Pantun merupakan khazanah seni sastera Melayu yang sangat unik. Pantun merupakan sejenis puisi lama yang paling luas diketahui berbanding dengan bentuk-bentuk puisi lisan Melayu yang lain di alam Melayu, khususnya di Malaysia. Ramai orang Melayu yang menganggap pantun hanyalah sebagai kata-kata yang indah dan diungkapkan dalam majlis-majlis tertentu sahaja. Hakikatnya pantun melambangkan minda orang Melayu. Pantun terdiri daripada pembayang dan juga maksud. Mempunyai pola rima yang tersendiri dan menggunakan perbendaharaan kata yang sering dikaitkan dengan unsur alam dan persekitaran kehidupan masyarakat Melayu.

Pantun merupakan antara puisi lisan yang masih lagi bertahan. Di majlis-majlis rasmi dan upacara perkahwinan Melayu, pantun masih lagi disampaikan secara lisan. Tidak lengkap kiranya ucapan di majlis-majlis ini tidak diselitkan dengan ungkapan pantun. Pantun adalah hasil seni yang tidak kita ketahui siapakah penciptanya. Ianya telah wujud sejak dahulu lagi dan diturunkan dari satu genarasi ke satu generasi. Penghasilan pantun adalah idea kreatif orang Melayu terdahulu yang terhasil melalui pengamatan dan pemerhatian mereka terhadap kehidupan dan pengalaman yang mereka lalui.

Pantun dan kebijaksanaan akal budi orang Melayu

Menurut tokoh wartawan Malaysia ke-12, iaitu Yang Berbahagia Tan Sri Johan Jaaffar dalam satu perkongsiannya dalam satu program sempena sambutan ulang tahun ke-10 Bangunan Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA), UTHM yang bertajuk Mencari Kebijaksanaan: Kajian Pantun Pak Ungku Abdul Aziz, pantun adalah cerminan masyarakat Melayu yang sebenar. Minda Melayu ternyata jelas terlihat dari gubahan dan pemilihan perbendaharaan kata yang tepat dalam pantun Melayu. Pemilihan kata yang digunakan dapat menggambarkan kehidupan dan cara hidup orang Melayu. Menurut beliau lagi, pantun merupakan seni sastera yang ringkas tetapi mendalam maknanya. Pantun bukan berasal dari sastera bangsawan atau istana. Pantun merupakan hasil karya sastera yang lahir dari bakat daya cipta golongan rakyat biasa yang kebanyakannya terdiri daripada petani, nelayan dan pelaut. Mereka ini merupakan golongan yang rata-ratanya tidak berpendidikan. Pengamatan golongan ini terhadap alam dan pengetahuan luar biasa mereka tentang flora dan fauna menggambarkan kebijaksanaan mereka. Menurut beliau lagi, keadaan ini telah mendapat perhatian Profesor Diraja, Allahyarham Ungku Aziz dalam buku nukilan beliau yang bertajuk “Pantun dan Kebijaksanaan Akal Budi Melayu.”

Profesor Diraja, Allahyarham Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid atau lebih mesra dengan panggilan Pak Ungku telah melihat pantun dari sudut yang berbeza dengan pengkaji-pengkaji pantun yang lain. Menurut beliau, pantun bukan sekadar puisi lisan biasa tetapi menggambarkan akal budi dan kebijaksanaan Melayu. Pak Ungku telah mengumpulkan khazanah puisi lisan ini dan mengkaji kebijaksanaan orang Melayu melalui koleksi pantun yang telah dikumpulkan. Pak Ungku merupakan tokoh yang tidak asing lagi dalam bidang ekonomi dan pendidikan. Beliau tersohor bukan sahaja di dalam negara malahan sehingga ke peringkat antarabangsa. Namun, tidak ramai yang mengetahui bahawa Pak Ungku mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang sastera, khususnya pantun. Di dalam buku pantun nukilan beliau ini, ada dinyatakan bahawa pantun Melayu secara lisan telah terkenal di rantau Asia Tenggara sejak lebih daripada 700 tahun yang lalu. Melalui pantun, jelas tergambar semangat dan jati diri orang Melayu. Antara pantun yang dapat menggambarkan keadaan ini menurut kajian Pak Ungku adalah pantun berikut:

 

Kapal layar dipukul arus

Terus belayar ikut pedoman

Pantun Melayu hidup terus

Tidak kalah dilambung zaman

 

Pak Ungku bukanlah cendekiawan dalam bidang sastera mahupun pantun. Namun, sumbangan pemikiran dan idea beliau dalam bidang ini sangat besar dan dapat menyemarakkan lagi kajian mengenai khazanah kesusasteraan orang Melayu ini. Kajian beliau mengenai kebijaksaan akal budi Melayu melalui pantun dihimpunkan di dalam buku ini. Daripada 16,000 pantun yang telah dikumpulkan oleh Pak Ungku, hanya 78 buah pantun yang dipilih dan dimuatkan di dalam buku ini. Tema yang dipilih pula terdiri daripada tiga tema iaitu pantun pedagang, pantun musim dan angin serta pantun kanak-kanak.

Melalui tema-tema ini, Pak Ungku melihat minda kebijaksanaan dan orang Melayu serta cara orang Melayu berfikir dan sudut pandang orang Melayu dalam kehidupan. Dengan mengkaji pemilihan kosa kata yang digunakan dalam baris-baris pantun, boleh dilihat bagaimana orang Melayu menyelami unsur-unsur alam dalam kehidupan mereka. Perumpamaan pada maksud pantun terhadap unsur-unsur alam, memberikan gambaran betapa tingginya cara mereka berfikir, walaupun rata-rata mereka bukanlah golongan yang berpendidikan. Melalui pantun pedagang misalnya, gambaran sikap, semangat, cabaran, kasih dan kekeluargaan, kehidupan pedagang yang bergantung pada nasib dapat dilihat bukan sahaja pada maksud, tetapi juga pada pembayang yang digunakan.

 

Pantun dan minda orang Melayu

Kalau berperahu ke Kuala Dipang

Singgah ke Jambi membeli bunga

Kalau dah tahu dagang menumpang

Ikutlah resmi ayam betina

 

Melalui pantun ini, maksud pada pantun dapat menggambarkan kehidupan seorang pedagang. Melalui maksud pantun, dapat dilihat betapa halusnya cara orang Melayu memberikan nasihat kepada pedagang, iaitu dengan melihat kepada perumpaan alam. Sebagai pedagang, seharusnya mereka bersikap seperti resmi ayam betina. Resmi ayam betina menggambarkan sifat yang bersopan santun dan merendah diri dengan pihak yang lebih atas. Begitulah adat orang berdagang, tidak seharusnya meninggi diri dan berasa ego dengan kebolehan diri sendiri. Penerimaan orang Melayu ketika itu, orang yang berdagang, tetap tidak sama dengan orang tempatan. Ini kerana, pedagang itu dianggap sebagai orang luar. Banyak pantun pedagang yang menggambarkan nasib dan penerimaan orang tempatan kepada pedagang. Bukan sahaja pada maksud pantun, malahan pada pembayang juga dapat dilihat daya akal, kreativiti dan kecerdikan pencipta pantun. Pencipta pantun turut menggambarkan kehidupan masyarakat Melayu ketika itu, seperti penggunaan perahu untuk ke sesuatu tempat.

 

Suluh menyuluh Teluk Emas

Panas sejuk angin utara

Ribut taufan baik berkemas

Antara belum jadi sengsara

 

Pantun ini merupakan sejenis pantun yang Allahyarham Pak Ungku senaraikan dalam kategori pantun musim dan angin. Keadaan musim dan angin banyak berkait dengan kehidupan orang Melayu, terutamanya bagi pelayar. Mereka tiada alat dan kepakaran dalam menentukan kaji cuaca. Orang Melayu ketika itu bergantung dengan keadaan angin untuk meramalkan keadaan cuaca. Melalui pembayang maksud, dapat diselami kehidupan masyarakat Melayu ketika itu. Mereka sangat bergantung pada keadaan alam. Pemerhatian mereka pada alam sangat teliti. Dalam pantun ini, sebagai seorang pelayar pemerhatian mereka pada keadaan angin dan suhu penting dalam tindakan yang mereka akan lakukan. Sebagai pelayar, seseorang itu perlu memerhati dengan teliti, fokus dan perlu sentiasa bersedia supaya keadaan tidak menjadi lebih teruk. Sejauh mana tingginya ketamadunan masyarakat Melayu dapat tdigambarkan melalui pantun yang dihasilkan. Ini kerana pantun menggambarkan kehidupan rakyat biasa pada ketika itu.

 

Cing cing gula batu

Bunyi loceng pukul satu

Emak emak buka pintu

Adik hendak minum susu

Burung kenek-kenek

Terbang atas pagar

Pesan datuk nenek

Rajin-rajin pergi belajar

 

Dua pantun di atas merupakan antara koleksi pantun kanak-kanak yang dimuatkan di dalam buku ini. Menurut Allahyarham Pak Ungku, pantun kanak-kanak mudah difahami, menunjukkan ciri-ciri teladan dan kelakuan serta pemikiran yang dianggap baik dari segi akhlak dan etika masyarakat Melayu. Menurut beliau lagi, pantun kanak-kanak banyak dipengaruhi oleh peristiwa onomatopeia. “Cing cing” adalah bunyi yang terhasil dari bunyi loceng. Perbendaharaan kata yang digunakan dalam pantun kanak-kanak kedengaran sedap iramanya. Seolah-olah seorang ibu sedang bernyanyi untuk anaknya. Unsur-unsur teladan dan nasihat diselitkan di dalam maksud pantun. Kanak-kanak mudah memahami ayat-ayat yang ringkas. Minda kanak-kanak akan semakin berkembang seiring dengan umur mereka. Pantun kanak-kanak dicipta oleh penciptanya untuk membangunkan sikap yang baik dalam diri kanak-kanak dan berakhlak mulia. Menurut Pak Ungku lagi, ada lebih daripada 500 pantun yang mempunyai unsur nasihat dan teladan dalam membina budi pekerti yang baik.

Melalui pantun dapat dilihat minda dan pemikiran orang Melayu. Pantun bukan sahaja puisi yang indah semata-mata, namun ianya menggambarkan kehidupan, kebijaksanaan, ketelitian, dan betapa kreatifnya pencipta pantun. Kita seharusnya mengiktiraf bakat daya cipta nenek moyang kita. Pantun mempunyai ciri-ciri unik dan tersendiri, yang tiada pada bahasa-bahasa yang lain. Marilah kita sama-sama menghargai dan berbangga dengan usaha Allahyarham Pak Ungku dalam mengangkat martabat seni sastera ini. Buku hasil nukilan beliau ini adalah satu usaha dalam menjulang martabat pantun. Menurut Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, buku hasil nukilan Pak Ungku ini “seperti mutiara indah, yang memancarkan cahaya pantun sebagai genius kebijakan akal budi bangsa, kebudayaan dan kosmologi Melayu.” Kata orang tak kenal maka tak cinta. Justeru itu, marilah kita mengenali keluhuran hati budi bangsa kita melalui sastera Melayu yang tinggi nilainya ini. Melaluinya kita akan belajar untuk lebih menghargai dan mencintai bahasa, budaya dan bangsa kita sendiri.

 

 

Siti Hajar Bidin

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)