KLUANG – Para pelajar jurusan Senibina, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyantuni seramai 308 murid tahap satu melalui program Knowledge Transfer Program (KTP) pada 5 September 2024 lalu.

Program KTP itu telah diadakan sempena Majlis Perasmian Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak daerah Kluang, yang dijalankan di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Pa Yai, Kampung Paya, Kluan.g.

KTP yang dijalankan merupakan kesinambungan dari aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebelum ini yang menyediakan reka bentuk dan mengecat mural ‘Talian Kasih’ setelah mendapat jemputan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Kluang.

Seramai 11 pelajar dengan penyeliaan lapan pensyarah Jabatan Senibina telah bersama menyumbang idea dan tenaga menghasilkan mural pada penghujung Oktober lepas.

Turut mewakili UTHM, staf dari Pusat Kemajuan Kerjaya dan Alumni, Khairul Akmal Rahimi Ahmad Kamil yang membantu meningkatkan lagi kualiti hasil kerja mural.

Meletakkan para pelajar sebagai barisan hadapan dalam program itu juga dapat mengasah bakat dan kemahiran berkomunikasi mereka bersama masyarakat pelbagai tahap umur.

Keterlibatan pelajar turut menambah kualiti insaniah dan nilai kebolehpasaran bakal graduan dan meningkatkan daya saing sepertimana yang dihasratkan oleh Naib Canselor UTHM, Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim sebelum ini.

Selain program KTP, beberapa aktiviti lain turut diadakan antaranya ceramah keselamatan, pameran dari agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan (NGO), serta persembahan hebat dari murid-murid sekolah.

Program yang menyaksikan integrasi ‘quintuple helix’ itu mendapat sokongan yang menyeluruh daripada pihak UTHM, institusi pendidikan, agensi-agensi kerajaan, NGO dan komuniti iaitu ibu bapa serta penjaga.

Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak daerah Kluang dan mural ‘Talian Kasih’ telah disempurnakan oleh Mejar Muhammad Haffeez Yusop, Pegawai Pemerintah, Skuadron Kelapan, Rejimen Askar Jurutera Diraja, Kem Mahkota Kluang.

Beliau dalam ucapannya menyeru semua pihak untuk turut sama berkerjasama, bersikap endah dan menggembleng tenaga menjaga keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak, baik dari segi fizikal, maruah mahupun mental mereka.

FKAAB berharap penglibatan dan usaha kecil seumpama itu dapat meningkatkan lagi kesedaran umum terhadap pelindungan kanak-kanak yang kritikal dalam masyarakat.