Oleh Muhamad Adli Faezal Rosnan, Muhamad Hanafi Rahmat
MALANG –Seramai 34 penuntut program Senibina, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyertai program mobiliti antarabangsa, melibatkan kunjungan ke tiga universiti di Malang, Indonesia pada 18 hingga 25 September 2024 lalu.
Program yang diiringi oleh dua pensyarah FKAAB iaitu Muhammad Hanafi Rahmat dan Muhammad Adli Faezal Rosnan itu bertujuan membina hubungan dua hala yang baik antara penuntut program Arsitektur dari Universitas Negeri Malang (UM), Institut Teknologi Nasional Malang (ITN Malang) dan Universitas Brawijaya (UB).
Penganjuran program mobiliti itu memberi peluang kepada para penuntut untuk saling bertukar ilmu, idea sekali gus mengukuhkan lingkaran sosial bidang seni bina, selain berpeluang mendengar kuliah dari para pensyarah Seni Bina UTHM dan UB.
Turut diadakan, sesi perkongsian ilmu antara wakil pensyarah dan penuntut berkaitan dunia seni bina yang dilaksanakan di UM dan UB.
Para peserta juga diberi tugasan berkumpulan membuat kajian Lapangan dan lakaran di kawasan Kota Malang.
Dalam pada itu, para peserta juga berpeluang meluangkan masa melawat Gunung Bromo dan Bukit Teletubbies di Malang iaitu antara tempat yang terkenal dan menjadi tumpuan para pelancong yang bercuti di Indonesia.
Selain daripada berkongsi pengetahuan, program itu membuka peluang kepada para peserta untuk mengeksplorasi pengalaman kuliah di luar negeri, dan secara langsung dapat meningkatkan bakat yang berkualiti tinggi yang mampu bersaing di pasaran global.
Di samping itu, program itu juga membantu dalam membangun hubungan kerjasama antara institusi pendidikan di peringkat antarabangsa, kolaborasi akademik dan memperkuatkan pemahaman lintas budaya dalam dunia pendidikan khususnya dalam bidang seni bina.
Penyertaan dalam program seumpama itu juga dapat mempromosikan keunggulan program pengajian seni bina tempatan serta nilai seni bina kepada masyarakat luar.
Peningkatan kesedaran terhadap nilai ini juga menggalakkan kerjasama rapat antara dua negara khususnya Malaysia dan Indonesia.
Peluang seumpama itu dimanfaatkan sebaiknya oleh UTHM untuk memberi inspirasi kepada lebih ramai penuntut universiti mengembangkan bidang akademik mereka.