Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) telah berjaya merangkul dua pingat emas dan satu pingat perak di Malaysia International Robotic Competition 2014 (MiROC) yang berlangsung pada 10 hingga 13 April lalu bertempat di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Kontingen seramai 36 orang pelajar tersebut berjaya menggondol dua pingat emas daripada pembentangan poster kategori “Fire Fighting Robot” dan “Rope Climbing Robot”. Manakala pembentangan poster untuk “Conquer Robot” pula telah berjaya merangkul pingat perak.
Pertandingan tersebut telah menuntut para pelajar untuk membuat pembentangan di hadapan juri bagi menerangkan fungsi dan keunikan robot masing-masing. Sesi pembentangan yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara itu secara tidak langsung telah memupuk kemahiran insaniah setiap peserta kejuruteraan yang terlibat.
Pertandingan yang berlangsung selama empat hari itu melibatkan penyertaan daripada institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta serta sekolah-sekolah kluster di seluruh Malaysia. Walaupun kontingen UTHM tidak berjaya merangkul sebarang pingat untuk kategori utama, namun setiap peserta telah menunjukkan semangat juang dan kerjasama yang tinggi untuk pertandingan tersebut. Hasil daripada pengalaman dan pengetahuan yang diperolehi melalui MiROC ini, mereka berhasrat untuk mencipta pelbagai kejayaan lagi selepas ini.