Oleh Prof. Madya Dr. Mohammad Sukri Mustapa
MALANG – Seramai 20 peserta dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) dan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Kejuruteraan (FSKTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) serta Kolej Komuniti Muar telah menyertai program Summer Camp 2023 yang berlangsung di Politeknik Negeri Malang (POLINEMA) pada 10 hingga 17 Disember lalu.
Program Summer Camp anjuran FKMP dengan kerjasama Persatuan Pelajar Mekanikal (PPM) dan Pejabat Antarabangsa UTHM yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohammad Sukri Mustapa bersama Ir. Dr. Sri Yulis Md Amin itu diadakan bertujuan memberi satu pengalaman pembelajaran yang menyeluruh merangkumi aspek akademik, kebudayaan dan pengembaraan alam semula jadi.
Terdahulu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Sr Ts. Dr. Lokman Hakim Ismail dan Dekan FKMP, Profesor Ts. Dr. Amir Khalid hadir menyempurnakan upacara pelepasan peserta dengan menyerahkan bendera UTHM kepada pengarah program, Yuvenraj Ganesan.
Prof. Lokman dalam ucapannya berkata program seumpama itu perlu menjadi satu medium yang sangat berharga kepada pelajar UTHM untuk menimba ilmu serta pengalaman baharu di luar negara.
Sementara itu, upacara perasmian program pula telah disempurnakan oleh Profesor Ratih Indri Hapsari, wakil Rektor POLINEMA.
Beliau dalam ucapannya berkata program Summer Camp 2023 tersebut juga merupakan program akademik yang dirangka dengan teliti bagi menyediakan platform yang unik untuk peserta meningkatkan pengetahuan mereka dalam bidang-bidang tertentu.
Beberapa bengkel dan kuliah khas yang dikendalikan oleh pakar industri tempatan telah memberi banyak manfaat kepada para peserta.
Mereka juga diberi peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan teori mereka dalam sesi praktikal yang interaktif.
Selain daripada aspek akademik, peserta Summer Camp 2023 turut berpeluang menjelajahi kepelbagaian budaya di Desa Tulus Besar dan Desaan Binaan yang merupakan perkampungan angkat POLINEMA.
Manakala lawatan budaya melibatkan pameran seni tradisional, pertunjukan tarian dan kuliner tempatan khususnya berkaitan kekayaan warisan budaya Indonesia juga turut memberi pengalaman yang berharga kepada peserta.
Turut diadakan, lawatan ke Gunung Bromo yang terkenal dengan kecantikan alam semula jadi, sambil memberi ruang kepada peserta meniti lereng gunung bagi menikmati pemandangan lanskap yang menakjubkan.
Dr. Sukri yang juga pegawai pengiring berkata program Summer Camp di POLINEMA itu bukan sahaja memberikan pendedahan ilmiah yang mendalam tetapi juga membentuk semangat kebersamaan dan keinsafan peserta berkaitan kepelbagaian budaya masyarakat.
“Para peserta pulang ke tanah air dengan membawa pelbagai kenangan manis dan pengalaman, yang mampu memberi impak positif dalam perkembangan akademik dan personal mereka.
“Program ini merupakan satu lagi capaian berjaya dalam pembinaan hubungan antara UTHM dan POLINEMA, selain memberi peluang kepada para pelajar dari kedua-dua institusi untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman,” tambah beliau.