Pelancaran Program Menu Rahmah pada 31 Januari 2023 lalu mendapat sambutan yang positif daripada pelbagai pihak. Inisiatif kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu juga turut disambut baik oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan mensasarkan pelaksanaan Menu Rahmah di 20 kafe di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Lembah Klang selepas Aidilfitri nanti.

Menu Rahmah merupakan pilihan terbaik rakyat Malaysia ke arah mengubah gaya pemakanan seimbang dan bernutrisi. Dengan harga RM5.00, pembeli dapat menikmati hidangan yang lengkap dengan sumber protein, karbohidrat dan sayur-sayuran. Kreativiti dalam masakan seperti merebus, mengukus dan memanggang juga boleh dipertimbangkan agar dapat menghasilkan makanan yang berkualiti.

Konsep suku suku separuh seperti saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilihat sesuai untuk digunakan dalam Menu Rahmah selain mampu mengekalkan konsep kawalan pengambilan kalori individu. Strategi pemakanan sihat ini perlu dilatih dan diamalkan sehinggalah ianya menjadi amalan dalam kehidupan seharian kita. Mungkin inilah permulaan kepada satu perubahan gaya hidup sihat masyarakat di Malaysia.

Kerap juga didengari makanan sihat itu mahal. Namun perlulah diingat, alasan hanya akan melambatkan perjalanan. Pilih diet yang realistik dan sesuai untuk diamalkan dalam jangka masa panjang. Sebagai contoh, pilih ikan kembung dan telur berbanding salmon. Pilih sayur bayam berbanding brokoli. Buat pilihan yang bijak dengan kemampuan ekonomi diri. Kini, menikmati Menu Rahmah bukan lagi alasan makanan sihat itu mahal. Diet itu adalah strategi dan memerlukan ilmu bagi mendapatkan hasil yang optimum.

Moga inisiatif Program Menu Rahmah ini dapat mencapai matlamat Pinggan Sihat Malaysia dengan prinsip diet sihat serta mematuhi konsep utama BMV iaitu Keseimbangan (Balance), Kesederhanaan (Moderation) dan Kepelbagaian (Variety) dalam satu hidangan rakyat Malaysia. Ingat, salah satu cara sihat adalah bermula dengan pinggan anda.

 

Pinggan Sihat Malaysia dengan Konsep Suku Suku Separuh, KKM.

 

 

Farhawahidah Ahmad Puad

Ketua Bahagian Pengurusan Pelajar

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Cawangan Pagoh