BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) melalui Pusat Pembelajaran Berterusan dan APEL (PPBA) telah berjaya menerima perakuan akreditasi penuh tanpa syarat daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu untuk tujuan kemasukan (APEL.A) ke peringkat Ijazah Sarjana Secara Penyelidikan (APEL.A Tahap 7) dan Ijazah Kedoktoran Secara Kerja Kursus, Campuran dan Penyelidikan (APEL.A Tahap 8).
Perakuan akreditasi selama lima tahun itu bermula daripada 10 Februari 2024 sehingga 9 Februari 2029 sekali gus menjadi antara universiti terawal menerima perakuan tersebut.
Sehingga kini, terdapat dua Pusat Penilaian APEL (PPA) yang telah diperakukan akreditasi oleh MQA bagi melaksanakan APEL.A Tahap 7 secara penyelidikan dan APEL.A Tahap 8.
Perakuan akreditasi ini membolehkan UTHM menilai calon APEL.A Tahap 7 yang ingin melanjutkan pengajian ke program ijazah sarjana secara penyelidikan dengan menggunakan sijil diploma, Sijil Tinggi Peperiksaan STPM atau yang setara.
Manakala bagi calon APEL.A Tahap 8 yang telah berjaya dalam proses penilaian akan melanjutkan pengajian ke program ijazah kedoktoran secara kerja kursus, campuran dan penyelidikan dengan menggunakan sijil ijazah sarjana muda yang berkaitan dengan bidang yang dipohon.
Mengimbau kembali sejarah penubuhan PPA di UTHM pada tahun 2021, UTHM ketika itu telah dilantik sebagai PPA yang melaksanakan penilaian APEL.A bagi kemasukan ke peringkat Ijazah Sarjana Muda (APEL.A Tahap 6) dan Ijazah Sarjana (APEL.A Tahap 7) secara kerja kursus dan campuran.
Selepas itu, UTHM telah ditawarkan untuk melaksanakan penilaian APEL.A bagi kemasukan ke program Sijil (APEL.A Tahap 3) dan program Diploma (APEL.A Tahap 4).
Sementara itu, Pengarah PPBA, Dr. Noor Zuraidin Mohd Safar turut menzahirkan rasa terima kasih beliau kepada semua pihak yang telah terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam proses permohonan akreditasi tersebut.
Beliau berkata kejayaan itu juga adalah hasil sokongan padu oleh semua kepimpinan UTHM serta staf di pelbagai pusat tanggungjawab (PTj) lain yang sentiasa memberikan sokongan terbaik.
“Perakuan akreditasi sebagai PPA APEL.A Tahap 7 secara Penyelidikan dan Tahap 8 ini membolehkan UTHM membuka peluang lebih luas kepada masyarakat di Malaysia untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dengan menggunakan pengalaman, pengetahuan dan kepakaran yang telah dimiliki dalam bidang pekerjaan di sektor industri serta perkhidmatan.
“Ia juga merupakan satu usaha tanda sokongan kita dalam membudayakan dan memperkasakan agenda pembelajaran sepanjang hayat,” katanya.
Kejayaan tersebut juga membawa manfaat yang besar kepada individu yang ingin melanjutkan pendidikan ke peringkat sarjana secara penyelidikan atau kedoktoran dengan cara mengiktiraf nilai pengalaman kerja mereka.
“Ini membantu meningkatkan aksesibiliti, pengiktirafan profesional dan kepelbagaian dalam pendidikan tinggi,” tambah beliau.
Berita ini juga diterbitkan di:
1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 8 Mac 2024: UTHM terima akreditasi penuh tanpa syarat
https://malaysiagazette.com/2024/03/08/uthm-terima-akreditasi-penuh-tanpa-syarat/