Kejuruteraan dan teknologi kejuruteraan mungkin kedengaran serupa, tetapi sebenarnya, keduanya merangkumi bidang yang berbeza dalam arena pembangunan teknologi moden. Kursus Kejuruteraan adalah bidang yang melibatkan aplikasi konsep sains dan matematik untuk merancang, membuat, dan memelihara struktur, sistem, atau proses. Sementara itu, teknologi kejuruteraan fokus kepada aplikasi teknologi dalam konteks kejuruteraan. Terdapat beberapa perbezaan utama antara kedua-dua bidang ini.
Pertama sekali, kejuruteraan melibatkan proses merancang dan membina sesuatu, seperti jambatan, bangunan, atau peranti elektronik. Kejuruteraan membawa konsep dari kertas kepada kenyataan fizikal. Sebaliknya, teknologi kejuruteraan lebih tertumpu kepada penggunaan teknologi dan kaedah dalam proses kejuruteraan. Ini termasuk penggunaan perisian penggubahan, simulasi, dan peralatan teknologi tinggi dalam pembangunan dan pengujian produk kejuruteraan.
Kedua, kejuruteraan melibatkan penyelidikan dan pemahaman mendalam terhadap prinsip-prinsip sains dan matematik. Kejuruteraan struktural, kejuruteraan elektrik, dan kejuruteraan kimia adalah contoh disiplin ilmu kejuruteraan yang melibatkan aplikasi prinsip-prinsip sains yang ketat. Sebaliknya, teknologi kejuruteraan lebih menitikberatkan aplikasi praktikal teknologi dalam proses kejuruteraan. Ini boleh termasuk penggunaan sistem pengawalan otomatis, sensor pintar atau pengoptimuman proses menggunakan kecerdasan buatan.
Ketiga, kejuruteraan sering berkait rapat dengan analisis dan pemahaman terhadap kekuatan bahan, dinamik struktur dan sifat-sifat kimia. Teknologi kejuruteraan pula memanfaatkan perubahan teknologi terkini dalam mewujudkan produk atau proses yang lebih canggih dan efisien.
Melihat kepada struktur program, kedua-dua kursus ini menawarkan pengajian selama empat tahun dengan struktur program yang berbeza. Bagi program kejuruteraan, kandungan program menawarkan peratusan kandungan kursus yang sama bagi teori dan amali/praktikal iaitu 50 peratus setiap bahagian. Namun begitu, bagi teknologi kejuruteraan, penekanan kandungan terhadap amali/praktikal adalah sebanyak 60 peratus berbanding teori 40 peratus. Ini bagi memastikan graduan teknologi kejuruteraan mempunyai kemahiran yang lebih tinggi seperti yang digariskan.
Latihan industri adalah komponen wajib bagi program kejuruteraan dan teknologi kejuruteraan yang perlu diselesaikan setiap pelajar mengikut menu penawaran masing-masing bagi melengkapkan pengajian di peringkat ijazah di institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Latihan industri ini bertujuan memberikan pelajar pengalaman industri selaras dengan ilmu yang telah digarap di universiti. Latihan industri ini juga memberi pendedahan kepada pelajar terhadap kerjaya yang mereka akan lalui sebelum melangkah ke alam pekerjaan sebenar. Latihan industri ini juga mendedahkan pelajar kepada amalan spesifik dalam bidang pengkhususan masing-masing di samping mempertingkatkan pengetahuan, kemahiran (terutamanya kemahiran insaniah) dan pengalaman pelajar dengan organisasi. Latihan industri juga adalah bertujuan untuk melahirkan graduan yang berkompeten untuk bersaing di dalam dunia pekerjaan.
Bagi pelajar kejuruteraan latihan industri mereka sudah ditetapkan oleh badan yang memberi akreditasi yang mana ia dilaksanakan selama 10 hingga 12 minggu pada cuti semester di penghujung tahun ketiga pengajian dan akan kembali ke kampus setelah selesai latihan industri. Manakala, bagi program teknologi kejuruteraan, latihan industri dijalankan di semester akhir pengajian. Ini memberikan kelebihan untuk pelajar diserap terus sebagai kakitangan di tempat Latihan industri mereka. Ini ditambah pula dengan tempoh Latihan industri bagi program teknologi kejuruteraan yang lebih lama iaitu selama 24 minggu. Ini menjadikan pihak industri lebih berminat untuk menawarkan tempat kepada pelajar kerana ruang masa yang lebih untuk mereka memberikan pendedahan kepada pelajar-pelajar ini. Justeru, ini akan mengurangkan masalah graduan menganggur. Namun begitu, bagi kedua-dua program, pelajar hendaklah bersedia untuk mencari peluang latihan industri di tempat yang bersesuaian bagi mendapatkan kemahiran sewajarnya seperti yang mereka telah pelajari di universiti.
Bagi konteks pengakreditasian program, kedua bidang ini diaudit dan didaftar di bawah Malaysian Qualifications Agency (MQA). Graduan yang tamat pengajian di dalam bidang kejuruteraan perlulah berdaftar di bawah Board of Engineer Malaysia (BEM) bagi melayakkan mereka berdaftar sebagai Jurutera Siswazah dan seterusnya memberi peluang untuk mencapai cita-cita sebagai Jurutera professional. Perjalanan ke arah menjadi Jurutera Profesional (Ir.) memerlukan graduan tersebut bekerja di dalam bidang selama minimum tiga tahun selepas pendaftaran jurutera siswazah, sebelum layak memohon untuk menduduki ujian kelayakan. Manakala, bagi graduan teknologi kejuruteraan, mereka tidak layak untuk berdaftar sebagai Jurutera Profesional sehingga mereka menyelesaikan pengajian mereka di dalam bidang kejuruteraan di peringkat sarjana. Namun begitu, graduan bidang teknologi kejuruteraan masih dikehendaki untuk berdaftar dengan BEM dan boleh mendapatkan graduan teknologi dari BEM. Rujuk http://bem.org.my/web/guest/engineering-technologist.
“According to Section 7 (1B) of the Act, an Engineering Technologist will be entitled to describe himself or hold himself out under any name, style or title using the abbreviation “Eng.Tech.”.
Namun begitu, graduan dari bidang kejuruteraan dan teknologi kejuruteraan masih layak memohon Teknologis Profesional, Ts. Yang diiktiraf oleh Malaysia Board of Technologists, MBOT. Bagi akreditasi di peringkat antarabangsa, teknologi kejuruteraan adalah berdasarkan Washington Accord (WA), Sydney Accord (SA) dan juga Dublin Accord (DA). Ini adalah bagi menjaga kualiti graduanyang ditekankan perlu mempunyai kebolehan menyelesaikan masalah, contohnya WA, perlu menyelesaikan masalah kompleks yang melibatkan pengunaan matematik dan sains gunaan, manakala SA menumpukan keupayaan graduan dalam menyelesaikan masalah secara luas skopnya.
Melihat kepada pasaran pekerjaan, kedua-dua program menawarkan peluang yang sama kepada graduan kerana subjek teori yang ditawarkan adalah mirip. Peluang di sektor swasta terbuka luas kepada graduan dengan menawarkan jawatan jurutera kepada graduan program-program ini. Graduan dalam kedua bidang berpotensi memenuhi permintaan tinggi kerana semua pelajar ini diterapkan dengan kemahiran komunikasi, berfikir dan elemen-elemen etika profesionalisme dalam bekerja.
Secara keseluruhan, kejuruteraan dan teknologi kejuruteraan saling melengkapi dalam usaha untuk membangunkan IR4.0. Kejuruteraan menyediakan landasan konseptual, manakala teknologi kejuruteraan membawa kepada pelaksanaan dan pengoptimuman melalui teknologi. Melihat kepada situasi sekarag di Malaysia lebih menumpu ke penggunaan teknologi, dan negara penguna, maka, graduan teknologi kejuruteraan lebih sesuai dan banyak peluang dengan keperluan industri, tetapi, negara tetap perlukan kejuruteraan untuk menghasilkan teknologi kejuruteraan sendiri dari negara kita supaya tidak sentiasa bergantung kepada teknologi luar negara.
Dr. Hasliza Hassan
Jabatan Teknologi Kejuruteraan Elektrik
Fakulti Teknologi Kejuruteraan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Artikel ini juga diterbitkan di:
1. Bernama (bernama.com), 10 November 2023: Fahami perbezaan bidang kejuruteraan dan teknologi kejuruteraan