Industri halal global semakin berkembang pesat dan dianggarkan bernilai USD 2.4 trilion pada tahun 2024, dengan prospek mencapai USD 5 trilion menjelang 2030. Malaysia, sebagai peneraju dalam industri halal, memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju pasaran ini di peringkat antarabangsa. Menurut data, jumlah pelancong Muslim dijangka mencapai 160 juta orang pada tahun 2026, dengan perbelanjaan yang dianggarkan mencecah USD 300 bilion. Malaysia, yang secara konsisten berada di kedudukan teratas sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim, perlu memanfaatkan peluang ini untuk menarik lebih ramai pelancong Muslim dari seluruh dunia. Namun, bagi memastikan Malaysia terus memimpin dan memanfaatkan sepenuhnya potensi ini, salah satu langkah kritikal ialah memastikan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) didedah kepada pensijilan halal.

PKS adalah tulang belakang kepada ekonomi negara, menyumbang lebih daripada 38% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia. Dalam ekosistem halal, PKS memainkan peranan yang sangat penting, terutamanya dalam sektor pembuatan, makanan, minuman, kosmetik serta perkhidmatan. Justeru itu, pendedahan PKS kepada kepentingan pensijilan halal bukan sahaja memberi manfaat kepada perniagaan mereka, tetapi juga kepada pengukuhan ekosistem halal negara secara keseluruhannya.

 

Kepentingan pensijilan halal

Pensijilan halal Malaysia telah diiktiraf oleh lebih 60 negara, memberi kelebihan besar kepada produk dan perkhidmatan yang mempunyai sijil halal. Pensijilan halal bukan sekadar satu logo atau pengesahan semata-mata, tetapi ia mencerminkan kepatuhan sesuatu produk atau perkhidmatan terhadap syariat Islam dari segi pengeluaran, penyimpanan dan pengedaran. Bagi PKS, mendapatkan pensijilan halal boleh membuka pelbagai peluang pasaran yang lebih luas. PKS yang memperoleh pensijilan halal dapat menjamin kualiti produk mereka kepada lebih 1.9 bilion penduduk Muslim di seluruh dunia. Ini memberi akses kepada pasaran antarabangsa yang lebih besar dan meningkatkan daya saing PKS.

Di Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menetapkan piawaian bagi pensijilan halal. Proses pensijilan melibatkan pelbagai aspek, termasuk pematuhan kepada peraturan kebersihan, keselamatan serta kesucian dalam setiap fasa pengeluaran. Pensijilan ini tidak hanya tertumpu kepada industri makanan dan minuman, tetapi juga meliputi farmaseutikal, kosmetik, fesyen dan perkhidmatan hospitaliti. Walaupun terdapat proses pensijilan yang perlu dipatuhi, manfaat yang diperoleh oleh perniagaan adalah signifikan.

 

Manfaat pensijilan halal

Salah satu manfaat utama yang diperoleh oleh PKS melalui pensijilan halal ialah akses kepada pasaran global. Negara-negara seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, dan negara-negara lain yang majoritinya Muslim mengutamakan produk yang mematuhi piawaian halal. Oleh itu, PKS yang berjaya mendapatkan sijil halal mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk menembusi pasaran ini. Sebagai contoh, produk makanan bersijil halal dari Malaysia telah mendapat tempat di pasaran Timur Tengah oleh pengguna disana.

Selain itu, pensijilan halal juga meningkatkan tahap kepercayaan pengguna, sama ada Muslim atau bukan Muslim. Di pasaran global, pengguna semakin menyedari pentingnya produk yang selamat dan berkualiti tinggi. Pensijilan halal, dengan penekanan kepada aspek kebersihan dan kesucian bahan serta proses, menjadi jaminan tambahan bahawa produk tersebut dihasilkan dengan cara yang terbaik. Ini menjadikan produk PKS lebih dipercayai dan menarik minat pengguna, terutamanya di negara-negara yang mengutamakan standard keselamatan makanan.

Dalam pasaran tempatan, pensijilan halal menjadi satu kelebihan daya saing yang penting. Pengguna Muslim semakin mengutamakan produk dan perkhidmatan yang mematuhi piawaian halal. Oleh itu, PKS yang mempunyai pensijilan halal akan dapat memenuhi keperluan pasaran tempatan dengan lebih baik dan menarik lebih ramai pelanggan, sekali gus meningkatkan jualan dan keuntungan.

 

Cabaran pensijilan halal

Walaupun manfaat pensijilan halal amat jelas, masih terdapat cabaran yang dihadapi oleh PKS dalam mendapatkan pensijilan ini. Salah satu cabaran utama ialah persepsi bahawa pensijilan halal hanya relevan kepada industri makanan dan minuman. Sebenarnya, pensijilan halal melangkaui sektor ini dan merangkumi pelbagai industri lain seperti kosmetik, farmaseutikal serta pakaian. PKS dalam sektor-sektor ini perlu didedahkan kepada kepentingan pensijilan halal supaya mereka tidak terlepas peluang untuk memanfaatkan potensi pasaran halal.

Selain itu, proses pensijilan halal kadang-kala dianggap membebankan oleh PKS dari segi kos dan masa. Kos yang diperlukan untuk memenuhi keperluan pensijilan halal seperti peralatan khusus, latihan dan audit boleh menjadi halangan bagi sesetengah PKS, terutamanya yang berskala mikro. Tambahan pula, proses pensijilan yang melibatkan pelbagai peringkat juga boleh memakan masa dan tenaga, yang akhirnya menjejaskan produktiviti perniagaan.

Kebanyakan PKS juga tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi mengenai proses dan prosedur untuk mendapatkan pensijilan halal. Kekurangan maklumat mengenai peraturan, dokumentasi yang diperlukan, serta garis panduan JAKIM menyebabkan banyak PKS merasa sukar untuk memulakan langkah ke arah pensijilan halal. Oleh itu, inisiatif untuk meningkatkan kesedaran dan menyediakan bimbingan khusus perlu dilaksanakan bagi membantu PKS memahami dengan lebih jelas proses ini.

 

Langkah-langkah memperkasa pensijilan halal

Bagi memperkasakan PKS agar lebih terdedah kepada pensijilan halal, beberapa langkah perlu diambil oleh pihak berkuasa dan badan-badan yang berkaitan. Pertama, kerajaan perlu menyediakan program latihan dan bimbingan yang komprehensif mengenai pensijilan halal, yang khusus ditujukan kepada PKS. Program ini boleh dijalankan melalui agensi seperti MATRADE dan SME Corp, dengan kerjasama JAKIM dan Halal Development Corporation (HDC). Melalui latihan ini, PKS dapat memahami dengan lebih jelas proses pensijilan dan keperluan yang perlu dipatuhi.

Selain itu, insentif kewangan seperti geran atau subsidi perlu disediakan bagi membantu PKS yang mempunyai kekangan dari segi kos. Kos untuk mendapatkan pensijilan halal, termasuk yuran audit dan kos operasi tambahan, boleh ditanggung oleh kerajaan atau melalui insentif yang diberikan kepada syarikat-syarikat kecil. Langkah ini akan menggalakkan lebih banyak PKS untuk mendapatkan pensijilan halal tanpa terbeban dengan kos tambahan.

Kerajaan juga perlu memperkenalkan inisiatif yang memperkasakan proses pensijilan halal. Proses pensijilan yang lebih ringkas, pantas dan cekap boleh diperkenalkan melalui penggunaan teknologi digital seperti blockchain dan sistem pemantauan berasaskan internet kebendaan. Teknologi ini bukan sahaja memudahkan proses audit dan pemantauan, tetapi juga meningkatkan ketelusan dalam rantaian bekalan halal, yang akhirnya memperkukuhkan keyakinan pengguna terhadap produk bersijil halal.

 

Memperkasa ekosistem halal negara

Apabila lebih banyak PKS berjaya mendapatkan pensijilan halal, ekosistem halal negara akan turut diperkasa. Pensijilan halal tidak hanya memberi manfaat kepada pengeluar, tetapi juga kepada pengguna dan ekonomi negara secara keseluruhan. Dengan lebih banyak produk halal yang dihasilkan oleh PKS tempatan, Malaysia dapat mengukuhkan kedudukannya sebagai hab halal global.

Dalam jangka panjang, penglibatan PKS dalam ekosistem halal juga dapat meningkatkan daya saing negara di peringkat antarabangsa. Malaysia telah lama diiktiraf sebagai peneraju dalam industri halal global, namun untuk terus kekal di hadapan, sokongan kepada PKS adalah kritikal. PKS yang berjaya menembusi pasaran halal global akan membawa masuk pelaburan asing, membuka lebih banyak peluang pekerjaan, dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Pensijilan halal juga memainkan peranan penting dalam sektor pelancongan Muslim. Dengan lebih banyak perniagaan yang mematuhi piawaian halal, termasuk dalam sektor hospitaliti dan perkhidmatan, Malaysia boleh menarik lebih ramai pelancong Muslim yang mengutamakan persekitaran yang mematuhi syariat Islam. Ini seterusnya akan memperluaskan lagi potensi pelancongan halal di Malaysia, meningkatkan pendapatan negara dari sektor ini.

Selain daripada pengeluaran produk halal, Malaysia juga berpotensi menjadi hab logistik halal global. Kedudukannya yang strategik di tengah-tengah ASEAN serta hubungan perdagangan yang kukuh dengan negara-negara Timur Tengah menjadikan Malaysia lokasi yang ideal untuk operasi pengedaran produk halal. Namun, untuk merealisasikan potensi ini, infrastruktur logistik yang khusus untuk produk halal perlu dibangunkan dan diperkasakan.

Secara keseluruhan, pendedahan PKS kepada pensijilan halal adalah satu langkah strategik yang dapat memperkukuhkan ekosistem halal negara. Pensijilan halal bukan sahaja memberi manfaat kepada PKS dari segi daya saing, tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan. Kerajaan perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dalam menyediakan sokongan, latihan, dan insentif kepada PKS untuk mendapatkan pensijilan halal.

Dengan langkah-langkah yang berkesan, Malaysia mampu mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju dalam industri halal global dan memastikan ekosistem halal negara terus berkembang pesat. Dengan kesedaran yang lebih tinggi mengenai kepentingan pensijilan halal, Malaysia berpotensi menjadi contoh dalam memajukan ekonomi halal yang inklusif, beretika, dan mampan.

 

 

Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad

Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Berita Harian (muka surat: 10), 17 September 2024: Tambah, perluas insentif bantu PKS rebut pasaran halal global 

 

2. Utusan Malaysia (muka surat: 17), 19 September 2024: PKS perlu rebut pasaran halal bernilai AS$5 trilion 

 

2. Utusan (utusan.com.my), 19 September 2024: PKS perlu rebut pasaran halal bernilai AS$5 trilion 

PKS perlu rebut pasaran halal bernilai AS$5 trilion (utusan.com.my)