Ibadah haji dan umrah merupakan salah satu rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim yang mampu. Perkataan haji berasal daripada perkataan al-hajj yang bermaksud tawajjuh (menuju) dan qasad (tujuan). Secara syarak, ia bermaksud menuju ke Baitullah al-Haram untuk melaksanakan manasik (ibadah Haji). Manakala perkataan ‘umrah bermaksud ziarah, dan secara syarak bermaksud menziarahi Baitullah al-Haram untuk melaksanakan tawaf dan sa’ie. Umrah dinamakan demikian kerana orang datang menziarahi Baitullah dan memakmurkannya setiap saat tanpa dibiarkan kosong.

Dalam surah al-Baqarah ayat 196, Allah SWT memberikan panduan terperinci mengenai pelaksanaan haji dan umrah, termasuk hukum-hakam yang berkaitan dengan kedua-dua ibadah ini. Ayat ini mengandungi perintah, larangan, dan pengecualian yang perlu dipatuhi oleh jemaah haji dan umrah. Firman Allah SWT:

“Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah. Jika kamu terkepung (terhalang oleh musuh atau kerana sakit), maka (sembelihlah) korban yang mudah didapati, dan jangan kamu mencukur kepalamu, sebelum korban sampai di tempat penyembelihannya. Jika ada di antaramu yang sakit atau ada gangguan di kepalanya (lalu ia bercukur), maka wajiblah ke atasnya berfidyah, iaitu: berpuasa atau bersedekah atau berkorban. Apabila kamu telah (merasa) aman, maka bagi siapa yang ingin mengerjakan umrah sebelum haji (di dalam bulan haji), (wajiblah ia menyembelih) korban yang mudah didapati. Tetapi jika ia tidak menemukan (binatang korban atau tidak mampu), maka wajib berpuasa tiga hari dalam masa haji dan tujuh hari (lagi) apabila kamu telah pulang kembali. Itulah sepuluh (hari) yang sempurna. Demikian itu (kewajiban membayar fidyah) bagi orang-orang yang keluarganya tidak berada (di sekitar) Masjidil Haram; orang-orang yang bukan penduduk kota Mekah. Dan bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah sangat keras seksaan-Nya.”

Allah SWT memerintahkan agar umat Islam menyempurnakan ibadah haji dan umrah kerana-Nya. Perintah ini berdasarkan kata suruhan “wa atimmul hajja wal ‘umrata lillahi” yang bermaksud “dan sempurnakanlah dengan sebaik-baiknya haji dan umrah kerana Allah”. Penyempurnaan ini mencakupi semua aspek ibadah, dimulai dari niat ihram di miqat. Miqat adalah ketentuan tempat dan waktu untuk memulai niat ihram bagi haji dan umrah. Ia terbahagi kepada dua;

  1. Miqat Zamani: Waktu tertentu yang ditetapkan untuk melaksanakan ibadah haji dan umrah.
  2. Miqat Makani: Tempat-tempat tertentu yang ditetapkan sebagai lokasi memulai niat ihram.

Setiap Muslim yang sedang melaksanakan ibadah haji atau umrah diwajibkan mematuhi ketentuan miqat ini. Dari miqat inilah bermula kesempurnaan ibadah haji dan umrah yang harus dilaksanakan dengan sungguh-sungguh dan sesuai dengan syariat Islam. Islam juga menekankan kewajipan menunaikan haji bagi mereka yang mampu dari segi kewangan, kesihatan, dan keselamatan. Meskipun umrah tidak diwajibkan seperti haji, ia sangat dianjurkan sebagai satu bentuk ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Dalam melaksanakan ibadah ini, seorang Muslim mesti memiliki sifat ikhlas. Huruf lam pada perkataan lillahi bermaksud kerana atau untuk Allah. Ia memiliki makna khusus yang mengajarkan bahawa setiap amal ibadah hanya untuk Allah SWT semata-mata. Ikhlas bermaksud beramal tanpa tujuan duniawi, riak dan sombong kerana semua itu sia-sia di sisi Allah. Ibadah yang dilakukan dengan keikhlasan hanya untuk Allah akan mendapat ganjaran yang sempurna. Setiap Muslim diharapkan mampu menyempurnakan ibadah haji dan umrah dengan penuh keikhlasan dan ketakwaan, sehingga memperoleh keredhaan Allah SWT.

Terdapat tiga peringkat ikhlas:

  1. Kholis: Orang suci hatinya.
  2. Mukhlis: Orang yang mensucikan hatinya.
  3. Mukhlas: Orang yang telah disucikan hatinya.

Mereka yang mengerjakan manasik haji dengan penuh ikhlas, berpeluang untuk memperoleh haji yang mabrur dan mendapat balasan syurga. Dari Jabir bin Abdullah, Nabi SAW bersabda: “Tiada balasan bagi haji yang mabrur melainkan syurga”. Lalu sahabat bertanya lagi: “Wahai Rasulullah, apa tanda mabrurnya?” Rasulullah SAW menjawab: “Memberikan makan kepada orang lain dan mengucapkan ucapan yang baik”. (Riwayat Ahmad, At-Thabrani, dan Al-Baihaqi).

Jika seseorang terhalang daripada menyempurnakan haji atau umrah kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan seperti penyakit, serangan musuh, kehilangan harta atau halangan lain, mereka diwajibkan menyembelih binatang korban (hadyun) yang mudah diperoleh. Ini sebagai penebus untuk ibadah yang tidak dapat disempurnakan. Ini menunjukkan betapa pentingnya haji dan umrah sehingga jika terdapat halangan sekalipun, ada syarat untuk menggantinya dengan korban. Terdapat dua tempat penyembelihan:

  1. Di Baitullah al-Haram.
  2. Tempat di mana jemaah terhalang.

Sheikh Solah Abdul Fattah al-Khalidi dalam kitabnya Ayatul Ahkam menyebut bahawa binatang korban atau sembelihan seperti unta, kambing dan lembu yang disebut hadyun merujuk kepada maksud hadiah kepada rumah Allah dengan ibadah haji dan umrah serta sebagai tanda mahabbah kepada Baitullah. Ia juga bermaksud huda (petunjuk), yakni dengan sembelihan, bertambahlah hidayah, iman, dan taqwa yang menghubungkan kepada redha Allah SWT.

Dalam ayat di atas juga dijelaskan bahawa orang yang sedang berihram dilarang bercukur atau menggunting rambut sebelum binatang korban sampai ke tempat penyembelihannya. Larangan ini adalah sebahagian daripada pantang-larang dalam ihram yang harus dipatuhi untuk menjaga kesucian dan kesempurnaan ibadah haji dan umrah. Namun, terdapat rukhsah bagi mereka yang sakit atau mempunyai masalah di kepala, seperti kutu atau selainnya. Mereka dibenarkan mencukur kepala tetapi dengan syarat membayar fidyah (denda). Fidyah ini boleh berbentuk puasa, sedekah, atau menyembelih binatang korban. Ini menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang mengambil kira keadaan dan kesulitan individu serta menyediakan jalan keluar yang adil dan bersesuaian.

Adalah afdal bagi mereka yang berihram berniat syarat jika berlaku halangan dia akan bertahallul (bercukur atau menggunting rambut) kerana tidak tahu apa bakal berlaku seperti diriwayatkan oleh Saidatina Aishah r.a:

“Rasulullah SAW bertemu Dhuba’ah binti Zubair r.a. Beliau berkata: “Aku ingin melakukan haji tetapi aku ragu-ragu (kerana sakit). Lalu baginda bersabda: “Berniatlah mengerjakan haji dengan bersyarat dan ucapkanlah: Ya Allah! Aku akan bertahallul sekiranya ada halangan atas kehendakMu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sementara itu, dalam ayat seterusnya dijelaskan bahawa bagi mereka yang melakukan Haji Tamattu’, iaitu menggabungkan umrah dan haji dengan berehat antara kedua-duanya, diwajibkan menyembelih binatang korban sebagai fidyah dalam bentuk dam (darah binatang sembelihan). Jika mereka tidak mampu menyembelih binatang korban, mereka harus berpuasa selama sepuluh hari; tiga hari semasa haji dan tujuh hari selepas kembali ke rumah. Hukum ini memberikan kemudahan kepada jemaah haji dalam menyempurnakan ibadah mereka mengikut kemampuan masing-masing. Walau bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada penduduk Makkah yang tinggal berhampiran Masjidil Haram. Hukum-hakam ini mungkin sedikit berbeza untuk mereka kerana mereka tidak menghadapi kesulitan yang sama seperti jemaah yang datang dari jauh.

Ayat di atas ditutup dengan peringatan supaya bertakwa kepada Allah SWT dan sentiasa ingat bahawa Allah SWT sangat keras hukuman-Nya bagi yang melanggar perintah-Nya. Ini mengingatkan umat Islam bahawa dalam melaksanakan ibadah haji dan umrah, keikhlasan dan ketaqwaan adalah amat penting. Allah SWT menegaskan bahawa setiap perbuatan dan amalan haruslah dilakukan dengan penuh ketaatan dan keikhlasan untuk mendapatkan keredhaan-Nya.

Semoga Allah SWT menerima segala amalan para jemaah haji dan mengurniakan haji mabrur. Juga buat seluruh umat Islam yang mengerjakan ibadah korban, semoga diterima korban mereka demi mendekatkan kepada Allah SWT dan diampunkan segala dosa mereka. Amin..

 

 

 

Abdul Hadi Abd Aziz

Jabatan Bahasa Antarabangsa

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)