Seiring dengan peningkatan penggunaan teknologi dan media sosial, isu buli siber dilihat semakin serius dan membimbangkan dewasa ini. Statistik global laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada tahun 2020 menunjukkan Malaysia menduduki tempat keenam di dunia antara 28 buah negara dalam isu buli siber. Data Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pula mencatatkan purata sebanyak 10 kes buli siber berlaku setiap hari di dalam negara ini sejak 2022 hingga 9 Julai lalu.
Buli siber boleh berlaku dalam pelbagai bentuk. Sebagai contoh perkataan atau penulisan berunsur penghinaan, penyebaran maklumat palsu, mesej berunsur ancaman atau ugutan, serta penyalahgunaan identiti yang bertujuan untuk menjatuhkan reputasi seseorang individu. Menurut portal rasmi Myhealth Kementerian Kesihatan Malaysia, buli siber merupakan perbuatan mengancam, memalukan atau menakutkan seseorang melalui medium elektronik.
Antara isu terkini yang dianggap perbuatan buli siber adalah komen warganet terhadap atlet negara dalam temasya Olimpik Paris 2024. Tidak semua komen berbaur kecaman, namun kebanyakannya seolah-olah menjulang kejayaan para atlet hanya pada saat mereka merangkul pingat kemenangan. Namun apabila atlet tersebut kecundang, pantas jari warganet meninggalkan komen berbaur cemuhan.
Akses yang mudah kepada platform media sosial ternyata meningkatkan peluang buli siber berlaku. Buli siber boleh membawa kepada kesan yang serius terhadap mangsa dan sering menjadi punca masalah kesihatan mental seperti tekanan perasaan dan kemurungan. Serangan yang berterusan turut merudumkan keyakinan diri mangsa dan mereka cenderung untuk menarik diri dari pergaulan sosial bagi mengelakkan serangan buli siber lebih lanjut.
Masih ramai individu yang tidak memahami sepenuhnya impak buli siber, termasuk tindakan undang-undang yang boleh dikenakan terhadap pelaku. Di Malaysia, undang-undang Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 telah diperkenalkan untuk menangani buli siber, tetapi penguatkuasaannya masih menjadi cabaran. Media pada awal Mac 2024 melaporkan bahawa Kementerian Komunikasi akan meneliti semula akta ini setelah mendapat kelulusan secara dasar daripada Mesyuarat Jemaah Menteri. Antara perkara yang akan diteliti semula adalah nilai denda yang dikenakan lantaran nilainya masih sama walaupun setelah 26 tahun akta tersebut ditubuhkan.
Di samping itu, pelbagai kempen kesedaran dijalankan oleh pihak kerajaan dan organisasi bukan kerajaan (NGO) untuk mendidik masyarakat mengenai bahaya buli siber. Kementerian Komunikasi dilihat giat melaksanakan pelbagai kempen bagi mendidik masyarakat mengenai buli siber dan cara melaporkannya. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga dilaporkan akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi meneliti prosedur operasi standard (SOP) agar dapat memudahkan lagi proses aduan buli siber.
Dalam usaha pembentukan masyarakat yang harmoni, setiap individu berperanan dalam menjadi warganet yang berhemah. Rakyat Malaysia seharusnya lebih berhati-hati dan bersifat lebih sensitif sewaktu menggunakan media sosial. Elak mengeluarkan sebarang perkataan ketika beremosi, hindari padah yang tidak diundang.
Farhana Abd Hamid
Jabatan Bahasa Antarabangsa
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Utusan Malaysia (muka surat: 31), 26 Ogos 2024: Santun di alam maya, elak jadi pembuli siber
2. Utusan (utusan.com.my): Santun di alam maya, elak jadi pembuli siber
https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2024/08/santun-di-alam-maya-elak-jadi-pembuli-siber/