Musim cuti sekolah sememangnya ditunggu-tunggu oleh semua lapisan masyarakat. Bermula dari peringkat sekolah, sehinggalah kepada mereka yang sudah bekerja lebih-lebih lagi golongan ibu bapa. Waktu beginilah yang digunakan oleh ibu bapa untuk menyantuni anak-anak mereka dengan pelbagai aktiviti sama ada membuat aktiviti di rumah atau di luar rumah. Ada antara mereka yang merancang bercuti di tempat menarik di dalam dan luar negara. Kadang-kadang rancangan percutian tersebut dibuat setahun lebih awal agar lebih tersusun dan dapat direalisasikan.
Namun, ada pula timbul isu yang tidak sedap didengar dalam kalangan ibu bapa. Ada antara ibu bapa yang secara tidak segan silu berkongsi tentang rancangan percutian mereka yang tidak seharusnya diamalkan. Sesetengah dari mereka merancang untuk ‘memontengkan’ anak-anak mereka lebih awal iaitu beberapa hari sebelum bermulanya cuti persekolahan. Malah ada antara ibu bapa yang mendakwa ‘terpaksa’ melanjutkan percutian mereka beberapa hari selepas cuti sekolah tamat.
Berdasarkan pengamatan, antara sebab popular yang digunakan adalah untuk mengelakkan kesesakan selain perbelanjaan yang lebih murah berbanding keluar bercuti pada hujung minggu. Keadaan ini merupakan suatu perkembangan yang negatif dalam masyarakat Malaysia kerana setiap hari persekolahan anak-anak amat penting bagi mereka walaupun ia berdekatan dengan tarikh-tarikh cuti sekolah.
Malah terdapat segelintir ibu bapa juga yang gemar ‘memontengkan’ anak-anak mereka ketika terdapatnya anjuran pelbagai program di sekolah. Berkemungkinan mereka beranggapan bahawa tiada sesi pembelajaran dalam kelas dan aktiviti yang dianjurkan itu tidak menarik, ditambah pula dengan rasa malas untuk menghantar mereka ke sekolah. Tidak mustahil juga ada di antara mereka yang tidak menghantar anak ke sekolah dek kerana mengikut Sahaja rentak anak yang tidak mahu ke sekolah!
Berdasarkan rekod Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi sesi 2023/2024 yang lalu, sebanyak 3.59 peratus dalam kalangan murid sekolah direkodkan sebagai ponteng sekolah berdasarkan Sistem Sahsiah Diri Murid. Peratus ini adalah bersamaan kira-kira 182,848 orang murid berbanding jumlah keseluruhan murid seramai 5,093,272 yang direkodkan oleh KPM. Mereka dikategorikan sebagai ponteng sekolah sekiranya mereka tidak hadir tanpa sebab yang munasabah. Hal ini menjadi dilema khususnya dalam kalangan guru kelas bagi menentukan sebab ketidakhadiran pelajar ke sekolah apabila sebab yang dinyatakan agak kabur seperti ‘tidak hadir kerana urusan keluarga’.
Di United Kingdom, isu ini telah menjadi perhatian sehingga pihak kerajaan terpaksa mengusulkan denda berbentuk penalti kepada ibu bapa yang didapati dengan sengaja menyebabkan anak mereka ponteng sekolah tanpa sebab yang munasabah. Berdasarkan usul tersebut, tindakan penalti akan dikenakan kepada mana-mana ibu bapa yang gagal menghantar anak mereka ke sekolah selama lima hari berturut-turut atau lewat dalam satu penggal persekolahan atau membawa anak bercuti semasa sesi persekolahan.
Terdapat pelbagai kesan yang boleh disenaraikan akibat daripada menormalisasikan budaya negatif ini. Antaranya, anak-anak terhalang untuk merasai apa yang dinamakan sebagai kurikulum tersembunyi (hidden curriculum). Kurikulum ini merujuk kepada nilai, norma dan kepercayaan yang diajarkan kepada anak-anak melalui aktiviti dan interaksi harian di sekolah. Kurikulum ini bukan melalui kurikulum rasmi atau silibus yang ditetapkan.
Istilah kurikulum tersembunyi ini digunakan bagi menggambarkan pembelajaran tidak formal anak-anak di sekolah yang menyentuh kepada elemen-elemen seperti disiplin, kepatuhan kepada peraturan, budaya persaingan dan penghormatan terhadap hak, peranan dan tanggungjawab. Meskipun tidak diajar secara eksplisit, kurikulum tersembunyi ini sangat mempengaruhi pembentukan sikap, nilai dan identiti pelajar.
Sikap ibu bapa yang tidak menghargai atau memandang remeh terhadap hari persekolahan anak-anak secara tidak langsung menidakkan nilai-nilai seperti patriotisme, penghormatan kepada pendidik, kerjasama dan kreativiti yang ingin dipupuk. Ibu bapa hanya mementingkan pencapaian akademik dan mengabaikan program selain program akademik boleh membawa kepada perkembangan pelajar yang tidak seimbang, kurang kemahiran sosial, dan kurang menghargai nilai-nilai yang diperoleh melalui interaksi sosial di sekolah.
Trend ‘memontengkan’ anak-anak ini juga mungkin mencerminkan sikap sebahagian ibu bapa yang melihat sekolah hanya sebagai tempat pembelajaran akademik, bukannya institusi yang menyediakan pendidikan menyeluruh. Sebenarnya, kurikulum tersembunyi berperanan mengajar pelajar tentang peranan mereka dalam masyarakat, namun sikap ibu bapa yang mengabaikan persekolahan mereka menunjukkan bahawa nilai-nilai ini kurang diutamakan dalam sesetengah keluarga.
Secara keseluruhan, isu ‘memontengkan’ anak ke sekolah ini memerlukan kerjasama antara ibu bapa, guru dan pihak sekolah. Tuntasnya, pendidikan bukan sahaja mengenai pencapaian akademik, tetapi juga melibatkan perkembangan holistik yang diperoleh melalui program kokurikulum. Kurikulum tersembunyi yang diterapkan kepada anak-anak melalui interaksi sosial di sekolah adalah elemen penting dalam pembentukan jati diri mereka agar menjadi generasi yang seimbang dan berdaya saing pada masa kini dan akan datang._Foto dailyrakyat
Mohd Nur Syufaat Jamiran
Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 30 September 2024: Jangan biasakan anak ponteng sekolah
Jangan biasakan anak ponteng sekolah (malaysiagazette.com)
2. Utusan Malaysia (muka surat: 31), 7 Oktober 2024: Jangan biasakan diri benarkan anak ponteng sekolah
3. Utusan (utusan.com.my), 7 Oktober 2024: Jangan biasakan diri benarkan anak ponteng sekolah
https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2024/10/jangan-biasakan-diri-benarkan-anak-ponteng-sekolah/