Berita al-Jazeera bertarikh 18 Februari melaporkan bahawa serangan Israel ke atas Palestin mengakibatkan sekurang-kurangnya 28,858 orang awam terbunuh di Palestin.? Kementerian Kesihatan di Gaza juga menyatakan seramai 68,667 orang tercedera di wilayah itu sejak perang meletus pada 7 Oktober tahun lalu.? Angka kematian sebenar dikatakan jauh lebih tinggi kerana ribuan ?mayat dipercayai tertimbus dalam runtuhan di seluruh wilayah yang dilanda peperangan.

Gaza pada saat ini terus menjadi penjara terbuka terbesar di dunia. Hal ini kerana, tidak ada jalan keluar bagi penduduk Gaza bagi menyelamatkan diri. Laluan darat dan laut telah dikawal ketat oleh tentera rejim Zionis. Malah, satu-satunya lapangan terbang yang wujud di Semenanjung Gaza ??iaitu Lapangan Terbang Yasser Arafat yang menjadi laluan udara rakyat tempatan di situ tidak lagi beroperasi sejak tahun 2001, juga akibat pengeboman Israel.

Harapan utama rakyat Gaza kini adalah jalan darat iaitu keluar melalui pintu sempadan Rafah yang terletak antara Palestin dan Mesir. Middle East Eye pula melaporkan bahawa kerajaan Mesir telah pun membina ‘zon keselamatan terpencil’ di timur Gurun Sinai yang menjadi zon penampan rakyat Palestin sekiranya mereka dipaksa keluar dari Rafah, Gaza. Serangan Israel mengakibatkan 85 peratus penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal. Ke manakah lagi mereka dapat menyelamatkan diri?

Tidak hanya menghalang laluan keluar dan masuk, malah bantuan kemanusiaan turut disekat. Hampir 2 juta rakyat Palestin kini di ambang risiko kebuluran apabila kekurangan sumber air bersih dan makanan. Mereka juga bergelut untuk mengakses keperluan asas ketika serangan Israel di selatan Gaza masih berterusan. Demi kelangsungan hidup, mereka terpaksa memakan rumput dan daun. Rejim Zionis menggunakan ancaman krisis kebuluran sebagai taktik licik peperangan mereka, walhal ianya jelas merupakan satu jenayah perang.

Umat Islam di seluruh dunia akan menyambut bulan Ramadan dalam tempoh kurang dari sebulan sahaja lagi. Namun rakyat Palestin terpaksa mengikat perut jauh lebih awal sebelum ketibaan Ramadan apabila krisis yang berlaku di Gaza dilihat seakan tiada noktahnya. Yang lebih menyedihkan, apakah juadah berbuka puasa yang akan dinikmati oleh mereka? Tanpa sedar, di sini kita merungut kerana terpaksa memboikot daripada membeli makanan kegemaran kita yang menyumbang kepada Israel. Sebaliknya pula di Gaza, seteguk air bersih dan secebis roti sudah mampu membuat mereka bersyukur untuk mengalas perut buat menempuh kehidupan hari esok.

Pada saat umat Islam di Malaysia mula melakukan persediaan awal sambutan hari raya pada bulan April, rakyat di Gaza pula dalam keadaan bersedia untuk ditembak syahid pada bila-bila masa. Realiti ini amat menyedihkan dan pahit untuk diterima. Perdana Menteri Israel juga tanpa gentar telah berikrar untuk menyerang Rafah, Gaza walaupun mendapat tentangan global. Negara-negara seperti Australia, Kanada dan New Zealand memberi amaran bahawa tindakan Netanyahu akan memberi kesan buruk kepada 1.5 juta rakyat Palestin yang kini berlindung di Rafah.

Israeli Channel 13 pula melaporkan Benjamin Netanyahu  telah menerima cadangan Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir untuk mengehadkan bilangan rakyat Palestin yang memasuki Masjid Al-Aqsa sepanjang bulan Ramadan. Pihak berkuasa Israel telah berulang kali menghalang rakyat Palestin daripada memasuki tapak ketiga paling suci Islam untuk melaksanakan solat Jumaat. Tahun-tahun sebelumnya turut menyaksikan tentera Israel melakukan gangguan terhadap jemaah Palestin di dalam masjid terutamanya ketika bulan suci umat Islam.

Tidak dapat dinafikan, seluruh umat Islam berasa marah dan kecewa terhadap situasi ini. Kita hanya mampu menghulurkan sumbangan kewangan, namun belum pasti sumbangan tersebut akan sampai kepada rakyat Palestin angkara sekatan Israel. Teruskan memboikot jualan produk yang menyumbang kepada rejim Zionis walaupun segelintir daripada kita kini sudah mulai lupa. Titipkan doa juga buat saudara se-Islam kita di sana kerana doa merupakan senjata orang mukmin. Semoga Ramadan yang bakal tiba mampu menyemai rasa insaf dan syukur dalam diri atas segala limpahan nikmat dalam kehidupan ini.

 

Farhana Abd Hamid

Jabatan Bahasa Antarabangsa

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 7 Mac 2024: Taktik licik Israel undang duka Gaza menjelang Ramadan 

https://malaysiagazette.com/2024/03/07/taktik-licik-israel-undang-duka-gaza-menjelang-ramadan/

 

2. Utusan Malaysia (muka surat: 19), 15 Mac 2024: Taktik licik perang Israel undang duka Gaza sebelum Ramadan lagi 

 

3. Utusan (utusan.com.my), 15 Mac 2024: Taktik licik perang Israel undang duka Gaza sebelum Ramadan lagi 

https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2024/03/taktik-licik-perang-israel-undang-duka-gaza-sebelum-ramadan-lagi/