Oleh Dr.Tasiransurini Ab Rahman
BATU PAHAT – Bersempena bulan Ramadan Al-Mubarak, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus bekerjasama dengan ABIM Batu Pahat buat kali keenam dengan menganjurkan program ”Kempen Sumbangan Sekampit Beras (KSSB) Edisi 2024/1445H.”
Pada tahun ini, KSSB menyasarkan masyarakat orang asli sekitar Parit Sulong untuk diberi bantuan dalam bentuk barangan keperluan harian terutamanya sumbangan sekampit beras.
Penganjuran kali ini terbahagi kepada dua fasa iaitu fasa pertama, para sukarelawan menjelajah ke Kampung Kangkar Senangar, Parit Jidin dan Parit Dalam.
Selain penyerahan sumbangan keperluan harian, para pelajar FKEE turut terlibat dalam aktiviti perkongsian ilmu melaui penganjuran ’Bengkel Asas Solat’ dan gotong-royong di Kampung Kangkar Senangar.
Manakala pada fasa kedua, para sukarelawan menjelajah ke beberapa kampung seperti Kampung Parit Tegak, Parit Pula, Parit Gantong, Parit Talib, Parit Puasa, Parit Othman, Parit Sentang Batu, Parit Lapis Maimon, Batu 22 dan Taman Industri.
Untuk rekod, Selain ABIM Batu Pahat, program KSSB tersebut dilaksanakan oleh Biro Jaringan Komuniti Kelab Staf FKEE (KsFKEE), Jawatankuasa Kebajikan Pelajar, Kesukarelawan, dan SULAM (JKKKS) dan Exco Kebajikan & Kesukarelawanan Kelab Kejuruteraan Elektrik (KKE), FKEE.
Turut serta, Kumpulan Pelajar Islam Johor (KPIJ) Batu Pahat, Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Sri Gading, SMK Penghulu Saad, Pusat Teknousahawan (PTU), Kelab Keusahawanan dan Teknologi (KKDT) & ENACTUS, UTHM.
Menurut Timbalan Pengarah Program KSSB merangkap Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar (TDHEPA) FKEE, Prof. Madya Ir. Dr. Nur Hanis Mohammad Radzi, selain dapat menyantuni masyarakat orang asli yang kurang berkemampuan, program KSSB dilihat mampu untuk mengeratkan lagi hubungan persaudaraan sesama rakan kerjasama dan sukarelawan yang terlibat.
”Pihak fakulti berterima kasih kepada semua para penyumbang, rakan-rakan kerjasama, jawatankuasa pelaksana dan sukarelawan yang telah memberi kerjasama yang baik sepanjang program berlangsung,”katanya.