Oleh Farah Deena Md Rapee
BATU PAHAT – Bersempena kedatangan bulan Ramadan, Sekretariat Rukun Negara Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) atau singkatannya SRN UTHM telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan Program Kasih Ramadan 2.0 bagi mengeratkan hubungan universiti-komuniti.
Fasa pertama program ini melibatkan edaran 50 set juadah berbuka puasa untuk pelajar-pelajar UTHM yang kurang berkemampuan di sekitar kampus induk dan juga di kampus cawangan Pagoh.
Manakala fasa kedua pula diteruskan dengan menyantuni 137 pelajar dan 27 kakitangan Maahad Tahfiz Al-Ma’arif, Batu Pahat pada 28 Mac 2024.
Hasil usaha gigih para pelajar SRN UTHM, program yang melibatkan sesi tazkirah dan majlis berbuka puasa itu turut mendapat kerjasama daripada Yayasan Taqwa dan Yayasan UTHM.
Penganjuran Program Kasih Ramadhan 2.0 itu juga berjaya meraih perhatian para dermawan apabila sebanyak 12 kipas angin telah disumbangkan untuk kegunaan bangunan yang baharu yang siap dibina.
Menurut Penasihat SRN UTHM, Farah Deena Md Rapee penganjuran program sebegitu mampu membentuk jati diri dan semangat kesukarelawanan para pelajar sekali gus dapat merapatkan lagi hubungan UTHM dengan masyarakat setempat.
Beliau turut berterima kasih kepada pihak Yayasan Taqwa, Yayasan UTHM dan juga para dermawan yang turut sama membantu menjayakan misi kali ini.
“Semoga program seumpama ini dapat diteruskan lagi agar hubungan persaudaraan antara pelajar UTHM dan komuniti akan lebih terjalin mesra, selain dapat menyemarakkan lagi budaya bantu membantu antara satu sama lain,” katanya.