Oleh Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Salihatun Md Salleh, Prof. Madya Ts. Dr. Azrin Hani Abdul Rashid
BATU PAHAT – Bagi menghargai dan mengiktiraf sumbangan industri, Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) telah menganjurkan Majlis Apresiasi Industri dan Sesi Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) serta Memorandum Perjanjian (MoA) pada 21 Ogos 2024 lalu bertempat di Dewan Banquet, Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk.
Inisiatif tersebut diambil untuk menghimpunkan lebih 50 wakil industri bagi memperkukuhkan hubungan kerjasama dalam pelbagai bidang antaranya seperti pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, sokongan fasiliti, khidmat komuniti serta pendanaan.
Naib Canselor UTHM, Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim hadir menyempurnakan majlis tersebut.
Beliau dalam ucapannya berkata bagi memastikan kelestarian kolaborasi tersebut, pihak fakulti perlu sentiasa berhubung rapat dengan pihak industri serta mengenal pasti potensi pengembangan yang lebih luas.
“Perkongsian kepakaran, pengetahuan dan pengalaman yang dihasratkan melalui perjanjian kerjasama ini akan memberi nilai tambah kepada UTHM dan FTK khususnya bagi mengembangkan lagi penyelidikan dalam aplikasi teknologi kejuruteraan,” katanya.
Majlis itu juga menyaksikan pertukaran tujuh dokumen MoU dan satu dokumen MoA antara pihak UTHM yang diwakili oleh Dato’ Ruzairi dan wakil industri.
Semua syarikat yang terlibat turut menerima cenderamata berupa nombor plat kenderaan UTHM sebagai tanda penghargaan universiti atas sumbangan mereka.
Selain itu, majlis turut menyampaikan ‘Anugerah Penasihat Industri Unggul’ dan ‘Anugerah Kerjasama Industri Unggul’ kepada 19 individu dan syarikat sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan berimpak tinggi mereka kepada universiti.
Majlis itu juga turut memberi penghargaan kepada tujuh sekolah angkat di bawah FTK, bagi mengiktiraf usaha mereka dalam memperkukuhkan jalinan pendidikan dan pembangunan bersama.
Sementara itu, Dekan FTK, Prof. Madya Ts. Dr. Jumadi Abdul Sukor pula berkata kerjasama antara akademia dan industri adalah elemen penting untuk memastikan relevansi dan kualiti pendidikan serta latihan yang diberikan kepada pelajar.
Beliau menambah bahawa program-program seperti latihan industri, kerjasama penyelidikan dan penerbitan, penganjuran seminar dan bengkel, serta penyediaan peluang pekerjaan untuk graduan adalah usaha murni yang perlu dihargai.
Manakala wakil pihak industri, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Hartasuma Sdn. Bhd., Dato’ Hj. Ts. Muhammad Isom Azis dalam ucapannya menegaskan bahawa kerjasama antara industri dan universiti melalui penyediaan latihan dan tempat latihan industri mampu memberikan manfaat bersama dalam aspek pembelajaran dan penyelidikan.
Majlis Apresiasi tersebut dihadiri oleh 73 individu dari 51 syarikat antaranya termasuklah Datuk Hashim Majid, Pengerusi Enproserve (M) Sdn. Bhd. yang juga mentor PETRONAS; Datuk Astaman Abdul Aziz, Senior Independent Director, Norwest Holdings Sdn. Bhd. merangkap Setiausaha Agung Master Builders Association Malaysia (MBAM); Ts. Mazli Mustaffa, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro Sdn. Bhd. dan Lt. Kol. Hj. Abd Rahman Din, Pengurus Besar Projek (Double Track), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
“Kehadiran pelbagai pihak industri ini membuktikan keberkesanan FTK dalam membina kerjasama erat antara akademia dan industri, seterusnya memastikan hubungan kolaboratif antara universiti, industri, komuniti, dan pemegang taruh lain memberi manfaat menyeluruh kepada semua pihak,” tambah Dr. Jumadi.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Ts. Dr. Rabiah Ahmad; Pendaftar/Ketua Pegawai Operasi, Naim Maslan serta Pegawai-pegawai kanan universiti.