Transformasi organisasi merupakan suatu strategi dan implementasi untuk membawa organisasi daripada bentuk dan sistem yang lama kepada yang baharu dengan menyesuaikan seluruh elemen turutannya (sistem, struktur, pekerja, budaya) dalam rangka meningkatkan organisasi yang lebih baik untuk mencapai tujuan yang telah ditetapkan selaras dengan visi dan misi organisasi/perusahaan.
Manakala transformasi digital adalah sesuatu yang mengarah kepada satu proses aktiviti dengan menggunakan atau memanfaatkan teknologi digital terutamanya di dalam sesebuah organisasi. Namun perlu diingatkan juga, transformasi digital tidak hanya tertumpu kepada perubahan daripada sistem manual ke digital, tetapi juga bagaimana teknologi digital ini mampu dilaksanakan atau implementasi di dalam sesebuah organisasi.
Malaysia memperkenalkan Dasar Kebangsaan mengenai IR 4.0 dikenali sebagai Industry 4WRD, yang mana ia merupakan satu dasar negara untuk transformasi sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan perkilangan bagi tempoh 2018 hingga 2025. Organisasi tidak dapat mengelak daripada melakukan transformasi untuk kekal relevan dan berdaya saing sama ada di peringkat tempatan mahupun peringkat global. Kejayaan pendigitalan dalam keadaan persekitaran yang tidak menentu telah menyebabkan perubahan yang ketara dalam model dan proses perniagaan. Perusahaan yang sukar menerima arus pemodenan sesungguhnya akan terus tertinggal di belakang.
Antara persoalan yang timbul ialah bagaimana organisasi moden berhadapan dengan cabaran penting ini? Bagaimanakah organisasi mampu untuk beroperasi dengan cekap dan berkesan dalam era digital? Bagaimana organisasi menterjemahkan hala tuju mereka ke dalam bentuk strategi dan tindakan pada peringkat individu, sekali gus menginstitusikan dan menjadikan transformasi sebagai budaya dalam kalangan anggota organisasi?
Sebuah organisasi akan mendapat manfaat sepenuhnya dalam era transformasi digitalisasi melalui tiga komponen utama iaitu manusia, perniagaan dan teknologi – secara bekerja bersama. Memasukkan komponen-komponen ini ke dalam budaya organisasi menuntut kepimpinan yang kuat dari orang-orang seperti Chief Data and Analytics Officer (CDAO), Chief Information Officer (CIO) atau bahkan Chief Executive Officer (CEO) sekiranya organisasi tersebut berasaskan perniagaan. Hasil daripada kerja sama tersebut dapat menjadi perusahaan yang berfokus pada pelanggan dalam memastikan setiap tindakan yang diambil dilakukan dengan mempertimbangkan pengalaman pelanggan.
Organisasi yang berhasil untuk melaksanakan transformasi digital dengan menukarkan pola pemikiran daripada tradisional kepada digital, menukar strategi dan budaya kerja mampu mencapai atau memperoleh manfaat seperti berikut:
- Pengalaman dan Pengoperasian Digital Meningkatkan Kepuasan Pelanggan
Kejayaan dalam penciptaan pengalaman digital bakal menjadikan sesebuah organisasi kekal relevan, efektif dan menarik secara fizikal dan emosi di hati pelanggan. Perusahaan yang diubah secara digital bakal menyalurkan pelanggan tentang informasi produk, waktu perniagaan, pemilik perniagaan, lokasi perniagaan dan pelbagai maklumat yang berkaitan perniagaan dengan lebih mudah, pantas dan cekap. Organisasi sepatutnya lebih responsif dan berfokuskan pelanggan dalam usaha memberikan pengalaman dan nilai layanan yang tepat kepada pelanggan. Untuk mencapai hasrat tersebut, organisasi perlu meningkatkan keupayaan teknologi dan proses yang tepat, melantik pekerja mahir dan berketerampilan, dan mendukung aktiviti kolaborasi, penyelidikan dan inovasi. Sudah tentu dengan berlakunya transformasi digital, pelanggan mudah untuk mengakses segala informasi berkaitan dengan perusahaan lebih cepat dan mudah.
- Inovasi Digital
Aktiviti penyelidikan sinonim dengan kerja-kerja makmal dan sering kali dikaitkan inovasi hasil daripada aktiviti kajian makmal. Namun, organisasi harus sama-sama fokus dalam membangunkan pendekatan inovasi yang dapat diukur, yang membolehkan supaya berlakunya intervensi dalam organisasi masing-masing dan seterusnya mampu meningkatkan nilai tambah di dalam organisasi. Transformasi digital memerlukan aktiviti inovasi yang berterusan dalam organisasi supaya kekal berdaya saing dengan pesaing tempatan malah di peringkat global.
- Budaya kerja dan keterampilan organisasi
Manfaat seterusnya yang bakal diperoleh hasil daripada transformasi organisasi adalah apabila tenaga kerja yang berubah dan menghasilkan budaya yang lebih efisien, cakna masalah, toleransi, fleksibiliti dan pantas melebihi keperluan semasa. Ini dapat meningkatkan keterampilan organisasi di mata pesaing tentang kehebatan organisasi tersebut. Kepimpinan organisasi mampu membentuk pekerja ke arah lebih efisien dengan merangka strategi untuk meningkatkan motivasi pekerja untuk terus berkhidmat dan setia bersama organisasi. Antara strategi yang mampu dilakukan adalah dengan menyediakan ruang kerja yang lebih kondusif, ruang kerja dan perbincangan yang lebih ceria dan kreatif, menyediakan dan membenarkan latihan dan pembelajaran sepanjang hayat kepada pekerja, sistem ganjaran yang teratur dan sistematik dan menggalakkan keterlibatan pekerja dalam membuat keputusan.
Secara kesimpulannya, transformasi digital kebiasaannya bermula dengan perancangan yang mega, rangka kerja sumber manusia dan penjanaan kewangan yang penting di dalam sesebuah organisasi. Adalah sangat mustahak untuk membina dan menyemarakkan semangat berpasukan dalam seluruh organisasi sebagai sokongan untuk mentransformasikan pendigitalan seluruh sistem dalam organisasi. Sebahagian besar pekerja perlu memahami dengan jelas betapa banyak perubahan dan tenaga kerja yang diperlukan. Organisasi perlu menggalakkan aktiviti inovasi dijalankan dan juga melahirkan pekerja yang sentiasa berfikiran kreatif dan inovatif. Selain itu, kepimpinan tertinggi boleh menggalakkan dan melahirkan tenaga kerja yang sentiasa mewujudkan persaingan sihat dan terus memperbaiki diri dengan ilmu pengetahuan terkini. Transformasi digital sesebuah organisasi mampu menjadikan organisasi tersebut kekal berdaya saing dan relevan dalam pasaran tempatan mahupun di peringkat global.
Anim Zalina Azizan
Pensyarah Kanan / Penyelidik
Kumpulan Fokus Technology & Innovation Management
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Artikel ini juga diterbitkan di:
1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 2 Februari 2023: Manfaat transformasi organisasi pada era digital
https://malaysiagazette.com/2023/02/02/manfaat-transformasi-organisasi-pada-era-digital/
2. Bernama (bernama.com), 8 Mac 2023: Manfaat Transformasi Organisasi Pada Era Digital