Oleh Norfauzan Md Sarwin
BATU PAHAT – Sebagai tanda sokongan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA) telah melaksanakan program ‘Jom Baca Bersama untuk 10 Minit’ peringkat universiti pada 18 Mei 2023 lalu.
Program yang diadakan secara serentak seluruh negara bermula pada jam 11 pagi itu merupakan inisiatif ke arah membentuk masyarakat minat membaca.
Untuk rekod, program tersebut merupakan program tahunan yang disambut serentak di seluruh negara pada setiap tahun sejak tahun 2014 lagi.
Ia dilaksanakan sempena Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia iaitu pada 23 April yang diatur oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), yang bertujuan menggalakkan aktiviti membaca, merancakkan penerbitan dan menjaga hak cipta.
Namun begitu, pada tahun ini negara menyambut program ‘Jom Baca Bersama 10 Minit’ pada 18 Mei 2023 bagi memberi laluan kepada sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Sambutan pada tahun ini yang bertemakan ‘Baca Bina Insan’ bertujuan mendidik jiwa setiap manusia untuk menjadi insan yang berakhlak mulia, mempunyai rasa empati, kasih sayang, hormat menghormati dan taat kepada agama.
Menurut Ketua Pustakawan PTTA, Zaharah Abd Samad, budaya membaca wajar dijadikan sebagai satu gaya hidup dalam masyarakat madani kerana membaca adalah perkara paling asas untuk meraih hidup yang lebih baik.
Tambah beliau, pelaksanaan program seumpama itu juga secara tidak langsung dapat mempromosi PTTA dan menyemai budaya membaca secara berterusan dalam kalangan warga kampus dan komuniti setempat.
“Penganjuran program ini juga diharap dapat meningkatkan visibiliti PTTA sebagai sebuah gedung ilmu yang sarat dengan pelbagai informasi dan maklumat untuk diterokai,” katanya.
Turut diadakan, Majlis Perasmian Festival Bahasa dan Seni Kebangsaan 2023 anjuran bersama Sekretariat Debat Bahasa Melayu, Sekretariat Rukun Negara dengan PTTA.
Majlis yang dirasmikan oleh Dekan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Dr. Lutfan Jaes selaku wakil rasmi Naib Canselor tersebut diisi dengan sesi lafaz Ikrar Rukun Negara, persembahan puisi bertajuk ‘Bahas Kita’ oleh ahli Majlis Perwakilan Pelajar UTHM, Mahathir Mohd Akhar dan bual bicara bertajuk “Gaya Bahasa dalam Pantun Kelakar Tenas Effendy” bersama Dr. Hajah Maskiah Masrom, Dekan Sekolah Pendidikan merangkap Ketua Pusat Penyelidikan dan Penerbitan, Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim.
Tepat jam 11 pagi, PTTA para pengunjung PTTA serta warga UTHM diseru berhenti seketika dan membaca sebarang bahan bacaan sama ada dalam format bercetak atau digital, buku, majalah atau bahan bacaan yang terdapat di dalam telefon pintar masing-masing secara serentak selama 10 minit.
PTTA berharap program itu dapat diteruskan lagi pada tahun-tahun akan datang dan semua dapat berganding bahu dalam menjayakan kempen membaca sama ada di peringkat UTHM mahupun kebangsaan.