Eutrofikasi adalah proses yang mana tasik atau sungai menjadi kaya dengan nutrien, terutamanya nitrogen dan fosforus daripada persekitaran. Proses ini menyebabkan pertumbuhan alga yang pesat dan tumbuhan akuatik, yang boleh mengakibatkan penurunan kualiti air dan kematian hidupan akuatik akibat pengurangan oksigen terlarut. Proses eutrofikasi akan menyebabkan tasik akan menjadi menjadi lebih cetek dalam masa yang cepat sekiranya tidak dibuang kerana semua tumbuhan akuatik yang mati akan mendap ke dasar tasik dan menyebabkan tasik akan cetek dan hilang fungsi.  Punca-punca eutrofikasi termasuk air larian permukaan yang membawa nutrien seperti nitrogen dan fosforus daripada sumber baja kimia , pelepasan air sisa domestik dan industri yang tidak dirawat dengan baik, dan sumber-sumber domestik yang lain. Carlson Trophic State Index (CTSI) adalah kaedah yang digunakan untuk mengukur tahap trofik sesebuah air permukaan termasuk tasik berdasarkan beberapa parameter utama iaitu kepekatan fosforus, klorofil-a dan kejernihan air. Indeks ini membantu menilai kualiti air, memantau perubahan dari semasa ke semasa dan membuat keputusan pengurusan yang lebih baik untuk perlindungan ekosistem akuatik.

Tasik Kemajuan yang terletak di dalam kampus Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) merupakan sebuah tasik dan kolam tadahan yang menjadi aset penting universiti. Tasik ini telah menarik perhatian sebagai sebuah tempat untuk rekreasi seperti berkayak, serta menjadi pusat untuk aktiviti penyelidikan dan pembelajaran pelajar. Kualiti air yang baik adalah penting untuk kesihatan ekosistem akuatik, menyediakan habitat yang selamat untuk pelbagai jenis organisma akuatik. Hal ini juga berkait dengan isu kesihatan dan kesejahteraan manusia, kerana tasik sering berfungsi sebagai sumber air dan fasiliti untuk pelbagai aktiviti rekreasi.

Di Malaysia, pemantauan dan pengurusan kualiti air dibantu oleh dua piawaian utama iaitu Kriteria dan Piawaian Kualiti Air Tasik Kebangsaan (NLWQS), Indeks Kualiti Air (WQI). NLWQS menyediakan garis panduan khusus untuk menilai keadaan ekosistem tasik, sementara WQI memudahkan data kualiti air yang kompleks menjadi satu nilai numerik, menjadikannya lebih mudah untuk memahami kualiti air secara keseluruhan.

Kualiti air Tasik Kemajuan telah dinilai dan dibandingkan dengan piawai kualiti air Kategori A yang terdapat dalam NLWQS. Piawaian Kategori A ini direka khusus bagi tasik yang diuruskan untuk tujuan rekreasi yang melibatkan aktiviti yang akan mempunyai sentuhan badan dengan air seperti berenang, menyelam, dan kayak. Aktiviti pemantauan kualiti air ini sangat penting dalam memastikan Tasik Kemajuan memenuhi standard kualiti air yang diperlukan untuk penggunaan rekreasi yang selamat.

Berdasarkan kajian yang telah dijalankan untuk Tasik Kemajuan, didapati bahawa kebanyakannya parameter kualiti air berada dalam had piawaian dan mematuhi piawai Kategori A NLWQS. Parameter ini termasuk pH, suhu, kekeruhan, jumlah pepejal terampai, nitrat, arsenik, plumbum, kadmium, nikel dan merkuri adalah parameter kualiti air yang didapati mematuhi piawaian. Namun, beberapa parameter lain seperti oksigen terlarut, peratusan ketepuan oksigen terlarut, keperluan oksigen kimia, keperluan oksigen biokimia, klorofil-a, jumlah fosforus dan nitrogen ammonia didapati tidak mematuhi piawaian. Selain itu, berdasarkan nilai WQI, Tasik Kemajuan dapat diklasifikasikan sebagai sedikit tercemar. CTSI juga menunjukkan bahawa Tasik Kemajuan berada dalam keadaan eutrofik yang menunjukkan tasik ini mempunyai tahap nutrien yang tinggi, terutamanya nitrogen dan fosforus. Keadaan ini menggalakkan pertumbuhan alga dan tumbuhan akuatik dengan cepat dalam kadar yang berlebihan.

Kesimpulannya, kajian ini menekankan kepentingan pemantauan dan pengurusan kualiti air yang berterusan di tasik ini. Tasik Kemajuan dilihat selamat untuk digunakan bagi tujuan rekreasi berdasarkan parameter seperti pH, suhu, kekeruhan, jumlah pepejal terampai, nitrat, arsenik, plumbum, kadmium, nikel, dan merkuri manakala parameter lain seperti oksigen terlarut, peratusan ketepuan oksigen terlarut, keperluan oksigen kimia, keperluan oksigen biokimia, klorofil-a, jumlah fosforus dan nitrogen ammonia menunjukkan tasik ini tidak selamat untuk digunakan bagi tujuan rekreasi yang melibatkan sentuhan air. Oleh itu, langkah-langkah tambahan diperlukan untuk memastikan tasik ini kekal sebagai sumber air yang selamat dan sesuai untuk aktiviti rekreasi serta penyelidikan. Nilai WQI yang sedikit pencemaran dan CTSI yang menunjukkan tasik dalam keadaan eutrofik juga menandakan perlunya perhatian berterusan terhadap usaha pemuliharaan dan pengurusan kualiti air di tasik ini.

 

 

Profesor Madya Ts. Dr. Rafidah Hamdan

&

Muhammad Hafiq Afifi Azman

Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)