Keupayaan untuk mengurus kewangan dengan bijak adalah penting. Ini lebih penting lagi apabila melibatkan perancangan persaraan. Kebanyakan orang bermimpi untuk bersara dengan selesa dan menikmati kehidupan selepas bertahun-tahun bekerja. Namun, jika kewangan tidak diurus dengan bijak boleh menyebabkan persaraan dalam keadaan kemiskinan. Menurut Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kebanyakan bakal pesara tidak mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi. Sebanyak 71 peratus atau lebih dua pertiga ahli yang aktif mencarum KWSP berusia 55 tahun dan ke bawah, berada dalam situasi serius yang mana jumlah dana tidak mencukupi untuk bersara melebihi paras kemiskinan. Seramai 6.7 juta ahli atau 51 peratus daripada keseluruhan ahli KWSP di bawah umur 55 tahun hanya mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000 di dalam akaun KWSP. Jumlah ini menyebabkan ahli memperolehi pendapatan persaraan yang kurang daripada RM42 sebulan untuk tempoh 20 tahun. Sebanyak RM240,000 diperlukan bagi tempoh 20 tahun selaras dengan jangka hayat rakyat Malaysia. Menurut laporan Bank Negara Malaysia, 75 peratus daripada individu yang bersara di Malaysia menggunakan simpanan mereka dalam tempoh tiga hingga lima tahun selepas persaraan.

Ini menunjukkan bahawa mereka menghadapi kesukaran dalam menguruskan kewangan mereka secara berkekalan selepas persaraan. Literasi kewangan memainkan peranan penting dalam membantu individu mengelakkan bersara miskin. Dengan pemahaman konsep kewangan yang baik seperti perancangan bajet, pelaburan dan pengurusan hutang, seseorang dapat menguruskan kewangan mereka dengan bijaksana. Melalui literasi kewangan, individu dapat belajar tentang kepentingan menyimpan dan melabur wang untuk jangka masa panjang. Oleh itu, adalah penting bagi bakal pesara perlu mengambil langkah-langkah yang bijak untuk menguruskan kewangan mereka dan mengelak daripada persaraan dalam kemiskinan.

Matlamat kewangan

Langkah pertama untuk mengurus kewangan dengan bijak adalah membina perancangan kewangan yang kukuh. Setiap bakal pesara perlu menyedari keperluan mereka selepas bersara dan menetapkan matlamat kewangan jangka panjang. Ini termasuk menentukan jumlah pendapatan yang diperlukan untuk menampung gaya hidup yang diingini dan perbelanjaan harian selepas persaraan. Dengan mempunyai perancangan kewangan yang jelas, bakal pesara akan dapat membuat penyesuaian dan menyimpan dengan bijak sepanjang mereka berkerja.

Simpanan

Simpanan juga perlu menjadi keutamaan. Separuh daripada rakyat Malaysia tidak dapat menyimpan sebanyak RM1,000 untuk kegunaan ketika kecemasan disebabkan kurangnya perancangan kewangan. Bakal pesara perlu melihat penyimpanan sebagai komponen penting dalam pengurusan kewangan mereka. Menyimpan sejumlah wang secara tetap setiap bulan dapat membantu semasa keadaan kecemasan atau selepas persaraan. Bakal pesara juga boleh mempertimbangkan pelaburan yang bersesuaian, seperti menabung dalam akaun simpanan tetap atau unit amanah untuk pelaburan jangka panjang.

Pengurusan perbelanjaan

Selain itu, bakal pesara perlu mengutamakan keperluan dan memisahkan antara keinginan dan keperluan sebenar. Data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa kos asas keperluan seperti makanan, perumahan, dan kesihatan terus meningkat dari tahun ke tahun. Menetapkan bajet bulanan dan memantau perbelanjaan adalah langkah penting dalam memastikan kewangan yang sihat. Bakal pesara perlu berbelanja mengikut kemampuan dalam perbelanjaan mereka. Menghindari pembelian yang tidak dirancang dan berbelanja mengikut perancangan adalah penting untuk mencapai kestabilan kewangan.

Pengurusan hutang

Bakal pesara perlu mengelak daripada berhutang secara berlebihan dan menguruskan hutang dengan bijak. Hutang yang berlebihan boleh menyebabkan beban kewangan dan memberikan kesan negatif terhadap kesihatan kewangan. Data menunjukkan bahawa individu yang terbeban dengan hutang yang berlebihan cenderung menghadapi kesukaran dalam menyimpan dan melabur untuk persaraan. Menurut AKPK, lebih daripada 60 peratus isi rumah di negara ini mempunyai jumlah hutang yang melebihi pendapatan bulanan mereka. Ini boleh menyebabkan keadaan kewangan yang kritikal ketika bersara. Selain itu, hutang kad kredit juga boleh memberi tekanan kepada status kewangan bakal pesara.

Ilmu pelaburan

Selain itu, bakal pesara perlu mempunyai pengetahuan tentang pelaburan. Mereka perlu mengenal pasti peluang pelaburan yang berpotensi memberikan pulangan. Pelaburan dalam instrumen yang berbeza seperti saham, bon, dan hartanah boleh membantu bakal pesara menambah nilai pulangan mereka. Selain itu, ilmu pelaburan juga melibatkan pengetahuan tentang strategi pelaburan seperti diversifikasi dan jangka masa pelaburan. Dengan mempelajari cara untuk melabur secara berhemat dan bijaksana, individu dapat mengurangkan risiko dan meningkatkan potensi pulangan pelaburan mereka. Walau bagaimanapun, bakal pesara perlu ingat bahawa pelaburan juga melibatkan risiko, jadi penting untuk mendapatkan nasihat kewangan yang berprofesional sebelum membuat keputusan pelaburan.

Perlindungan insurans

Bersara dalam kemiskinan juga boleh dielakkan dengan melindungi diri daripada risiko tidak diduga. Bakal pesara perlu mempunyai perlindungan insurans yang mencukupi untuk melindungi diri dan keluarga mereka daripada kejadian tidak dijangka seperti penyakit serius, kemalangan, atau kecacatan. Menurut data, purata perbelanjaan kesihatan setiap isi rumah adalah sebanyak RM2,808 setahun. Kos kesihatan yang tinggi boleh memberi tekanan tambahan kepada persaraan jika tidak diurus dengan baik. Perlindungan insurans dapat membantu mengurangkan beban kewangan dan mengekalkan kestabilan kewangan dalam keadaan yang sukar.

Kemahiran diri

Selain itu, bakal pesara juga perlu memikirkan tentang meningkatkan kemahiran dan pendidikan mereka. Memperoleh kemahiran yang diperlukan dalam pasaran, membolehkan bakal pesara akan mendapat gaji yang lebih tinggi. Dengan mempunyai kelayakan dan kemahiran yang relevan, bakal pesara akan mendapat gaji yang lebih tinggi untuk simpanan persaraan. Selain itu, kemahiran kerja juga boleh ditingkatkan melalui pendidikan dan latihan berterusan. Ini membolehkan individu menyesuaikan diri dengan keperluan pasaran pekerjaan yang sentiasa berubah.

Kumpulan Wang Simpanan Bakal Pesara (KWSP)

KWSP memainkan peranan penting dalam membantu individu mengelakkan keadaan bersara miskin. Menurut KWSP, hampir 70 peratus pekerja Malaysia tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk bersara. Oleh itu, penting bagi individu untuk memanfaatkan KWSP sebagai satu-satunya skim persaraan wajib di Malaysia. Dengan menyertai KWSP dan menyumbang secara konsisten, individu dapat mengelakkan miskin dan menikmati kestabilan kewangan selepas bersara. Sebarang pengeluaran KWSP yang berlebihan akan memburukkan lagi isu ketidakcukupan simpanan persaraan yang kini sudahpun berada dalam tahap yang amat membimbangkan.

Pendapatan sampingan

Selain itu, bakal pesara juga boleh mengambil inisiatif untuk meningkatkan pendapatan mereka di samping pendapatan tetap. Ini mungkin termasuk menjalankan perniagaan sampingan atau melakukan kerja tambahan. Pendapatan tambahan ini boleh digunakan untuk menambah simpanan persaraan atau melabur dalam peluang yang menguntungkan.

Bantuan dan subsidi

Melalui pelbagai program bantuan kerajaan, individu yang berpendapatan rendah atau terjejas ekonomi diberikan sokongan kewangan untuk memenuhi keperluan asas mereka. Program seperti Bantuan Sara Hidup (BSH), Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Skim Subsidi Upah (SSU) memberikan bantuan tunai kepada individu dan isi rumah yang memerlukan. Ini membantu mereka mengurangkan beban kewangan dan menyediakan sumber pendapatan tambahan mereka. Selain itu, subsidi kerajaan, seperti subsidi upah, bantuan latihan, dan insentif pekerjaan, memberikan sokongan kepada pekerja untuk meningkatkan pendapatan dan meningkatkan kebolehpasaran mereka. Ini membantu mereka memperoleh pendapatan yang mencukupi untuk persediaan persaraan.

Keseluruhannya, kemahiran dalam mengurus kewangan dengan bijak adalah kunci untuk menghindari bersara dalam kemiskinan. Literasi kewangan, seperti perancangan bajet, pelaburan, dan pengurusan hutang, memainkan peranan penting dalam membantu individu mengelakkan bersara miskin. Bakal pesara perlu membina perancangan kewangan yang kukuh, menyimpan secara tetap, menguruskan perbelanjaan dengan bijak, mengelakkan hutang berlebihan, dan mempelajari ilmu pelaburan. Selain itu, perlindungan insurans dan meningkatkan kemahiran serta pendidikan juga penting. Dengan perancangan yang baik dan mengambil langkah yang betul, bakal pesara boleh menikmati persaraan yang selesa dan bebas daripada kebimbangan kewangan.

 

 

 

Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad

Pensyarah dan Ketua Penyelidik Pengurusan Teknologi Pengeluaran

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Artikel ini juga diterbitkan di:

1. Berita Harian (muka surat: 11), 18 Jun 2023: Literasi kewangan penting elak miskin selepas bersara