Oleh Dr. Tuan Noor Hasanah Tuan Ismail

PAGOH, 2 Jun 2024 – Bagi membantu menyelesaikan permasalahan komuniti setempat, Program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Awam (Pembinaan) dengan Kepujian (BNC), Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengambil inisiatif melaksanakan Program SULAM FTK-BNC 2.0 pada 2, 8, 9 dan 12 Mei 2024 lalu.

Program anjuran bersama Jawatankuasa Kampung Panjang Sari, Pagoh itu diadakan bagi memperkukuhkan lagi ilmu teori yang dipelajari dalam bilik kuliah dengan mengaplikasikannya secara praktikal di kampung terbabit.

Seramai 57 pelajar BNC yang mengambil Kursus Projek Pembinaan Bersepadu (BNC 31503) bersama pensyarah program, Staf Pejabat Pengurusan Makmal Kampus Cawangan Pagoh UTHM, serta penduduk kampung telah terlibat dalam menjayakan program SULAM tersebut.

Mereka bergotong royong menjalankan kerja-kerja baik pulih Balai Raya kampung Panjang Sari seperti membersihkan tapak dan membaik pulih fasiliti balai raya, termasuklah kerja-kerja pemasangan gutter, memasang sinki, membina saluran paip baharu, mengecat dan membaik pulih pintu serta tingkap.

Turut serta, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh merangkap Adun Bukit Pasir, Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh, Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad serta Penghulu Mukim Jorak Pagoh, Muhammad Azar Aziz.

Program SULAM itu juga turut menerima sumbangan daripada UTHM serta ADUN Bukit Pasir dan D’Intan Trade Sdn. Bhd.

Pengarah Program, Ts. Dr. Tuan Noor Hasanah Tuan Ismail berkata program SULAM itu mampu memantapkan kurikulum dengan pengalaman pembelajaran berasaskan khidmat komuniti, yang mana para pelajar lebih mendalami kandungan kursus, menghayati disiplin dan meningkatkan nilai diri serta tanggungjawab sosial dan sivik.

“Program SULAM ini telah berjaya mengeratkan lagi hubungan pelajar UTHM dengan komuniti setempat serta meningkatkan lagi kemahiran insaniah pelajar seperti kreativiti, komitmen, semangat berpasukan dan disiplin diri, sesuai dengan matlamat sebenar program SULAM ini.

“Kami melihat program SULAM merupakan satu inisiatif yang baik sekali gus memberi peluang kepada para pelajar meneroka dan mengaplikasikan ilmu teori dalam konteks menyelesaikan masalah sebenar komuniti,” katanya.