Sambutan Maal Hijrah melambangkan konsep perubahan dalam hidup. Ia mengajarkan pentingnya memulai lembaran baharu, mengejar kebaikan, dan meningkatkan diri. Dalam perjalanan hidup, perubahan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Maal Hijrah mengingatkan kita untuk sentiasa berubah ke arah yang lebih baik dan memanfaatkan peluang baharu dalam mencapai kemajuan dan kesejahteraan hidup. Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) telah membawa perubahan yang signifikan dalam landskap ekonomi dan industri di seluruh dunia. Dianggarkan 800 juta pekerja global kehilangan pekerjaan pada 2030 dan digantikan automasi dan AI.

Salah satu cabaran yang dihadapi oleh pekerja adalah kerisauan kehilangan pekerjaan akibat penggantian oleh teknologi baharu. Banyak tugas rutin dan berulang sedang digantikan oleh automasi dan AI. Menurut kajian, kira-kira 50 peratus daripada pekerjaan yang sedia ada di negara kita akan berubah atau terhapus oleh teknologi digital dan automasi dalam 5 hingga 10 tahun akan datang. 4.5 juta rakyat negara ini akan kehilangan pekerjaan menjelang 2030 jika tidak melalui proses peningkatan kemahiran dan latih semula. Pekerja yang melakukan tugas-tugas rutin ini perlu berubah dan menguasai kemahiran baru yang tidak dapat digantikan oleh teknologi. Selain itu, keperluan pasaran kerja juga berubah. Kemahiran digital seperti pemprograman, analisis data, automasi, robotik dan kepintaran buatan (AI) semakin penting dalam banyak bidang. Pekerja yang tidak mempunyai kemahiran ini akan menghadapi kesukaran dalam mencari pekerjaan yang berkualiti.

Hijrah

Dalam menghadapi era IR4.0, para pekerja juga perlu berubah dan menyesuaikan diri dengan cabaran IR4.0. IR4.0 membawa perubahan teknologi yang pesat seperti kecerdasan buatan, robotik dan automasi. Para pekerja perlu berhijrah daripada cara kerja tradisional ke dalam persekitaran yang dikuasai oleh teknologi canggih. Hijrah merupakan istilah yang merujuk kepada perpindahan atau perubahan dari satu tempat atau keadaan kepada tempat atau keadaan yang lain. Hijrah dalam konteks ini merujuk kepada transformasi minda, kemahiran dan sikap untuk kekal relevan dalam era digital. Hijrah ini melibatkan perubahan cara kerja yang dari konvensional kepada teknologi baru, seperti pemprosesan data besar, kecerdasan buatan, dan pengautomasian. Pekerja juga perlu membiasakan diri dengan cara kerja baharu yang melibatkan penggunaan alat pintar, sistem digital, dan aplikasi perisian. Hijrah dalam konteks IR4.0 juga merangkumi pemindahan daripada kerja manual kepada kerja berorientasikan teknologi, seperti analisis data, pembangunan aplikasi, dan kejuruteraan teknologi. Beberapa sektor yang dianggap memiliki potensi untuk pertumbuhan dalam era IR 4.0 di Malaysia termasuk e-commerce, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pembuatan pintar, serta perkhidmatan berdasarkan teknologi. Oleh itu, konsep hijrah perlu diadaptasikan oleh pekerja untuk berubah dan menyesuaikan diri dalam menghadapi cabaran IR4.0.

Hijrah minda

Pertama, pekerja perlu mengubah minda mereka untuk melakukan perubahan yang diperlukan agar dapat bersaing dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif. Perubahan ini juga melibatkan sikap terbuka terhadap pembelajaran berterusan dan peningkatan kemahiran. Mereka perlu mengubah paradigma dan melihat perubahan sebagai peluang, bukan ancaman. Mereka perlu mempunyai semangat dan keberanian untuk menghadapi cabaran baharu yang datang bersama revolusi industri ini. Dalam menghadapi IR4.0, hijrah menjadi prinsip penting bagi para pekerja supaya dapat menyesuaikan diri dengan perubahan, menguasai teknologi yang relevan, dan kemahiran secara berterusan. Dengan perubahan ini, para pekerja dapat memanfaatkan segala peluang yang ditawarkan oleh IR4.0 yang menjadi sebahagian daripada kemajuan dan transformasi dalam dunia pekerjaan pada masa kini. Pekerja perlu bersedia untuk melaksanakan hijrah minda untuk mempelajari teknologi baharu, dan meningkatkan keupayaan digital mereka.

Memahami IR 4.0

Kedua, pekerja perlu memahami perubahan dan impak yang dibawa oleh IR 4.0. Mereka harus mengenali teknologi yang muncul dan bagaimana teknologi ini mengubah cara kerja dan keperluan industri. Pemahaman yang mendalam tentang perkembangan teknologi ini akan membolehkan mereka mempersiapkan diri dan membuat penyesuaian yang diperlukan. Perkerja perlu faham kira-kira 50 peratus daripada kemahiran yang diperlukan dalam pasaran kerja di Malaysia akan berubah dalam masa lima tahun akan datang. Kemahiran yang dianggap penting termasuk kemahiran digital, analitik data, kecerdasan buatan dan keupayaan berinovasi.

Perubahan sikap

Ketiga, penting untuk diingat bahawa pekerja perlu bersikap positif terhadap teknologi. Pekerjaan rutin mungkin akan digantikan oleh automasi dan AI. Namun demikian, teknologi juga membawa peluang baru dan pekerjaan yang belum pernah wujud sebelum ini. Pekerja perlu melihat teknologi sebagai alat bantu untuk meningkatkan produktiviti dan keuntungan organisasi. Dengan memanfaatkan teknologi dengan bijak dan melengkapkan diri dengan kemahiran yang relevan, pekerja dapat menghadapi cabaran Industri 4.0 dan memperoleh peluang baharu yang ditawarkan oleh perubahan ini. Kajian oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Dunia menunjukkan bahawa transformasi digital dan teknologi dalam ekonomi Malaysia berpotensi mencipta hampir 1 juta pekerjaan baru menjelang tahun 2025. Oleh itu, penting bagi pekerja untuk mengambil inisiatif dalam pembelajaran dan pembangunan kemahiran untuk menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut dan memanfaatkan peluang pekerjaan baharu yang muncul dalam era IR 4.0.

Kemahiran teknologi

Keempat, dalam era Industri 4.0, kemahiran teknologi menjadi keperluan utama. Menurut laporan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), terdapat jurang kemahiran di Malaysia dalam bidang digital dan teknologi. Pekerja perlu memahami dan menguasai teknologi digital yang berkaitan dengan pekerjaan mereka. Kemahiran seperti pemprograman, pengurusan data, analisis data, kecerdasan buatan, dan kecerdasan data semakin penting. Dalam banyak bidang, seperti pembuatan, automasi proses, dan perkhidmatan, teknologi ini menjadi teras operasi. Oleh itu, pekerja perlu belajar dan berkemahiran dalam bidang teknologi ini untuk kekal relevan dalam pasaran kerja. Menurut kajian, hanya 32 peratus daripada pekerja di Malaysia yang mempunyai kemahiran digital. Laporan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menunjukkan bahawa kekurangan kemahiran digital dan teknologi adalah antara faktor utama yang menyebabkan kehilangan pekerjaan dalam era IR 4.0 di Malaysia. Pekerja yang tidak mempunyai kemahiran ini mungkin menghadapi kesulitan untuk menyesuaikan diri dengan keperluan pasaran kerja yang berteraskan teknologi digital.

Kemahiran menganalisis data

Kelima, pekerja perlu mahir dalam teknologi dalam menguruskan dan menganalisis data. Dalam era Industri 4.0, data telah menjadi sumber yang sangat penting dalam mengambil keputusan strategik bagi syarikat dan organisasi. Kemahiran untuk mengumpul, memproses, dan menganalisis data, serta menghasilkan keputusan yang tepat. Pekerja yang mempunyai kemahiran menganalisa data dapat membantu organisasi memahami dan mengambil keputusan berdasarkan data. Untuk memperoleh kemahiran ini, seseorang perlu menguasai kemahiran teknikal seperti pemprosesan data dan perisian analisis data, serta kemampuan berfikir secara kritis dan logik. Kemahiran menganalisa data sangat penting bagi pekerja dalam pelbagai bidang, membantu meningkatkan efisiensi dan keuntungan perusahaan. Pekerja yang mempunyai kemahiran dalam pengurusan data dan analisis, akan memberikan nilai tambah kepada organisasi mereka.

Pemikiran kreatif dan inovatif

Keenam, pemikiran kreatif dan inovatif juga diperlukan dalam Industri 4.0. Teknologi yang canggih membawa peluang untuk mencipta dan melaksanakan idea baharu. Pekerja perlu berfikir di luar kotak, mencari penyelesaian baharu dan berani mengambil risiko dalam menghadapi cabaran kompetitif. Keupayaan untuk berinovasi dan beradaptasi dengan cepat kepada perubahan teknologi akan membolehkan pekerja memainkan peranan yang penting dalam perubahan organisasi. Pekerja perlu mencari peluang baharu, dan mencuba pendekatan yang berbeza dalam melakukan kerja mereka. Kemampuan untuk berfikir secara kreatif dan menghasilkan idea-idea baharu adalah penting untuk menghadapi kebolehgunaan teknologi yang berkembang pesat.

Pembelajaran sepanjang hayat

Ketujuh, kebolehan beradaptasi dan pembelajaran sepanjang hayat juga kunci dalam menghadapi revolusi industri ini. Pekerja perlu terbuka kepada perubahan dan berkesediaan untuk mempelajari kemahiran baharu. Pada masa lalu, pekerja mungkin mempunyai kemahiran yang khusus sahaja, namun dalam era Industri 4.0, keupayaan untuk mempelajari dan menguasai kemahiran baharu menjadi penting. Ini termasuk kemahiran seperti kecekapan digital, kepimpinan, kemahiran komunikasi, kreativiti dan pemikiran kritis. Pekerja perlu sentiasa meningkatkan kemahiran mereka dan melibatkan diri dalam pembelajaran berterusan selaras dengan perubahan yang berterusan dalam teknologi dan pasaran kerja.

Kerjasama dan kemahiran berpasukan

Kelapan, kerjasama dan kemahiran berpasukan juga semakin penting dalam era ini. Dalam persekitaran IR4.0, pekerja perlu berkerja dengan pelbagai teknologi baharu dan sesama rakan sekerja. Kemampuan bekerjasama menjadi penting untuk berinteraksi dan berkolaborasi dengan baik. Pekerja juga perlu dapat berinteraksi dengan sistem pintar dan menggunakan teknologi dengan mahir. Pemahaman asas mengenai teknologi, bersama dengan kemahiran sosial, akan membantu pekerja menyesuaikan diri dan menyumbang secara efektif dalam persekitaran kerja IR4.0.

Kemahiran komunikasi

Kesembilan, kemahiran komunikasi juga penting dalam era Industri 4.0. Menurut kajian, kemampuan untuk berkomunikasi dengan baik dalam pasukan semakin penting dalam era Industri 4.0. Dalam dunia global ini, keupayaan untuk berkomunikasi dengan jelas dan efektif dengan orang lain dari pelbagai latar belakang dan budaya menjadi semakin penting. Pekerja yang mahir dalam teknologi komunikasi seperti e-mel, panggilan video dan aplikasi perkongsian dokumen, akan dapat bekerjasama dengan lebih efektif dan menjalin hubungan kerja yang lebih baik dengan rakan sekerja dari seluruh dunia. Oleh itu, kemahiran komunikasi dapat membantu perkerja dalam berinteraksi dengan pelanggan, rakan sekerja dan pengurus secara lebih berkesan. Individu yang mahir dalam berkomunikasi dapat membina hubungan yang baik dengan pelanggan dan membantu meningkatkan jualan serta keuntungan perusahaan.

Kemahiran menyelesaikan masalah

Kesepuluh, kemahiran menyelesaikan masalah juga penting dalam era Industri 4.0. Kemahiran ini termasuklah kemampuan untuk memahami masalah, mengenalpasti punca masalah, mencari penyelesaian yang berkesan dan menilai hasil. Kemahiran ini penting dalam meningkatkan produktiviti dan kecekapan perusahaan, serta meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan. Selain itu, kemahiran menyelesaikan masalah juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan kepuasan pelanggan dan membangun reputasi baik untuk industri.

Kemahiran interpersonal

Kesebelas, kemahiran interpersonal juga tetap penting dalam era Industri 4.0. Kemahiran ini termasuklah kemampuan untuk berkerjasama, bekerja dalam pasukan, memimpin dan meyakinkan orang lain. Dalam era yang mana teknologi semakin memainkan peranan utama dalam dunia pekerjaan, kemahiran interpersonal yang baik dapat membantu individu memperoleh kepercayaan dan pengiktirafan dari rakan sekerja dan majikan. Keupayaan untuk bekerjasama dengan orang yang mempunyai latar belakang dan budaya yang berbeza adalah penting dalam industri global.

Sokongan

Akhir sekali, kerajaan, institusi pendidikan, dan majikan juga memainkan peranan penting dalam membantu pekerja menghadapi IR4.0. Pilihan untuk meningkatkan upskilling dan reskilling adalah penting bagi rakyat Malaysia pada ketika ini. Kerajaan perlu menggalakkan pembangunan kemahiran dan penyediaan latihan yang sesuai untuk pekerja. Institusi pendidikan perlu memperbarui kurikulum mereka dan menyediakan pendidikan yang relevan dengan keperluan pasaran kerja semasa. Majikan perlu menyediakan peluang pembelajaran dan perkembangan kepada pekerja mereka serta menggalakkan budaya inovasi dalam organisasi. Sebagai contoh, MyDigitalSkills FutureReady adalah program yang dilancarkan oleh Kerajaan Malaysia untuk memberikan latihan dan pendidikan dalam bidang digital kepada pekerja Malaysia agar mereka dapat menghadapi cabaran IR 4.0. Inisiatif ini bertujuan untuk menyediakan 30,000 orang pekerja dengan kemahiran digital pada tahun 2025. Selain itu, Laporan Pelan Induk Transformasi Pendidikan Tinggi (PITPT) 2018-2025 menunjukkan komitmen kerajaan dalam memperbaharui pendidikan tinggi untuk memenuhi keperluan kemahiran dalam era IR 4.0.

Secara keseluruhan, revolusi industri 4.0 membawa perubahan besar kepada dunia pekerjaan dan ekonomi. Untuk kekal relevan dan berjaya dalam era ini, pekerja perlu berubah dan melengkapi diri dengan kemahiran yang baharu. Kemahiran teknologi, adaptabiliti, pembelajaran sepanjang hayat, kemahiran interpersonal, kemahiran menyelesaikan masalah dan pemikiran positif adalah beberapa elemen penting yang perlu diberi perhatian oleh pekerja. Dengan berubah dan mengambil pendekatan yang proaktif terhadap revolusi industri ini, pekerja dapat menghadapi era IR4.0 dengan berkeyakinan dan mencapai kejayaan dalam dunia digital yang penuh mencabar.

 

 

 

 

Prof. Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad

Pensyarah dan Ketua Penyelidik Pengurusan Teknologi Pengeluaran

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Artikel ini juga diterbitkan di:

1. Berita Harian (muka surat:11), 21 Julai 2023 : IR 4.0 tuntut ‘hijrah’ kerja berasas teknologi 

 

2. Berita Harian (bharian.com.my), 21 Julai 2023: IR 4.0 tuntut ‘hijrah’ kerja berasas teknologi 

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/07/1129274/ir-40-tuntut-hijrah-kerja-berasas-teknologi