil karya orang lain dan menyokong pencipta asli,” tambah beliau.
Penganjuran program seumpama itu telah berjaya mempromosikan nilai kesusasteraan, kepentingan hak cipta, serta memberikan platform kepada pelajar dan komuniti untuk mengekspresikan diri mereka secara kreatif melalui seni.