Oleh Ir. Dr. Ahmad Hamdan Ariffin

BATU PAHAT – Pasukan Aerosat Pioneers, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya meraih tempat pertama bagi kategori ‘CanSat- University’ ketika menyertai Malaysia Rocket Competition 2024 (MRC 2024) pada 3 hingga 5 September 2024 lalu.

MRC 2024 mempertandingkan tiga kategori iaitu 1 km rocket, 1 km rocket with Cansat dan CanSat.

Pertandingan yang berlangsung di Felcra Seberang Perak, Perak itu disertai 14 pasukan dari beberapa universiti dari Malaysia, India, Singapura dan Indonesia yang mempertaruhkan teknologi roket perum  dan satelit ringkas masing-masing.

Turut serta, 47 sekolah menengah dari seluruh Malaysia.

Aerosat Pioneers yang diketuai Yashlen A/L Pichyalagan dianggotai oleh empat pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) iaitu Thaanes A/L Kumara Piran, Muhammad Harith Umair bin Zakaria, Srikoohen A/L K Ramanidan dan seorang pelajar Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) iaitu Danial Hakim Halim.

Selain itu, UTHM turut menghantar pasukan Star Voyager 1 untuk kategori 1 km rocket yang diketuai oleh Aiman Akmal Mohd Farez.

Lima lagi pelajar FKMP disertai oleh Tarishini Elancovan Appu, Muhammad Firdaus Shamsaimon, Syafiq Sahari, Amal Asyraaf Abdul Rahim dan Muhammad Nurmuqreez Muhammad Mustafa.

Mereka dibimbing oleh tiga pensyarah iaitu Dr. Adam Kasani, Ir. Dr. Ahmad Hamdan Ariffin dan Ts. Dr. Mohd Fadhli Zulkafli.

Menurut Dr. Ahmad Hamdan, pertandingan itu diadakan bertujuan untuk memupuk minat pelajar berkaitan teknologi roket perum dan menguji kefahaman serta kemahiran pelajar membangunkan teknologi roket tersebut.

“Selain itu, kategari baharu iaitu CanSat telah menguji kemahiran pelajar dalam penghasilan satelit ringkas untuk penerokaan angkasa lepas,” katanya.

Pasukan UTHM juga berjaya membimbing beberapa pasukan negeri Johor seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Batu Pahat (HSBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Suria Perdana, Batu Pahat, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Pahat dan MRSM Johor Bahru.

Lebih manis lagi, HSBP telah berjaya merangkul tempat kedua kategori CanSat -Sekolah.

Selain itu, UTHM turut membimbing pasukan Norul Islam Centre for Higher Education (NICHE) dari India.

“Pihak kami sangat berbesar hati kerana program pemindahan ilmu bersama sekolah-sekolah di negeri Johor yang telah diadakan pada 4 Feb 2024 dan 24 Julai 2024 lalu berjaya membuahkan hasil.

“Kejayaan ini telah memberi suntikan semangat kepada UTHM untuk terus meneroka teknologi roket dan berkongsi ilmu untuk manfaat negara,” katanya.