Bencana banjir merupakan salah satu masalah alam sekitar yang sering dihadapi di kebanyakan negara, termasuk Malaysia. Banjir boleh menyebabkan kemusnahan harta benda, kehilangan nyawa dan kerosakan kepada ekosistem. Banjir adalah salah satu bencana alam yang paling kerap berlaku di Malaysia. Fenomena ini bukan sahaja membawa kepada kerosakan harta benda dan infrastruktur tetapi juga menjejaskan kehidupan harian dan kesejahteraan rakyat. Setiap tahun, pelbagai negeri di Malaysia, terutamanya di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, terdedah kepada risiko banjir yang tinggi. Salah satu pendekatan yang berkesan untuk mengurangkan risiko dan impak banjir ialah penggunaan zon penampan. Zon penampan ini terdiri daripada pelbagai elemen semula jadi dan buatan yang direka untuk mengawal aliran air, menyerap lebihan air dan mengurangkan impak banjir kepada kawasan yang terjejas. Artikel ini akan membincangkan bagaimana zon penampan dapat membantu mengawal bencana banjir dan kepentingannya dalam pengurusan alam sekitar.

Banjir telah mengakibatkan kerosakan harta benda dan Infrastruktur. Banjir menyebabkan kerosakan besar kepada rumah, bangunan, jalan raya, jambatan dan kemudahan awam lain. Kos pembaikan dan pemulihan sering kali mencecah jutaan ringgit. Banjir juga menyebabkan kehilangan nyawa dan kecederaan yang mana setiap tahun, banjir mengakibatkan kehilangan nyawa dan kecederaan kepada mangsa. Banyak kes kematian berlaku akibat lemas dan kemalangan semasa banjir. Seterusnya banjir menjejaskan kehidupan harian penduduk yang terjejas. Sekolah dan pejabat terpaksa ditutup, bekalan elektrik dan air bersih terganggu, dan banyak keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara. Dalam pada masa yang sama, banjir memberi impak besar kepada ekonomi negara. Sektor pertanian, perikanan dan perniagaan kecil-kecilan sering terjejas teruk, menyebabkan kerugian ekonomi yang besar. Oleh yang demikian. pembangunan zon penampan hijau di kawasan rendah dan sepanjang sungai dapat membantu menyerap air hujan dan mengurangkan aliran permukaan, seterusnya mengurangkan risiko banjir.

Zon penampan memainkan peranan penting dalam mengawal dan mengurangkan kesan banjir melalui beberapa mekanisme utama seperti penyimpanan air. Zon penampan seperti kolam takungan, tasik buatan dan kawasan paya berfungsi sebagai kawasan penyimpanan air sementara. Semasa hujan lebat, zon ini dapat menampung lebihan air hujan dan mengurangkan aliran air yang masuk ke dalam sistem saliran bandar. Tambahan itu, zon penampan juga mampu menjadi satu mekanisma penyerap air. Kawasan hijau seperti taman rekreasi, hutan bandar, dan jalur tanaman berfungsi sebagai span semula jadi yang menyerap air hujan. Akar tumbuhan membantu menyerap air dan memperlahankan aliran air permukaan, mengurangkan risiko banjir kilat. Secara sedar mahupun tidak, zon penampan berkebolehan dalam membantu mengawal aliran air. Zon penampan seperti parit vegetatif dan sungai yang dirizabkan dapat memperlahankan aliran air, mengurangkan hakisan tanah, dan memastikan air disalurkan dengan lebih teratur ke kawasan saliran utama.

Terdapat pelbagai jenis zon penampan yang boleh digunakan untuk mengawal banjir, antaranya kolam takungan. Kolam takungan direka untuk menampung air hujan berlebihan dan melepaskannya secara perlahan-lahan ke dalam sistem saliran. Contoh di Malaysia termasuk kolam takungan di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. Seterusnya kawasan paya dan tanah lembap juga dikategorikan sebagai kawasan paya berfungsi sebagai penampan semula jadi yang menyerap dan menyimpan air. Ia juga menyediakan habitat untuk pelbagai spesies flora dan fauna. Tambahan itu, jalur tanaman dan hutan bandar ataupun kawasan hijau ini membantu menyerap air hujan, mengurangkan aliran air permukaan dan meningkatkan penyerapan air ke dalam tanah. Ini akan membantu dalam mengawal aliran air bawah tanah dengan baik. Manakala sistem parit vegetative melalui penanaman rumput atau tumbuhan lain pula membantu memperlahankan aliran air dan mengurangkan hakisan tanah. Kekuatan hubungan di antara tanaman dan stuktur tanah ini akan mengurangkan berlakunya hakisan tanah akibat larian air hujan yang berisiko kepada punca banjir ataupun takungan air yang tidak terkawal.

Oleh yang demikian, penggunaan zon penampan mempunyai pelbagai manfaat dalam pengurusan banjir seperti mengurangkan risiko banjir. Zon penampan membantu menyerap dan menyimpan air hujan, mengurangkan jumlah air yang mengalir ke kawasan bandar dan mengurangkan risiko banjir. Disamping itu, ia juga mampu memperbaiki kualiti air. Ini adalah kerana zon penampan seperti tanah lembap dan kawasan hijau membantu menapis bahan pencemar daripada air hujan sebelum ia masuk ke dalam sistem saliran. Selain daripada itu, zon penampan juga mampu melindungi ekosistem yang mana zon penampan menyediakan habitat untuk flora dan fauna, menyokong biodiversiti dan membantu menjaga keseimbangan ekosistem.

Malaysia telah mengambil beberapa inisiatif untuk menggunakan zon penampan dalam pengurusan banjir. Contohnya, projek Sungai Nadi Kehidupan (ROL) di Kuala Lumpur melibatkan pemulihan sungai dan pembangunan zon penampan hijau untuk mengurangkan risiko banjir dan memperbaiki kualiti air sungai. Selain itu, Taman Tasik Shah Alam menggunakan kolam takungan dan kawasan hijau untuk mengawal aliran air hujan dan mengurangkan risiko banjir di kawasan sekitarnya. Projek ROL adalah salah satu inisiatif penting di Malaysia yang bertujuan memulihkan dan mengindahkan sungai di pusat bandar Kuala Lumpur. Antara elemen utama projek ini ialah pembangunan zon penampan hijau di sepanjang tebing sungai. Hasilnya, projek ini bukan sahaja berjaya mengurangkan risiko banjir tetapi juga memperbaiki kualiti air sungai dan menyediakan ruang rekreasi bagi penduduk setempat. Zon penampan hijau membantu menyerap air hujan, mengurangkan aliran air permukaan dan menapis bahan pencemar sebelum air memasuki sungai.

Zon penampan adalah alat penting dalam pengurusan bencana banjir. Dengan menyerap, menyimpan dan mengawal aliran air hujan, zon penampan dapat mengurangkan risiko banjir, memperbaiki kualiti air, melindungi ekosistem dan menyediakan kawasan rekreasi untuk penduduk. Oleh itu, penggunaan dan pembangunan zon penampan perlu diberi perhatian dan diperkukuhkan dalam perancangan bandar dan pengurusan alam sekitar untuk memastikan kesejahteraan dan kelestarian masa depan._Foto:travelandtourworld

 

 

Ts. Dr. Mohd Hilmi Izwan bin Abd Rahim

Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan Pembinaan

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Berita Harian (muka surat: 11), 16 Oktober 2024: Perbanyak zon penampan tangani risiko, kesan banjir  

 

2. Berita Harian (bharian.com.my), 16 Oktober 2024: Wujudkan lebih banyak zon penampan, kurangkan risiko banjir 

Wujudkan lebih banyak zon penampan, kurangkan risiko banjir (bharian.com.my)